28 June, 2011

Majlis Perasmian Taman Botani Perdana


1.            Alhamdulillah, saya mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua dapat kita ditemukan dalam kedamaian laman hijau yang dahulunya kita kenali sebagai Taman Tasik Perdana dan kini sebagai Taman Botani Perdana. Seawal bicara, izinkan saya untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas penghormatan yang telah diberikan kepada saya untuk menyempurnakan perasmian Taman Botani Perdana pada petang ini.

2.            Menyingkap kembali lipatan sejarah, lebih 12 dekad dahulu iaitu pada tahun 1888, taman ini telah diilhamkan oleh A.R. Venning, Residen British ketika itu dan dinamakan sebagai Taman Tasik atau Lake Gardens. Pada tahun 1975, ayahanda saya Allahyarham Tun Abdul Razak telah meneruskan usaha beliau dengan menaik taraf taman ini sehingga diberi nama Taman Tasik Perdana. Saya sendiri telah dibesarkan berhampiran kawasan taman ini iaitu di Sri Taman yang menjadi kenangan manis buat saya sehingga hari ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

3.            Hari ini dapat kita lihat di kebanyakan negara maju, taman botanikal atau taman rekreasi yang indah merupakan suatu kemestian dalam landskap sesebuah ibu kota. Nama-nama seperti Hyde Park dan Kew Gardens di London, Central Park di New York dan The Royal Botanical Gardens di Melbourne sememangnya tidak asing bagi kita. Di rantau ini, Singapura cukup dikenali kerana mempunyai taman botani yang mengagumkan. Saya sendiri telah pun berpeluang melawat taman berkenaan untuk melihat tarikan utama di situ iaitu Taman Orkid Nasional yang menghimpunkan lebih dari 1,000 spesis orkid dan koleksi 2,000 jenis kacukan (hybrid) orkid seperti “Dendrobium Margaret Thatcher”, “Renantanda Akihito” serta DendrobiumNajib Rosmah.”

4.            Saya percaya kecantikan taman berkenaan telah sedikit sebanyak membantu meningkatkan ketibaan pelancong ke Singapura sehingga 11.6 juta orang pada tahun lepas, iaitu 2 kali ganda bilangan penduduk negara tersebut. Jika dibandingkan, kita juga memiliki kekayaan alam semula jadi yang tiada tolok bandingnya berdasarkan hakikat bahawa Malaysia merupakan salah satu daripada 12 negara mega diversiti yang memiliki lebih dari 170 ribu spesies flora dan fauna. Inilah yang memberikan keyakinan kepada saya bahawa Taman Tasik Perdana pada ketika itu, mampu menjadi tarikan pelancong utama dunia apatah lagi melihat kepada lokasinya yang strategik iaitu terletak di tengah-tengah ibu negara serta berdekatan dengan tarikan pelancong lain seperti Taman Burung dan Taman Rama-rama.

5.            Lanjutan itu tahun lalu saya telah meminta Yang Berhormat Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk mengambil segala tindakan yang perlu untuk memulihkan, mencantikkan, mempelbagaikan koleksi dan menyegarkan taman ini semula agar setanding dengan taman-taman botani terkemuka di dunia.

6.            Saya masih ingat dalam taklimat kepada Jemaah Menteri pada bulan Februari tahun lepas, Datuk Bandar telah menyatakan rancangan beliau untuk memulihkan taman ini melalui tiga fasa. Fasa pertama akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan iaitu dengan mempertingkatkan kebersihan kawasan dan memulihara pokok-pokok yang bermasalah akibat serangan parasit dan ancaman anai-anai. Pokok-pokok yang terdedah kepada panahan petir pula akan dipasang dengan alat penangkap kilat. Spesies pokok-pokok besar yang jarang-jarang ditemui serta lain-lain spesies yang unik juga akan ditanam.

7.            Dari apa yang dapat saya lihat sebentar tadi, saya merasa gembira kerana boleh saya katakan telah terdapat perubahan yang ketara dari segi kebersihan, penjagaan pokok dan bilangan pokok-pokok baru yang ditanam berbanding sebelum ini. Syabas saya ucapkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan seluruh warga DBKL yang telah berjaya melakukan perubahan dalam tempoh yang direncanakan. Ingin juga saya berikan penghargaan khas kepada pekerja-pekerja seni taman DBKL di atas segala usaha yang telah dicurahkan, dengan harapan elemen kreativiti dan inovasi akan terus diterapkan ke arah menjadikan Taman Botani Perdana setanding dengan taman-taman botani terunggul. Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak-pihak swasta yang telah turut membantu menjadikan perubahan ketara ini suatu realiti, dengan harapan sumbangan ini akan diteruskan dalam masa-masa mendatang.

Tuan-tuan dan puan-puan,

8.            Kerajaan telah menyediakan RM1.9 bilion dalam Bajet 2011 untuk membiayai program-program pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar termasuklah Program “River of Life” dan “Greening Kuala Lumpur.” Ini adalah selaras dengan komitmen yang telah saya berikan semasa United Nations Framework on Climate Change Conference atau COP-15 di Denmark pada Disember 2009 untuk mengurangkan pengeluaran karbon dioksida sebanyak 40% berbanding tahun 2005. Oleh itu, saya melihat perubahan yang berlaku di Taman Botani Perdana ini sebagai suatu langkah penting bukan sahaja dalam aspek tarikan pelancong dan meningkatkan kualiti hidup rakyat tetapi dalam kerangka matlamat yang lebih besar untuk menjadikan ekonomi negara sebagai green economy antaranya melalui penjanaan pusat-pusat tumpuan pelancong yang menyokong pemeliharaan alam sekitar yang terjamin.

Tuan-tuan dan puan-puan,

9.            Dalam transformasi Taman Botani Perdana fasa kedua dan ketiga, saya berharap kepentingan 3M akan turut diambil kira dan dijadikan kayu ukur dalam menilai kejayaan transformasi tersebut. Apakah 3M ini? 3M yang saya maksudkan adalah Mesra pengguna, Mesra pelancong dan Mesra alam.

10.         Bagi pengguna, sudah tentu perkara asas seperti penyediaan tempat letak kereta yang mencukupi dan kemudahan yang lengkap amatlah penting. Selain itu, perpustakaan botani yang menyeluruh dapat membantu penyelidik dan pelajar sementara waktu operasi yang panjang akan membolehkan warga kota yang bekerja meluangkan masa untuk beriadah. Bagi pelancong pula, akses yang mudah dari pelbagai mod pengangkutan amat penting, selain kemudahan tambah nilai seperti kedai cenderamata, maklumat terkini di laman sesawang dan pelbagai perkara lain yang boleh difikirkan lagi. Ketiganya, pembangunan Taman Botani Perdana ini juga sebaiknya berstatus “hijau” iaitu tidak mencemar alam dan menggunakan sumber-sumber semula jadi secara optimum, contohnya melalui kitar semula, penggunaan baja organik dan tuaian hujan antara lainnya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

11.         Transformasi fasa pertama Taman Botani Perdana telah dapat kita saksikan dan kita nikmati faedahnya. Sebelum saya akhiri ucapan saya pada petang ini, ingin saya menyeru kepada semua pihak baik pihak swasta, NGO mahu pun orang ramai untuk turut serta bersama-sama Kerajaan khasnya DBKL dalam menyumbang idea, tenaga mahu pun sumber kewangan dalam evolusi Taman Botani Perdana berikutnya yang pastinya lebih menarik. Marilah kita sama-sama menjunjung transformasi Taman Botani Perdana sebagai suatu projek nasional yang kita miliki bersama dan kita usahakan bersama agar dapat diwariskan kepada anak cucu kita sebagai mercu tanda khazanah botani negara.

12.         Akhir kata dengan lafaz bismillahi rahmanir rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Taman Botani Perdana Kuala Lumpur.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Speeches