27 September, 2011

Pelancaran Biografi YBhg Tan Sri Ainuddin Abd Wahid


    1. Terlebih dahulu, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kepimpinan Universiti Teknologi Malaysia yang sudi menjemput saya bertamu di UTM pada petang ini bagi melancarkan buku biografi berjudul “Ainuddin: Pejuang Degil Melayu” pada hari ini.
    2. Perkenalan antara saya dan Tan Sri bukanlah baru , ini kerana semasa bertugas sebagai Timbalan Menteri Pelajaran di antara tahun 1980 hingga 1981 Tan Sri Ainuddin sudah memegang jawatan Naib Canselor UTM.
    3. Amat bertepatan sekali bahawa majlis yang kita adakan hari ini berlangsung di kampus UTM Jalan Semarak, yang dahulunya dikenali sebagai Jalan Gurney kerana di sinilah Tan Sri Ainuddin Wahid menghabiskan lebih dua dasawarsa hayatnya bagi mencipta sejarah yang kita abadikan hari ini.
    4. Hari ini kita sebenarnya bukan berkumpul semata-mata untuk melancarkan sebuah buku, ia lebih dari itu kita berkumpul hari ini untuk kita meraikan sumbangan seorang tokoh yang amat berjasa kepada agama, bangsa, negara dan UTM sendiri. Sesungguhnya dalam tempoh hampir dua dekad  Tan Sri Ainuddin telah tanpa jemu, penat mahupun berputus asa telah menangani pelbagai cabaran dan menghadapi pelbagai tribulasi bagi melahirkan modal insan profesional yang amat penting sebagai pemangkin transformasi Malaysia ke arah sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
    5. Sebagai sebuah negara kita tidak sekali-kali mampu mengkompromikan sifat manusiawi demi kemajuan material. Untuk benar-benar maju kita perlu memupuk warga Malaysia yang berjiwa besar, warga yang prihatin sejarah dan mengenang jasa mereka yang telah berbudi bukan kerana yang berjasa mendambakannya tetapi kerana ia adalah perkara yang betul dan benar untuk dilakukan.
    6. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada penulis karya biografi , iaitu Yang Berbahagia Datin Seri Fatini Yaacob, yang juga merupakan Karyawan Tamu UTM. Saya percaya khalayak ramai bersetuju dengan saya bahawa Datin Seri Fatini adalah tergolong sebagai salah seorang pengarang yang agak prolifik. Sebenarnya untuk menghasilkan sesebuah karya seumpama ini bukanlah mudah, ia memerlukan ketekunan, kerajinan dan iltizam untuk menggali pelbagai sumber bagi mencerminkan kewibawaan dan keterampilan tokoh yang menjadi subjek pengisahan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

    1. Dengan semangat kegigihan luar biasa dan dorongan kuat dari keluarga dan rakan karibnya Aminuddin Baki, Ainuddin memajukan diri dalam bidang pendidikan. Sementara rakan-rakannya yang lain memilih bidang pendidikan dan pentadbiran, Ainuddin memilih bidang kejuruteraan. Atas semangatnya yang kental, beliau berjaya memperoleh ijazah kejuruteraan awam dari  Universiti Bristol, England. Sekembalinya ke tanah air, beliau telah memulakan tugas sebagai jurutera di negeri kelahiran saya – Kuantan, Pahang Darul Makmur. Kegigihan dan kerajinan serta nilai integriti yang dipegangnya menyebabkan nama beliau semakin dikenali di peringkat nasional.
    2. Maka tidak hairanlah, atas kewibawaan dan keterampilan Ainuddin, ayahanda saya Allahyarham Tun Abdul Razak memilih dan melantik beliau sebagai Pengetua Maktab Teknik   (Technical College) pada tahun 1968. Dengan penuh liku, cabaran dan ranjau, Ainuddin berjaya melakukan transformasi besar ke atas institusi pendidikan yang bersejarah ini.
    3. Dari sebuah institusi pendidikan kolonial, dengan kewibawaan dan gaya pengurusan tersendiri, Ainuddin berjaya menjadikan Maktab Teknik sebagai sebuah institusi pendidikan kebangsaan. Pada tahun 1972, beliau berjaya menaik taraf Maktab Teknik kepada Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) dan seterusnya berjaya menjenamakannya sebagai Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mulai 1 April 1975. Sebagai peneraju institusi pendidikan, Ainuddin berjaya merealisasikan dasar-dasar pembangunan negara – khususnya Dasar Ekonomi Baru – yang dipelopori oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

    1. Saya tertarik kepada satu perbualan yang diceritakan Tan Sri dalam buku ini apabila beliau berjumpa Allahyarham Tun Razak sebelum memulakan tugasnya sebagai pengetua MTKL. Apabila beliau bertemu Tun beliau menyatakan kegusarannya kerana usia beliau masih muda (pada masa itu belum pun 40 tahun dan pengalamannya yang kurang namun Tun Razak menjawab ‘ tak apa muda pun, dah sesuailah tempat tu …kalau ada masalah terus jumpa saya…’. begitulah darjah keyakinan Tun kepada Tan Sri Ainuddin.
    2. Sesungguhnya, pembangunan yang berlaku di seluruh negara pada hari ini, tentunya sebahagiannya adalah hasil usaha para graduan UTM dalam bidang sains dan kejuruteraan. Mereka yang terdiri daripada jurutera awam, elektrik dan mekanikal, arkitek, juru ukur tanah, juru ukur bahan, perancang bandar, pendidik, pengurus dan sebagainya. Saya ucapkan syabas kepada Tan Sri Ainuddin dan kepada seluruh warga dan graduan serta alumni UTM. Secara peribadi, kita wajar untuk memberi penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Yang Berbahagia Tan Sri Ainuddin Wahid.
    3. Penghargaan yang kita berikan bukan sekadar memuji-muji tokoh dalam buku ini, tetapi saya harap lebih dari itu. UTM dan Ainuddin sukar untuk dipisahkan. Beliau telah banyak berkorban demi kasihkan agama, bangsa dan tanah air. Semoga jasa Tan Sri akan dirahmati Allah jua. Saya juga berharap agar Naib Canselor UTM yang sedia ada, Yang Berbahagia Prof. Dato’ Ir. Dr. Zaini Ujang, dapat meneruskan kesinambungan perjuangan ini, melakarkan kejayaan berimpak tinggi dan seterusnya meletakkan UTM sebagai sebuah universiti yang unggul dan tersohor di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
    4. Sebagai usaha kerdil untuk mengenang jasa tokoh besar ini kerajaan telah bersetuju untuk penubuhan Ainuddin Wahid Endowment Fund dengan dana berjumlah RM10 juta. Ia akan diagihkan secara berperingkat dengan peruntukan RM 2 juta setahun untuk tempoh lima tahun. Dana ini akan digunakan untuk membiayai 5 pelajar setiap tahun di peringkat Doktor Falsafah di UTM. Pelajar-pelajar PhD yang dibiayai dana ini yang terdiri dari kumpulan crème de la crème juga akan berpeluang untuk mengikuti attachment selama 6 bulan semasa pengajian di salah sebuah institusi akademik tersohor dunia iaitu universiti-universiti Oxford, Cambridge,MIT atau Imperial College.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

  1. Sesungguhnya kejayaan yang ditempa oleh negara kita hari ini adalah hasil usaha yang telah dirintis oleh generasi terdahulu. Justeru, kita jangan sekali-kali lupa sejarah. Dengan kefahaman dan sikap inilah maka kita akan mampu mengorak langkah, membina di atas kejayaan yang ada ke arah masa depan yang lebih baik untuk kita dan anak-anak kita.
  2. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada pengarang buku biografi Tan Sri Ainuddin Wahid iaitu  Datin Seri Fatini Yaacob, dan Naib Canselor UTM, Prof. Dato’ Zaini Ujang, yang mengambil inisiatif menerbitkan buku ini. Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih dan ucapan tahniah kepada seluruh warga kerja Penerbit UTM Press – Pengarah, Pegawai Penerbit, dan Editor – yang menjayakan penerbitan buku biografi ini.
  3. Dengan lafaz yang mulia,   Bismillah hirRahman nirRahim, saya melancarkan buku biografi berjudul “Ainuddin: Pejuang Degil Melayu”, hasil karya Datin Seri Fatini Yaacob.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

Shares Share Kategori : Speeches