1 July, 2011

Majlis Perasmian Serentak Persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia Kali Ke-13 Dan Penutupan Konvensyen Peguam Syarie Seluruh Malaysia Kali Ke-2


1.            Alhamdulillah, saya bersyukur  ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia serta rahmat-Nya, dapat kita bersama-sama pada hari ini, dalam majlis yang cukup bersejarah iaitu Perasmian Serentak Persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia kali ke-13 dan Konvensyen Peguam Syarie Seluruh Malaysia Kali Ke-2.

2.            Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada JKSM kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan program pada petang ini. Majlis ini juga akan diisi dengan majlis penyerahan dana Bantuan Sokongan Keluarga (BSK) kepada semua wakil negeri – negeri.

3.            Saya difahamkan bahawa Persidangan dan Konvensyen kali ini melibatkan peserta lebih 1,200 orang terdiri dari Pegawai Syariah seluruh Malaysia, Peguam Syarie seluruh Malaysia dan dari institusi Pengajian Tinggi serta orang awam, syabas dan tahniah saya ucapkan.

4.            Keunikan program ini telah menarik hati saya untuk hadir kerana buat julung kalinya di mana agensi agama telah berjaya mengadakan 2 majlis besar secara serentak, (two in one) yang jarang dilakukan sebelum ini iaitu Perasmian Persidangan dan Penutupan Konvensyen.

5.            Pada hemat saya, kaedah penganjuran yang menggabungkan dua persidangan yang besar dalam satu majlis seumpama ini, mempunyai nilai tambah ‘value for money’ kerana telah menjimatkan kos, tenaga dan masa. Ini bermakna agensi agama seperti JKSM sudah memahami hasrat kerajaan. JKSM dan Persatuan Peguam Syarie Seluruh Malaysia (PGSM) walaupun berlainan platform dalam arena prosiding kes, tetapi mampu bergabung dalam satu wadah perjuangan demi membela untung nasibrakyat. Ini adalah satu jaringan kerjasama yang perlu diteruskan. Tahniah kepada JKSM dan PGSM.

(PENGWUJUDAN DANA BSK, RM15 JUTA SEBAGAI BUKTI KERAJAAN MENGUTAMAKAN KEBAJIKAN RAKYAT)

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

6.            Hasil kajian yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 2008, mendapati bahawa 80% pelanggan Mahkamah Syariah di seluruh negara tidak berpuas hati tentang penguatkuasaan perintah nafkah. Keadaan ini menjejaskan imej dan kredibiliti Mahkamah Syariah. Justeru, saya telah membawa isu tersebut dan cadangan dana Bantuan Sokongan Keluarga (BSK) ke Mesyuarat Jemaah Menteri.

7.            Syukur Alhamdulillah, Kabinet telah bersetuju dan meluluskan geran dana sebanyak RM15 juta. Kelulusan diberi sebagai bukti sokongan padu kerajaan demi menegakkan keadilan Islam, menjamin kebajikan dan hak yang teraniaya dalam urusan nafkah orang Islam dan demi mempertahankan imej Mahkamah Syariah.

8.            Saya percaya, jika BSK berjaya menunjukkan keberhasilannya, kerajaan tidak teragak-agak akan menambahkan dan meneruskan usaha murni ini demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

9.            Sememangnya usaha murni menyediakan dana BSK ini merupakan sebagai pendahuluan bantuan berbentuk KEBAJIKAN kepada para isteri dan ibu tunggal bagi meneruskan kehidupan menyara keperluan diri dan anak-anak.

10.         Sama ada sedar atau tidak, bantuan KEBAJIKAN kepada pihak yang benar-benar memerlukan telah lama menjadi tradisi dan amalan Kerajaan sejak awal kemerdekaan Tanah Melayu tahun 1957. Setiap tahun, apabila Kerajaan membentangkan Belanjawan Negara, isu KEBAJIKAN menjadi fokus utama Kerajaan. Pelbagai program, aktiviti dan projek berkebajikan diperuntukkan dalam bajet tahunan.

11.         Kerajaan tidak khuatir tentang kesusutan dana BSK, kerana  dalam prosiding kes, pegawai BSK akan memohon perintah Mahkamah agar para suami yang ingkar perintah nafkah, membayar semula nilai bantuan pendahuluan yang telah diberi kepada isteri atau bekas isteri. Maknanya dana BSK akan ditampung semula.  Pada masa yang sama kedua-dua pihak suami dan isteri dapat mematuhi perintah Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah pula dilihat mampu melaksanakan peranannya untuk menegakkan keadilan yang dianjurkan oleh Islam.

12.         Saya percaya bahawa penyerahan dana BSK pada hari ini akan dapat memenuhi hasrat rakyat dan kerajaan untuk memastikan keadilan dapat dilaksanakan. Sementara kerajaan pula dapat merasai nadi rakyat, rintihan dan keperluan rakyat.

(PERANAN PEGUAM SYARIE DALAM AGENDA NEGARA)

Tuan-tuan dan Puan-puan,

13.         Pada hemat saya, peranan dan tanggungjawab menyelesaikan kes bukan terletak di bahu hakim atau mahkamah sahaja, tetapi juga perlu digalas bersama Peguam Syarie.Komitmen Peguam Syarie membantu mahkamah membuat keputusan yang adil sangat penting kerana mampu menzahirkan keindahan Islam dari aspek perundangan dan kehakiman.

14.         Seperti mana institusi kehakiman yang lain, peranan Peguam Syarie amatlah penting sebagai pihak yang turut mempunyai sumbangan dan tanggungjawab menegakkan keadilan. Profesion guaman sama ada Sivil atau Syariah memang sudah tidak asing lagi dan ia adalah suatu kerjaya yang dihormati serta berpengaruh dalam masyarakat.

15.         Peranan Peguam sama ada Peguam Syarie atau Sivil, juga sangat penting dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian Negara. Para Peguam yang profesional tidak perlu terlibat dengan demonstrasi jalanan kerana kita sebuah Negara yang berdaulat, mempunyai undang-undang dan Perlembagaan. Justeru, kita hendaklah bertindak secara rasional dan professional bukannya emosional, tanpa perlu menggadai harga sebuah keamanan dan keharmonian yang kita perolehi hasil perjuangan para pejuang bangsa, agama dan Negara.

16.         Mengambil kira semangat ‘Piagam Madinah’ yang diperkenalkan oleh Nabi Muhammad SAW, gagasan 1Malaysia diperkenalkan, berpaksi kepada semangat Rukun Negara, bertujuan untuk mengukuhkan perpaduan dan mengekalkan keamanan Negara. ‘PiagamMadinah’merupakan perjanjian berunsurkan jaminan keselamatan dan keharmonian penduduk dalam sebuah negara.

17.         Gagasan 1Malaysia pada asasnya adalah merupakan manifestasi dari nilai-nilai Islam yang menjunjung tinggi semangat  penerimaan sepenuhnya jaminan kesejagatan. Lebih jauh dari itu, konsep ini telah memberi keabsahan kepada imej Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang sentiasa meletakkan nilai-nilai Islam sejagat sebagai panduan dalam pentadbiran negara.

(MEMPERKASA INSTITUSI MAHKAMAH SYARIAH DAN WARGA PEGAWAI SYARIAH)

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

18.         Sejak kerajaan menubuhkan JKSM pada tahun 1998, sebagai agensi pusat, JKSM telah berjaya menyelaras pengurusan dan pembangunan Mahkamah Syariah Negeri-negeri dan Wilayah-wilayah Persekutuan. Kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan kewangan sebanyak hampir 500 juta dalam RMK 10 untuk pembangunan infrastruktur Kompleks Mahkamah Syariah Negeri-negeri termasuklah Negeri Kelantan.

19.         Pegawai Syariah dan pengurusan Mahkamah Syariah di negeri-negeri semakin bertambah baik dan mengalami modenisasi serta transformasi dari pelbagai aspek.

20.         Saya juga difahamkan ramai kalangan Pegawai Syariah mempunyai kombinasi kemahiran yang boleh dianggap ‘multi skills’. Di samping mahir dalam bidang perundangan dan kehakiman Islam yang menjadi teras profesion masing-masing, mereka juga mahir dalam bidang ICT, pengurusan latihan, pengurusan kewangan, pentadbiran awam dan pengendalian mediasi. Tidak ramai pegawai kerajaan yang mempunyai pelbagai kemahiran tersebut dalam satu-satu agensi kerajaan.

(PELANTIKAN WANITA KE JAWATAN HAKIM RAYUAN SYARIE)

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

21.         Saya berpendapat bahawa JKSM telah menyahut seruan transformasi kerajaan. Tahun lepas, kita menyaksikan JKSM dan beberapa buah negeri telah membuat transformasi hak kesamarataan gender dalam kalangan Pegawai Syariah lelaki dan wanita, iaitu dengan melantik tiga (3) orang Hakim Syarie Wanita, dua (2) di Wilayah Persekutuan dan seorang di Melaka.

22.         Pada tahun ini, saya dimaklumkan JKSM telah mengenal pasti dan menyenarai pendek beberapa orang yang layak untuk dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah wanita yang pertama di Malaysia. Jawatan tersebut adalah satu kedudukan yang begitu tinggi dalam senarai kekananan (seniority) perkhidmatan Pegawai Syariah di Malaysia. Kerajaan sedia melantik lebih ramai lagi Hakim-Hakim wanita yang layak untuk menjayakan transformasi Kerajaan dan keperluan rakyat agar Malaysia menjadi model Negara-negara lain dalam perkembangan perundangan Islam di dunia.

(ISU TERKINI : KETERANGAN SECARA BAYYINAH MELALUI DNA DITERIMA DI MAHKAMAH SYARIAH)

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

23.         Saya begitu kagum dengan beberapa transformasi dan Pengiktirafan Kehakiman yang berlaku di Mahkamah Syariah sejak kebelakangan ini. Ramai yang tidak mengetahui modenesasi dan transformasi Mahkamah Syariah kerana tidak dihebahkan dalam media massa. Antaranya Perintah Mahkamah Syariah mengenai Harta Pusaka telah diterima pakai di Australia, dokumen Kes Poligami diguna pakai di Pakistan dan lain-lain.

24.         Saya difahamkan, Mahkamah Syariah juga telah menerima pakai keterangan secara bayyinah menerusi DNA sama seperti apa yang diamalkan di Mahkamah Sivil. Beberapa Hakim Mahkamah Syariah telah mengguna pakai DNA sebagai bayyinahatau bukti kes bagi sabitan pengesahan status nasab bagi kes Harta Pusaka, Hak Penjagaan Anak (Hadhanah) dan Jenayah Syariah dalam kes persetubuhan luar nikah.

25.         Dalam Kes Harta Pusaka Si mati yang di dengar di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah, di Kota Kinabalu, Yang Arif Hakim (Yang Arif, Ahmad bin Lakim) telah memerintahkan dan menerima pakai proses DNA ke atas mayat si mati untuk dianalisa bagi pengesahan pertalian nasab si mati dengan si Pemohon dan Responden.

26.         Sementara dalam Kes Jenayah Syariah, Kes No : S-3/95-7(7) Tahun 2001, Pendakwa Syarie, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah v Rosli bin Abdul Japar, Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah (Yang Arif, Jasri bin Mat Jakir) telah menerima pakai keputusan DNA, di bawah Seksyen 190, Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Sabah) 1992. Sabitan kesalahan kes persetubuhan haram di bawah seksyen 80, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) tahun 1995.

27.         Keputusan Mahkamah Syariah mengenai penerimaan DNA ini, membuktikan Mahkamah Syariah telah lama dan sedia menerima transformasi dari berbagai aspek. Oleh itu, Mahkamah Syariah dan mana-mana pihak tidak perlu takut dan tidak perlu khuatir menjalani DNA jika bertujuan untuk membuktikan kesahihan fakta. Berani kerana benar, takut kerana salah.

PENGUMUMAN MENGENAI PENUBUHAN INSTITUT / AKADEMI LATIHAN KEHAKIMAN SYARIAH (ILKAS) DAN AKTA GUAMAN SYARIE

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

28.         Saya dimaklumkan bahawa bilangan Pegawai Syariah sahaja seluruh Malaysia kini berjumlah 438 (tidak termasuk Pegawai Sokongan) dan Peguam Syarie seluruh Malaysia, lebih 600 orang.

29.         Statistik tersebut menggambarkan betapa pesatnya perkembangan Pegawai Syariah dan Peguam Syarie di Malaysia. Bilangan yang ramai ini termasuklah Hakim dan Pendakwa Syarie amat memerlukan akademi latihan khusus bertaraf profesional.

30.         Penubuhan Akademi Latihan Kehakiman Syariah telah dipersetujui dalamMesyuarat Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI), Bil. Ke-48 [C7/48/2009],pada 19 Februari 2009, di Putrajaya.

31.         **Pengumuman 1**Justeru, kerajaan sedia menimbang untukmenubuhkan satu Akademi atau Institut Latihan Kehakiman Syariah Malaysia yang boleh dikenali sebagai ‘ILKAS bagi tujuan memberi latihan secara profesional kepada para Hakim, Pendakwa dan Pegawai Syariah lain termasuk peguam-peguam syarie di Malaysia.

32.         (Kepada Peguam syarie)

Umumnya mengetahui bahawa selama ini tiada satu akta pun yang mengawal etika guaman syarie di Negara. Banyak kes berkaitan etika peguam syarie, menipu anak guam, membawa pembuktian palsu, mengenakan caj perkhidmatan yang tinggi dan tidak munasabah dan sebagainya. Maka sudah tiba masanya kita mempunyai satu Akta Guaman Syarie sepertimana Akta Profesion Undang-Undang 1976.

33.          Sepertimana Majlis Peguam Malaysia yang telah ditubuhkan di bawah akta tersebut. Maka Majlis Peguam Syarie akan ditubuhkan di bawah Akta Guaman Syarie ini nanti bagi mengawal dan menjaga kebajikan serta menyeragamkan penerimaan masuk peguam-peguam syarie di semua negeri.

34.         **Pengumuman 2**Pada petang ini, saya selaku Perdana Menteri akan memastikan impian ini menjadi kenyataan!! Insya-Allah.

35.         Mengakhiri ucapan, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak JKSM, PPSM dan PGSM kerana telah berjaya menjalankan dua program yang bersejarah ini. Semoga semua Pegawai Syariah dan Peguam Syarie dapat proaktif bergerak dalam satu saf ke arah merealisasikan sistem keadilan berpaksikan kepada keadilan sosial dan masyarakat sebagaimana diterjemahkan dalam perjanjian Madinah semasa zaman Nabi Muhammad S.A.W, Insya-Allah.

36.         Berlandaskan iltizam tersebut, dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim, saya merasmikan SERENTAK Persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia kali ke-13 dan Konvensyen Peguam Syarie Kali Ke-2.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Shares Share Kategori : Speeches