16 September, 2008

Menandatangani Perjanjian Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB)


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Dato’ Shaziman Abu Mansor,
Menteri Tenaga, Air & Komunikasi Malaysia

Yang Berbahagia Dato’ Dr Halim Shafie,
Pengerusi SKMM

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Ir Md Radzi Mansor,
Pengerusi TM

Yang Berbahagia Dato’ Zamzamzairani Mohd Isa,
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM

Tuan-tuan dan puan-puan, sidang Hadirin yang saya hormati

1.Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi dan TM, kerana menjemput saya untuk menyaksikan termeterainya satu kerjasama di antara kerajaan dengan pihak swasta yang pada hemat saya amat penting untuk masa depan negara.

2.Bermulanya projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi, atau High Speed Broadband (HSBB) ini boleh kita anggap sebagai suatu titik tolak untuk Malaysia memulakan fasa baru dalam pembangunan infrastruktur ICT tanahair, bagi menyertai barisan negara-negara maju di arena teknologi komunikasi dan maklumat. InsyaAllah, dengan terlaksana nya projek ini, agenda pembangunan Malaysia akan terus diperkukuhkan dan dimantapkan demi mencapai hasrat dan aspirasi seluruh rakyat Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan

3.Sejak bermulanya revolusi teknologi maklumat di pertengahan tahun 90-an hingga kini, perubahan dan pembaharuan teknologi berlaku begitu pantas dan menyeluruh sehinggakan sukar untuk kita turuti arus perkembangan nya yang kencang. Jikalau tidak lama dahulu Internet Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi dianggap sebagai satu bentuk kemewahan, hari ini ia menjadi satu keperluan yang sangat penting. Di awal abad ke-21 ini ia menjadi satu prasarana asas bagi memacu perindustrian dan pembangunan negara kerana ia akan menyumbang kepada perkhidmatan berkualiti tinggi pada harga yang kompetitif yang seterusnya membolehkan Malaysia bersaing di peringkat ekonomi antarabangsa. Kesimpulannya, HSBB menjadi infrastruktur penting untuk kehidupan harian dan perniagaan. Bagi kebanyakan negara membangun, capaian kepada sambungan Internet berkelajuan tinggi kini menjadi salah satu daripada kemudahan asas harian sama seperti kemudahan asas air dan elektrik.

4.Projek HSBB yang bakal dilaksanakan secara rasmi dengan termetrainya perjanjian antara kerajaan dan TM pada hari ini adalah sebahagian dari insiatif berterusan oleh kerajaan demi kepentingan dan faedah rakyat Malaysia. Kejayaan projek HSBB akan memberi kesan secara langsung kepada peningkatan aktiviti ICT dan pertumbuhan ekonomi di negara kita.

5.Sebab itulah, Kerajaan telahpun mensasarkan supaya 50% daripada isi rumah di Malaysia akan mendapat capaian Internet jalur lebar menjelang akhir tahun 2010 berbanding tahap penerapan isi rumah pada kadar 16.6% pada ketika ini.

6.Pihak Kerajaan juga akan memastikan jaringan HSBB negara akan terbuka kepada umum atau berkonsepkan open network, satu konsep yang memastikan industri jalur lebar kita boleh diakses secara pasaran bebas supaya persaingan bisnes pada tahap aplikasi dan jaringan akan terus terangsang.

7.Mungkin ada pihak tertentu yang menimbulkan persoalan tentang mengapa perlunya kita berbelanja dan melabur untuk rangkaian HSBB sedangkan jalur lebar biasa yang sedia ada mungkin sudah memadai.

8.Hakikatnya, tidak dapat dinafikan lagi bahawa HSBB boleh membawa manfaat yang besar, bukan sahaja kepada pelanggan individu dan juga syarikat-syarikat perniagaan, tetapi juga kepada negara secara keseluruhan nya. HSBB amat penting untuk pembangunan nasional kerana ia memberi kesan secara langsung kepada peningkatan produktiviti, aktiviti ICT dan pertumbuhan menyeluruh ekonomi di negara kita. Ia akan mengukuhkan lagi daya saing kita berbanding negara-negara lain yang turut telah melaksanakan HSBB lebih awal. Negara-negara ini telah mendahului kita dalam aspek prasarana ICT, dan kini mereka telahpun menikmati manfaat daripada pelaburan mereka.

9.Kita perlu meningkatkan keupayaan kita dalam bidang ICT untuk terus dinamik dari segi pembangunan dan kemajuan ekonomi. Prasarana ICT yang cekap dan terkini akan menyumbang secara signifikan kearah matlamat ini. Sebagai contoh, menurut satu kajian yang dibuat di Amerika Syarikat tentang hubungan HSBB dengan ekonomi negara itu, jika keupayaan HSBB dibangunkan ke tahap 50 pelanggan bagi setiap 100 penduduk pada tahun 2010, maka anggaran peningkatan KDNK secara inkrimen sebanyak USD$500 billion setahun selama 10 tahun akan dapat diperolehi, iaitu sebanyak 4 peratus sumbangan purata KDNK Amerika Syarikat.

10.Kajian Unit Perancang Ekonomi di Malaysia menunjukkan bahawa pada tahap permulaan projek Jalur Lebar Nasional ini, impak positif serta merta perkhidmatan jalur lebar terhadap KDNK tahunan adalah sebanyak 1%, dimana 0.6% dari jumlah ini adalah dari perkhidmatan HSBB. Selain itu melalui projek ini, dianggarkan lebih 220,000 pekerjaan baru akan diwujudkan menjelang 2017. Ini merupakan unjuran kesan yang amat positif dan meyakinkan dan saya percaya kita bakal melihat kemajuan berlipat kali ganda dengan pelaburan berterusan kedalam pembangunan HSBB.

11.Satu lagi aspek positif dari pembangunan HSBB ini adalah dari segi tarikan pelaburan luar. Kelengkapan dan rangkaian komunikasi canggih akan menarik lebih ramai pelabur dari luar negara untuk menjalankan urusniaga dan aktiviti ekonomi di Malaysia, sekaligus meningkatkan Pelaburan Langsung Asing atau FDI. Seperti yang kita tahu, persaingan untuk mendapatkan FDI sangat sengit di rantau ini, maka kita perlu sentiasa mencari jalan untuk memenuhi keperluan pelabur supaya mereka tidak teragak-agak untuk melabur di Malaysia. Kita telah pun mempunyai infrastruktur pengangkutan, tenaga dan pelancongan yang boleh dibanggakan, maka tentunya infrastruktur ICT ini akan menjadi pelengkap kepada segala kemudahan yang kita tawarkan kepada para pelabur.

12.Dalam bidang perniagaan tempatan pula, HSBB bakal memudahcarakan fasa seterusnya produktiviti dan k-ekonomi bagi sektor IKS dan korporat Malaysia. Organisasi perniagaan bakal menikmati aplikasi dan penyelesaian baru yang dihos secara remote, berintegrasi secara penggabungan (convergence) dengan sistem milik rakan niaga, selain melanggan servis jalur lebar pada kadar yang lebih kompetitif.

13.Dalam melaksanakan projek HSBB ini, pertimbangan yang paling utama dari kacamata kerajaan adalah manfaat yang bakal dinikmati oleh rakyat melalui perlaksanaan nya.

14.Masyarakat Malaysia akan dapat meningkatkan taraf hidup apabila didedahkan kepada gaya hidup berteraskan teknologi dan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi. Contohnya ialah akses internet yang pantas, perkongsian fail dan data, kemudahan e-dagang, e-pembelajaran, teleperubatan, infotainmen, berbelanja dalam talian, permainan komputer dan pelbagai kemudahan yang lain.

15.HSBB juga bakal menjadikan ‘teleworking’ satu pilihan yang realistik bagi organisai-organisasi, majikan-majikan dan para pekerja, kerana kerja-kerja pejabat boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Pemindahan data dan maklumat dapat dilakukan dengan efisyen dan pantas tanpa mengira batasan masa dan geografi. Umpamanya, HSBB membolehkan pengguna menggunakan applikasi interaktif (real-time) seperti video-conferencing untuk perbincangan tanpa perlu berada di lokasi fizikal. Ini adalah satu realiti yang semakin rancak penggunaannya terutama di negara-negara maju. Ini tentunya mempermudahkan urusan pekerjaan harian, selain melegakan mereka yang mahu menjimatkan kos pengangkutan dan penggunaan tenaga.

16.Suka saya sebutkan di sini, manfaat teleworking bukan terhad untuk individu semata-mata. Teleworking juga membawa bersama peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia di kawasan-kawasan lain yang mempunyai akses kepada HSBB. Contohnya, senario yang bakal kita lihat adalah, pekerja tidak perlu tinggal di Kuala Lumpur untuk bekerja dengan sesebuah syarikat di Ibu Kota. Ini bermakna tempat dan jarak bukan lagi faktor penghalang yang membataskan peluang pekerjaan. Teleworking juga membolehkan kita mencapai keseimbangan di antara kehidupan peribadi dan kerjaya – sesuatu yang saya percaya menjadi keinginan kebanyakan dari kita yang berkerja. Di beberapa syarikat gergasi antarabangsa hari ini, dasar “Work From Home” atau “Berkerja Dari Rumah” sudah pun mula diperkenalkan bagi membolehkan pekerja-pekerja memilih untuk bekerja dari kediaman mereka pada hari-hari tertentu dengan tujuan memberikan ruang bagi mereka meluangkan masa yang lebih banyak bersama keluarga. Tidak ketinggalan, teleworking membawa peluang bagi Orang Kurang Upaya untuk menyertai sektor pekerjaan. Manfaat teleworking adalah nyata dari sudut makro, mahu pun mikro, untuk Kerajaan, perniagaan, masyarakat dan juga individu.

17.Jelas sekali, begitu banyak manfaat yang akan diperolehi oleh rakyat dan negara dengan terlaksana nya projek HSBB ini. Saya percaya KTAK akan memastikan semua pihak yang terlibat memainkan peranan dan melaksanakan segala tanggungjawab masing-masing, demi melunaskan hasrat klita mewujudkan infrastruktur ICT yang bertaraf antarabangsa. Ini termasuklah memperkukuhkan industri kandungan atau content bagi memaksimakan potensi HSBB apabila ia beroperasi sepenuhnya. Saya yakin disamping berkerjasama dengan TM dalam membangunkan prasarana HSBB, KTAK juga akan berkerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain dan juga pengamal-pengamal ICT dan syarikat-syarikat ICT swasta yang lain dalam menentukan bahawa pengisian yang secukupnya dibangunkan sejajar dengan objektif projek HSBB ini18.Akhir kata saya doakan agar projek ini berjalan lancar demi kebaikan rakyat dan negara. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada pihak KTAK, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan kepada TM kerana menunjukkan kerjasama yang padu dalam melaksanakan projek yang sangat penting dan bermakna ini .

Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Wrt. Wbt.

Shares Share Kategori : Speeches