3 June, 2014

Perasmian Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-57 Tahun 1435H/2014M


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh,

YANG AMAT BERHORMAT DATO` SERI DIRAJA HAJI ADNAN BIN HAJI YAAKOB

MENTERI BESAR PAHANG

DAN YANG AMAT BERBAHAGIA DATIN SRI DATO’ HAJJAH JUNAINI BINTI KASSIM

YANG BERHORMAT MEJAR JENERAL DATO’ SERI JAMIL KHIR BIN HJ BAHAROM (B)

MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

DAN YANG BERBAHAGIA DATIN SERI FATMAWATI BINTI HAJI SAIDIN

YANG AMAT BERHORMAT DATUK HAJI AHMAD BIN YAKOB

MENTERI BESAR KELANTAN

DAN YANG AMAT BERBAHAGIA DATIN HAJJAH SITI ZABIDAH BINTI AB. HAMID

YANG BERBAHAGIA TAN SRI DR ALI BIN HAMSA

KETUA SETIAUSAHA NEGARA

DAN YANG BERBAHAGIA PUAN SRI

YANG BERHORMAT DATO’ SRI MUHAMMAD SAFIAN BIN ISMAIL

SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PAHANG

DAN YANG BERBAHAGIA DATIN SRI

YANG BERBAHAGIA DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA

KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

DAN YANG BERBAHAGIA DATIN

AHLI-AHLI YANG BERHORMAT MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI PAHANG

ASHABAL FADHILAH AHLI-AHLI JEMAAH HAKIM

BARISAN QARI DAN QARIAH MAJLIS TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-57 TAHUN 1435H / 2014M

HADIRIN DAN HADHIRAT SEKALIAN…

TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG DIRAHMATI ALLAH

Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan hidayahnya sekali lagi kita diberi peluang untuk bersama-sama menjayakan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke 57 bagi tahun 2014M/1435H ini.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang atas kerjasama yang diberikan dan kepada pihak Jakim dalam menjayakan Majlis Tilawah Al-Quran pada tahun ini.

Penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ini merupakan acara tahunan yang didokong sepenuhnya oleh pihak kerajaan sejak 57 tahun yang lalu. Ia merupakan usaha yang berterusan ke arah memartabatkan syiar dan syariat Islam sejajar dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan bagi Negara Malaysia.

Mengimbas kembali, kata-kata Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada akhir Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola pada tahun 1379H/1960M; “bahawa adalah menjadi cita-cita kerajaan Persekutuan untuk melihat Musabaqah yang diadakan pada tiap-tiap tahun bukan sahaja kerana memuliakan bulan Ramadhan, tetapi juga kerana selaras dengan kedudukan dan taraf Islam sebagai agama bagi persekutuan”.

Bagi pihak kerajaan, usaha-usaha ini tidak terhenti dengan menganjurkan majlis tilawah al-Quran semata-mata. Bahkan, dengan berkat permuafakatan di antara kita semua, kita kini telah melangkah jauh dengan menjadikan pembelajaran al-Quran sebagai salah satu subjek yang diajar bermula di peringkat sekolah rendah lagi.

Sememangnya, di dalam arus perdana pendidikan negara, anak-anak kita diajar untuk membaca al-Quran dengan baik dan betul. Sudah lima dekad berlalu, pendekatan ini masih diteruskan dan sentiasa dipertingkatkan. Malah kini, kita mempunyai lebih 36,000 orang guru KAFA yang mengajar al-quran kepada anak-anak kita tanpa jemu demi memantapkan pendidikan agama mereka.

Sudah tentu, tidak dapat dinafikan bahawa, perkembangan syiar dan syariat Islam di negara ini sentiasa berjalan dengan baik. Umat Islam di Malaysia boleh berbangga dengan pelbagai bidang dan pencapaian negara, malah telah diperakui dan diiktiraf oleh dunia Islam seperti keampuhan kita mengekalkan keharmonian negara walaupun masyarakatnya adalah majmuk. Lebih penting, kemapanan pembangunan ekonomi terutamanya sub-sektor kewangan, pelaburan dan perbankan Islam dijadikan rujukan oleh Negara Islam lain, selain sektor pendidikan dan bidang teknologi.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

[ ISU ISU SEMASA ] [ Isu Demonstrasi GST ]

Sesungguhnya, keharmonian dan kestabilan sesebuah negara amat bergantung kepada kesedaran rakyat, dalam memelihara dan menjaga kerukunan hidup berharmoni dan bernegara. Walaupun kita berpegang kepada amalan demokrasi, ini tidak bermakna kita bebas melakukan apa sahaja tindakan tanpa mempedulikan kesan terhadap anggota masyarakat yang lain.

Hakikatnya, kita tidak memiliki kebebasan secara mutlak untuk melakukan apa sahaja. Demikianlah dalam hal demonstrasi. Walaupun kita menganggap demonstrasi sebagai salah satu hak asasi manusia, namun perlaksanaannya perlu dikawal. Kita tidak mahu dengan alasan untuk memperjuangkan sesuatu hak dan dalam masa yang sama, kita menidakkan hak orang lain.

[ Point Cadangan: Penjelasan Isu Hudud ]

Berkenaan isu hudud yang hangat diperbincangkan kini, kita amat berharap agar isu ini dapat ditangani dengan cara yang berhemah dan penuh hikmah. Jangan kerana kegopohan dan tergesa-gesa, matlamat sebenar maqasid hukum tidak tercapai. Justeru kerjasama semua pihak adalah perlu untuk mempertingkatkan pemahaman terhadap isu ini.

Sebenarnya, banyak titik temu yang boleh diperolehi daripada isu ini. Yang paling utama adalah, fahaman politik tidak sepatutnya dijadikan punca kegagalan dalam menegakkan agenda kita bersama. Yang penting, maslahah ummah terbela dan matlamat keadilan terpelihara. Jangan bagai dikata orang ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’. Justeru, komitmen yang tinggi dan usaha yang berpadu diperlukan supaya generasi akan datang menjadikan usaha kita sebagai tauladan bersama.

Semestinya isu ini dijadikan sebagai satu wahana yang menyatukan pemikiran ke arah melengkapkan lagi perlaksanaan syariah yang lebih komprehensif. Kita percaya kemampuan menghasilkan Model Islami yang komprehensif adalah satu keutamaan di dalam pelaksanaan syariah di negara kita dengan bertunjangkan Maqasid Syariah (Memelihara dan Menjaga Agama, Nyawa, Akal, Keturunan dan Harta).

Kita amat yakin bahawa usaha ini akan menatijahkan rumusan yang terbaik memandangkan kecenderungan kepada pendidikan agama semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kita. Saya percaya sekiranya agenda ini dimuafakati secara bersama, kita akan memiliki sebuah Generasi al-Quran yang hebat sekaligus akan mampu menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi ummah dan negara.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

[ Isu Semasa Umat Islam ]

Mutakhir ini, Islam dan umatnya diuji dengan pelbagai cabaran sama ada yang bersifat dalaman mahupun luaran. Kini, satu bentuk ancaman atau serangan baru yang begitu agresif kepada umat Islam iaitu pemikiran dan fahaman humanrightisme. Fahaman ini dilihat seolah-olah menjadi satu cabang agama baru yang amat pesat berkembang di dalam dan di luar negara.

Fahaman humanrightisme ini, di mana rambu dan rencah utamanya ialah berasaskan pemikiran humanisme dan sekularisme serta liberalisme. Fahaman ini bersifat songsang, apabila mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata dan menolak sebarang sistem nilai yang merangkumi normal agama dan adab susila. Mereka melakukan segalanya ini, di atas satu balutan indah yang diumpani dengan istilah kononnya atas dasar memperjuangkan Hak-Hak Asasi Manusia.

Sebagai sebuah negara Islam yang memartabatkan Maqasid Syariah, sudah tentu kita amat menitik beratkan kemaslahatan dan kebajikan setiap insan tanpa mengira warna kulit, bahasa mahupun agama. Keadilan, keseimbangan dan kecemerlangan adalah ciri wasatiyyah yang kita gunakan dalam pelaksanaan Hak Asasi Manusia di negara ini. Pemahaman Hak Asasi Manusia yang ekstrim dan tidak mempunyai batas; diwasatiyyahkan dengan kerangka undang-undang, Perlembagaan dan nilai budaya bangsa.

Hari ini, dengan cabaran globalisasi dunia tanpa sempadan, pemikiran songsang di sisi Islam seperti Pluralisme dan Liberalisme cuba dicerna dan disebarkan dengan mengaitkan kesucian Agama Islam. Hakikatnya, pemikiran sesat ini merupakan ancaman yang sangat berbahaya kepada akidah dan syariat Islam itu sendiri.

Makanya pada hari ini, sekali lagi kita menyatakan bahawa Islam yang dianuti, yang diamalkan dan dinobatkan sebagai agama negara di Malaysia ini, adalah Islam yang berteraskan Ahli Sunnah wal Jamaah sebagaimana yang telah dibawa oleh baginda Rasulullah SAW dan para Sahabat baginda sekaliannya.

Sudah tentu, kita sama sekali tidak akan redha dengan sebarang tuntutan agar hak untuk murtad daripada Islam diberikan, atau hak umat Islam ini melaksanakan ajaran Islam melalui Mahkamah Syariah dinafikan, mahupun sebarang perilaku songsang LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) diperakui dan dihalalkan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian yang dirahmati Allah sekalian,

[ Al-Quran Sumber Kemajuan dan Solusi Terbaik ]

Sesungguhnya, Allah SWT telah menyatakan dengan tegas bahawa al-Quran itu adalah pedoman untuk seluruh umat manusia bagi mencapai kejayaan di dunia mahupun di akhirat. Tuntunan qurani yang dibawa oleh wahyu suci ini, telah memerdekakan manusia daripada pemikiran dan kegelapan jahiliyah kepada cahaya keimanan dan kemuliaan insan sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah ar-Ra’du ( ) ayat 1 yang bermaksud:

“Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan ia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.”

Justeru, pemahaman agama Islam yang sebenar dan menyeluruh menjadi asas kekuatan kita. Sebagai umat Islam kita harus berusaha memahami al-Quran mengikut pemahaman Nabi Muhammad SAW yang menekankan konsep keimanan dan ketakwaan hanya kepada Allah SWT serta persaudaraan yang erat sesama Islam.

[ Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah ]

Majlis Tilawah Al-Quran pada kali ini mengangkat ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’. Sesungguhnya ia berkait rapat dengan wasatiyyah yang dididik dan diteladankan oleh Nabi Muhammad SAW melalui sirahnya, berdasarkan piagam Madinah dan perjanjian Hudhaibiyah serta kesederhanaan berimbang oleh Khulafa al-Rasyidin dan para sahabat sekalian.

Sebagaimana yang terpancar di dalam Piagam Madinah, Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan kepada dunia betapa islam begitu mengambil berat kepentingan perpaduan dan kesatuan ummah di dalam sesebuah negara. Ini merangkumi perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama.

Meneladani sunnah mulia ini, telah sekian lama negara kita meletakkan keharmonian dan keadilan serta kesatuan antara rakyat Malaysia sebagai satu agenda utama negara. Ini sejajar dengan usaha kita untuk menjadi sebuah Negara Islam Moden, progresif dalam mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian yang dirahmati Allah sekalian,

[ Penutup ]

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kepada masyarakat Islam, agar fahami dan hayatilah secara mendalam bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang bakal diperdengarkan, supaya kita semua dapat mengambil manfaatnya untuk kebaikan kita bersama.

Sekali lagi, saya ucapkan setinggi syabas dan tahniah kepada kerajaan Negeri Pahang dan Jakim serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran tilawah Al-Quran pada kali ini.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, marilah kita memohon keredhaan dari Allah SWT, agar kesan daripada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ini, menghasilkan Generasi Al-Quran yang diimpikan serta Negara menjadi lebih sejahtera, diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT, Insya-Allah.

Berlandaskan doa dan pengharapan tersebut, dengan lafaz yang mulia Bismillahirrahmanirrahim, sukacitanya saya merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-57 Bagi Tahun 1435 Hijriah bersamaan Tahun 2014 Masihi.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Speeches