12 June, 2013

Malam Wartawan Malaysia 2013 Dan Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2012


Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan   Salam 1Malaysia

YB. Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri

YB. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi dan Multimedia

YBhg. Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Presiden Eksekutif Urusniaga Hiliran PETRONAS

YBhg. Datuk Chamil Wariya, Pengerusi Malam Wartawan Malaysia

Ketua-ketua pengarang media

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin yang dihormati sekalian.

1. Pertama-tama saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmatNya dapat kita semua pada malam ini bersama-sama untuk menjayakan satu acara penting dalam takwim komuniti wartawan di negara ini, iaitu Malam Wartawan Malaysia 2013. Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas undangan ini.

2. Pada hari ini, landskap media dan organisasi berita di negara ini telah mengalami perubahan yang amat pesat. Hari ini, kehadiran media cetak dan media elektronik telah dilengkapi dengan kehadiran media dalam talian. Demokrasi media dan kebebasan bersuara benar-benar menjadi kenyataan. Penggunaan semua bentuk media ini, lama dan baharu, dapat kita saksikan sepenuhnya pada PRU 13 yang lalu. Kepada para wartawan yang telah melakukan kerja-kerja mereka secara beretika dan bertanggungjawab semasa PRU ke-13, Kerajaan ingin merakamkan penghargaan dan pujian kepada mereka.

3. Penyebaran pelbagai bentuk pembohongan, fitnah dan hasutan kebencian dalam media sosial seperti yang berleluasa semasa PRU ke-13 yang lalu oleh kelompok yang menggelar diri mereka sebagai wartawan sesungguhnya tidak menguntungkan sesiapa. Aliran ini, jika dibiarkan berterusan dan berleluasa, akan mendatangkan kesan buruk kepada masa depan negara.

KEBEBASAN BERSUARA: BIARLAH BERADAP

4. Tidak dapat dinafikan bahawa isu yang melanda pemikiran rakyat ketika ini adalah pemahaman demokrasi dan hak kebebasan bersuara. Pengaruhnya terutama sekali di kalangan rakyat biasa telah memberikan kesan yang tidak pernah berlaku sebelum ini sehingga meninggalkan apa yang dipanggil sebagai butterfly effect. Tuntutan kebebasan bersuara di Malaysia bukan sahaja berpunca daripada kesan globalisasi tetapi dirangsang lagi oleh akses kepada kemudahan infrastruktur internet, peningkatan taraf sosioekonomi dan tahap pendidikan.

5. Namun begitu, perkongsian idea dan maklumat semasa secara pesat ini telah menyedarkan rakyat untuk mendalami dan mendekati isu-isu penting demokrasi seperti hak asasi manusia dan tentang pembinaan negara bangsa. Pada suatu sudut, corak tenaga baru yang datang daripada pergerakan terkini kebebasan bersuara ini adalah sesuatu yang sangat penting dan positif kepada kemajuan negara. Cumanya, maklumat yang disalurkan kepada masyarakat perlulah tepat dan tidak mengelirukan. Persoalannya, adakah kita mahu dan mampu memanfaatkan kebebasan bersuara tersebut dengan sebaiknya?

KEBEBASAN BERPAKSIKAN JATI DIRI MALAYSIA

6. Sebenarnya tiada resipi rahsia untuk bagaimana kita perlu memanfaatkan kebebasan suara ini. Saya percaya bahawa kunci kepada kejayaannya adalah untuk kita semua bermuhasabah kembali tentang identiti diri sebagai warganegara Malaysia. Kita mestilah menginsafi dan bertanya pada diri sendiri, adakah kebebasan bersuara yang dilaung-laungkan ini sesuai dan berpadanan dengan identiti jati kita yang sinonim dengan sifat berbudi bahasa dan nilai-nilai murni yang tinggi?

7.  Tidak salah untuk kita berbeza dan berlainan pendapat. Namun adakah perlu perbezaan pendapat ini membuak-buak sehingga wujudnya ketidakpercayaan dan syak wasangka melampau yang sebenarnya asing daripada budaya Malaysia? Untuk demokrasi benar-benar berfungsi seperti yang sepatutnya, rakyat dan pengamal media semestinya berpegang kepada pendirian mulia supaya tiada di antara kita yang menyimpang mahupun menyalahgunakan kuasa. Yang menjadi tanda tanya sekarang ialah cara perkongsian cerita dan teguran tersebut dibuat. Adakah ia gah dengan fahaman liberal, modenisme dan agresif sehinggakan kita lupakan keunikan cara kebebasan bersuara kita sendiri?

8. Oleh itu, kepelbagaian dan perbezaan pendapat yang wujud di negara ini sebenarnya harus berakar kepada identiti dan jati diri Malaysia. Kebebasan bersuara Malaysia yang membesar daripada akar tradisi jati akan memiliki kebijaksanaan untuk menghakis ketidakpercayaan dan perasaan syak wasangka yang melampau. Ini akan menghadirkan semula perkongsian dialog-dialog penting di antara pelbagai kumpulan-kumpulan yang ada sungguhpun mereka berbeza pendapat.

SELF-REGULATORY MEMANTAU MEDIA SOSIAL

9. Bagi menangani soal “Cabaran kematangan” sebagai sebuah negara bangsa yang semakin dewasa maka kita tidak akan “overreach”.  Namun begitu, bagi memastikan perjalanan media sosial tidak terus disalahgunakan, kita perlu mewujudkan satu suasana yang melambangkan wujudnya nilai-nilai kebertanggungjawaban terhadap apa yang dilontarkan di dalam media sosial. Untuk itu, saya ingin melontarkan kepada rakyat dan kalangan pengguna media sosial untuk mencadangkan apakah bentuk kawalan yang perlu kita laksanakan bagi memastikan nilai kebertanggungjawaban itu wujud dan maklumat yang disampaikan adalah tidak melanggar sebarang undang-undang. Kebebasan yang ada di dalam media sosial mestilah selari dengan nilai kebertanggungjawaban.

10. Kerap kali wujud ramai penulis “anonymous” di dalam media sosial yang ada kalanya bersifat nakal, ada kalanya mereka menggunakan peluang ini untuk menyebarkan maklumat yang mengandungi unsur fitnah yang boleh merosakkan keharmonian rakyat. Keadaan ini berbeza dengan media arus perdana yang mana pengamal media terikat dengan etika kewartawanan yang menjadikan mereka sentiasa berwaspada dalam penulisan dan penyampaian maklumat.

11. Cadangan yang dikemukakan itu nanti biarlah tidak bercanggah dengan Akta Komunikasi dan Multimedia serta Rang Jaminan MSC Malaysia yang menegaskan tiada tapisan terhadap internet dilakukan.

12. Dalam hal ini, suka saya jelaskan juga bahawa, Kerajaan tidak akan mengambil tindakan melesenkan portal berita sebagaimana yang telah diambil negara jiran, namun bagi memelihara keharmonian nasional, kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada bagi memastikan bahawa mana-mana pihak yang cuba menanam perpecahan menggunakan elemen ras, agama, bahasa serta atau cuba memperkecilkan institusi raja berperlembagaan mahupun cuba “Subvert” sistem demokrasi berparlimen akan diambil tindakan sesuai dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

CABARAN MALAYSIA

13. Malaysia ialah sebuah negara dalam transisi daripada sebuah negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi kepada sebuah negara maju dengan ekonomi berteraskan perkhidmatan moden dan berpendapatan tinggi.

14. Semasa merdeka hampir 56 tahun yang lalu majoriti warganegara tinggal di kawasan luar bandar, hari ini lebih 70 peratus rakyat Malaysia tinggal di kawasan yang dikategorikan sebagai bandar.

15. Semasa kemerdekaan lebih 60 peratus rakyat Malaysia hidup di bawah paras kemiskinan. Hari ini angka tersebut telah menurun kepada 1.7 peratus. Hasil pertumbuhan ekonomi yang mapan dan penggubalan serta pelaksanaan dasar pengagihan serta kejuruteraan sosial yang progresif seperti Dasar Ekonomi Baru maka saiz kelas menengah di Malaysia telah menjadi semakin signifikan.

16. Penembusan jalur lebar peringkat nasional yang hari ini berada pada kadar 60 peratus, pelaburan besar di dalam bidang pendidikan serta liberalisasi sektor pengajian tinggi telah melahirkan kelas menengah yang semakin vokal dan endah hak.

17. Kerajaan perlu kreatif dan inovatif di dalam mengurus realiti baru ini. kelas menengah yang semakin asertif dan mahukan lebih rundingan di dalam penggubalan dasar-dasar nasional yang menyentuh hala tuju masa depan mereka perlu dijadikan sebahagian daripada “national coalition  that will remake Malaysia”

PENUTUP

18. Saya memerlukan tuan-tuan dan puan-puan untuk menjadi pemudah cara ke era demokratik yang lebih matang di tanah air tercinta ini.  Kebebasan bersuara perlu diamalkan dengan penuh etika dan bertanggungjawab dalam konteks wujudnya pelbagai “Fault lines” nasional seperti ras dan agama. Pada analisa akhirnya suara rakyat amat penting untuk pembinaan sebuah negara maju menjelang Tahun 2020.

19. Oleh itu, di dalam usaha untuk membetulkan perspektif dan persepsi orang ramai, para wartawan harus bijak mengetengahkan isu-isu yang lebih utama seperti perpaduan dan usaha Malaysia untuk terus bergerak dan membangun sebagai sebuah negara yang berjaya. Malah, wartawan juga boleh menjadi orang tengah dan perantara berkesan di antara rakyat dan Kerajaan dalam menyampaikan maklumat, hasrat serta prakarsa yang dilaksanakan oleh Kerajaan kepada rakyat.

20. Soal masa hadapan negara ini adalah tanggungjawab kita bersama. Setiap kelompok masyarakat Malaysia tanpa mengira latar budaya mahupun profesion bertanggungjawab untuk menyumbang dan memajukan Malaysia mengikut kapasiti dan kemampuan masing-masing. Justeru, sebagai wartawan juga, saudara dan saudari turut mempunyai peranan, iaitu dalam menyampaikan maklumat  kepada rakyat. Marilah kita sama-sama berganding bahu menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi supaya keamanan dan kemakmuran yang kecapi dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia.

21. Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur di atas undangan ini dan memberi kesempatan kepada saya untuk memberikan amanat dan sepatah dua kata kepada saudara-saudari warga wartawan sekalian. Kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia sebentar nanti, setinggi-tinggi tahniah juga saya ucapkan.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Shares Share Kategori : Speeches