29 April, 2011

Pengumuman Pencapaian Tahun Pertama Ekuinas


Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Yang Berhormat Tan Sri Nor Mohamed Yakcop;

Menteri di Jabatan Perdana Menteri,

Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ekuiti Nasional,

Ahli-ahli Lembaga Pengarah Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas),

Wakil-wakil Media;

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

1.            Saya telah mengumumkan penubuhan Ekuinas di persidangan Invest Malaysia pada bulan Jun 2009 sebagai salah satu pendekatan baru dan inovatif yang bertujuan meningkatkan penglibatan ekonomi Bumiputera menerusi prinsip mesra-pasaran, berdasarkan merit dan telus. Pada hari ini, saya bersyukur dapat mengumumkan keputusan kewangan tahun pertama Ekuinas.

2.            Ekuinas telah berjaya membuktikan keupayaannya untuk mencatat keputusan tahun pertama yang amat menggalakkan, dalam usaha memenuhi kedua-dua objektif kewangan dan sosial yang telah ditetapkan. Sepintas lalu pencapaian Ekuinas, bagi tahun kewangan pertamanya berakhir 31 Disember 2010:-

  • Kerajaan telah menyalurkan dana permulaan berjumlah RM500 juta kepada Ekuinas sebagai peruntukan awal daripada RM5 bilion seperti yang telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia ke-9 dan Rancangan Malaysia ke-10;
  • Dengan peruntukan tersebut, Ekuinas telah berjaya melaksanakan empat pelaburan langsung di dalam syarikat-syarikat [Bumiputera / Malaysia] yang berpotensi tinggi di dalam sektor pengguna, minyak & gas, perkhidmatan dan juga pendidikan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM482.6 juta. Bersama dengan modal dari rakan pelabur Ekuinas, ini telah menyaksikan modal keseluruhan sebanyak RM602.4 juta dilaburkansecara langsung ke dalam ekonomi Malaysia pada tahun lalu yang memberi impak positif kepada negara;
  • Ekuinas juga telah berjaya melaksanakan fasa pertama Program Penyumberan Luarnya atau Outsourced Programme di mana modal tambahan sebanyakRM513 juta telah berjaya dikumpul oleh Ekuinas dan dari sumber modal persendirian. Ini akan bakal dilaburkan di dalam syarikat-syarikat Malaysia bersaiz kecil hingga sederhana yang berpotensi tinggi.
  • Dari segi prestasi dana pula, Ekuinas telah berjaya mencatat pulangan kasar portfolio sebanyak RM55.3 juta bagi Ekuinas Direct (Tranche 1) Fund di bawah aktiviti pelaburan langsung. Ini mewakili Kadar Pulangan Dalaman, atau Internal Rate of Return (IRR), kasar tahunan sebanyak 53.1% dan juga IRR bersih tahunan sebanyak 24.3%, melebihi sasaran kewangan minima dan aspirasi jangka panjang Syarikat sebanyak 12% dan 20% setahun.
  • Yang lebih penting Ekuinas telah berjaya meningkatkan nilai ekuiti Bumiputera untuk tahun pertama operasi sebanyak RM483.2 juta atau 1.28 kali ganda daripada jumlah modal yang dilabur Ekuinas sebanyak RM380.6 juta. Peningkatan ini terhasil daripada jumlah pelaburan ekuiti yang dilaksanakan oleh Ekuinas serta peningkatan nilai saham yang berjaya dicipta untuk Ekuinas dan kesemua pemegang saham Bumiputera di dalam syarikat portfolio ekuinas.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

3.            Pencapaian awal ini membuktikan bahawa keputusan Kerajaan untuk menggunapakai pendekatan yang lebih inovatif dan kreatif ke arah melaksanakan dasar afirmatif untuk meningkatkan penglibatan Bumiputera secara saksama kini membuahkan hasil yang diharap-harapkan.

4.            Model ekuiti persendirian atau private equity, yang menjadi teras operasi Ekuinas, juga telah menunjukkan bahawa ianya tidak mustahil untuk mencapai objektif sosial menerusi usahasama awam-swasta yang tulen, dengan turut disokong pendekatan yang mesra-pasaran, berdasarkan merit dan juga telus.

5.            Harapan kerajaan agar Ekuinas akan menjadikan permulaan kukuh ini sebagai landasan untuk meningkatkan pelaburan di dalam syarikat-syarikat Bumiputera dan Malaysia yang berpotensi tinggi ke arah mempercepatkan transformasi mereka menjadi syarikat peneraju pasaran terkemuka di masa hadapan.

6.            Bagi tahun kewangan 2011, Kerajaan difahamkan Ekuinas akan membuat pelaburan sehingga RM600 juta dan seterusnya membantu pelaburan modal sehingga RM1 bilion secara langsung ke dalam ekonomi Malaysia. Saya berharap, menerusi pelaburan akan terus meningkatkan penglibatan ekonomi Bumiputera dari segi pemilikan ekuiti, pengurusan, peluang pekerjaan dan juga rantaian bekalan.

7.            Kerajaan akan terus memantau perkembangan pelaburan Ekuinas dari semasa ke semasa dan saya percaya mereka akan terus gigih berusaha ke arah pencapaian objektif kewangan dan sosial demi manfaat negara.

Terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Speeches