3 July, 2010

Perasmian Persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia Kali ke-12


1. Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana pada petang yang hening ini, kita dapat berhimpun dalam 1 majlis yang begitu bersejarah bagi saya iaitu Perasmian Persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia kali ke-12. Tahniah kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) kerana berjaya menganjurkan Persidangan ini yang bertemakan ‘1 Malaysia Ke Arah Pengukuhan Perundangan Syariah’.

2. Perjumpaan ini telah melakar dan memahat sejarahnya tersendiri, buat julung kalinya saya selaku Perdana Menteri yang pertama datang meraikan warga Pegawai Syariah Seluruh Malaysia dalam persidangan yang sungguh bermakna ini. Saya berasa sangat gembira dan bertuah kerana dapat berjumpa dengan tuan-tuan yang datang dari seluruh negara. Saya ucapkan jutaan terima kasih di atas komitmen tersebut.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

3. Mengimbas kembali catatan sejarah, undang-undang Islam sememangnya telah lama diamalkan oleh penduduk Malaysia iaitu sebelum merdeka. Ianya bermula dari kurun ke-15 ketika berkembangnya empayar Melaka. Penduduk Tanah Melayu pada ketika itu telah sebati dengan agama Islam sehinggalah perundangan syariah dikanunkan menerusi Hukum Kanun Melaka.

4. Walaupun selama hampir 450 tahun Tanah Melayu dijajah oleh Portugis, Belanda, British dan Jepun, namun kita dapat melihat undang-undang Islam ketika itu dilaksanakan bukan sahaja dalam hal ehwal kekeluargaan, tetapi merangkumi perkara-perkara yang melibatkan pentadbiran, jenayah, mu’amalat dan sebagainya. Malah seorang pengkaji sejarah Inggeris yang bernama R.J Wilkinson turut mengakui perkara tersebut dengan menyatakan:

“Tidak syak lagi bahawa undang-undang Islam akan menjadi undang-undang bagi Tanah Melayu sekiranya undang-undang Inggeris tidak dikuatkuasakan”

(PERANAN JKSM DALAM MEMARTABATKAN MAHKAMAH SYARIAH DAN MENINGKATKAN PROFESIONALISME PEGAWAI SYARIAH)

5. Kehebatan undang-undang Islam di negara ini pada suatu ketika dahulu begitu terserlah keadilannya. Ianya terserlah apabila ia turut menjadi peraturan yang dilaksanakan kepada orang-orang Islam dan bukan Islam. Sesuai dengan prinsip undang-undang Islam untuk memberi keadilan, sudah tiba masanya JKSM mengorak langkah proaktif dan terkehadapan bagi memikirkan apakah undang-undang atau kaedah yang sesuai diamalkan di Mahkamah Syariah bagi memutuskan pertikaian yang melibatkan pihak-pihak Islam dan bukan Islam.

6. Justeru, JKSM perlu proaktif, mengambil inisiatif agar prinsip undang-undang Islam untuk memberi keadilan, dapat dirasakan dan dihayati oleh orang Islam dan bukan Islam supaya mereka merasai dan menyelami keindahan undang-undang Islam yang sebenar. Oleh itu, peranan dan tanggungjawab yang besar ini perlu dipikul oleh JKSM sebagai satu amanah untuk dilaksanakan. Dengan itu, JKSM perlu ditransformasikan corak pengurusan secara lebih kreatif dan gaya kepimpinan yang inovatif dalam memartabatkan Mahkamah Syariah dan memperkasakan integriti para hakim dan pegawai syariah.

7. Justeru, strategi dan usaha transformasi sepenuhnya diperlukan untuk memantapkan badan kehakiman ini dengan mengukuhkan lagi agama Islam selaku agama rasmi negara. Pegawai syariah dan hakim syari’e juga hendaklah bijak dan berani dalam memberikan pentafsiran yang lebih menguntungkan umat Islam dan masyarakat keseluruhannya.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

8. Sejarah telah membuktikan bahawa pada era pentadbiran British, orang-orang Melayu terbahagi kepada wilayah-wilayah kecil yang masing-masing diperintah oleh raja-raja. Penyatuan sebagai satu bangsa tidak berlaku terutamanya kerana dasar “divide and rule” atau “pecah dan perintah”. Identiti negeri-negeri diperkuatkan lagi oleh British menerusi pelantikan penasihat British di setiap negeri.

9. Akibatnya, tiada usaha serentak dan bersama untuk memperkasakan perundangan syariah. Malah ketika ini, hanya tujuh (7) buah negeri sahaja yang menyertai skim guna sama Mahkamah Syariah dan selebihnya masih lagi mengamalkan perundangan syariah secara berasingan. Menyedari itu, sewajarnya kita melakukan tindakan perubahan dengan mengadakan pelan tindakan strategik yang berkesan bagi memastikan perundangan syariah dapat diseragamkan, diperluas dan mengelak daripada berlakunya pertindihan bidang kuasa.

10. Namun, walau apa pun perancangan yang telah dan akan dilakukan, saya menyarankan agar ia dibuat secara berhemah dan beretika bak kata pepatah seperti ‘menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak’.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

11. Apabila kita menyebut mengenai badan kehakiman syariah, kita tidak dapat mengelak daripada memperkatakan institusi kekeluargaan yang berkaitan dengan hak-hak wanita dan kanak-kanak. Pada hari ini ramai wanita seolah-olah merasakan diri mereka teraniaya dan tidak mendapat keadilan yang sewajarnya disebabkan kelewatan penyelesaian kes. Malah mereka lantang menuduh Mahkamah Syariah mengamalkan gender bias. Justeru, saya menyeru kepada pegawai-pegawai syariah agar mencari kaedah dan mekanisme yang efektif dan relevan bagi mencari penyelesaian yang terbaik untuk merungkai permasalahan ini.

12. Kita menyedari bahawa Malaysia merupakan sebuah negara majmuk, berbilang kaum dan agama dengan hampir 34% penduduknya menganuti agama selain Islam. Dengan sifat kepelbagaian inilah menjadikan negara kita sebuah negara yang unik di mata dunia. Malah, disebabkan faktor ini jugalah saban tahun bilangan rakyat yang memeluk agama Islam kian bertambah. Menurut statistik semenjak tahun 2000 sehingga 2009 jumlah saudara baru yang memeluk Islam di Malaysia ialah seramai 76,663 orang.

13. Rentetan itu dan ditambah dengan isu-isu semasa dan global, pelbagai permasalahan timbul melibatkan agama dan menguji kemampuan pegawai syariah serta sistem kehakiman syariah. Sebagai contoh, perebutan hadhanah (hak jagaan anak) bagi pihak-pihak yang berlainan agama, perebutan mayat, pengesahan status agama, pertikaian harta pusaka di kalangan orang Islam dan bukan Islam, kehadiran peguam bukan Islam di Mahkamah Syariah, kes-kes tuntutan yang kini mencapai nilai berbilion ringgit dan lain-lain isu yang menuntut kepakaran dan kebijaksanaan yang tinggi dalam menyelesaikan pertelingkahan tersebut.

14. Melatari situasi tersebut, saya amat berharap agar pegawai syariah proaktif berijtihad dalam pentafsiran hukum syariat yang fleksibel (tidak qat’e) agar dapat mengembalikan keyakinan umum terhadap keunggulan undang-undang Islam sebagai undang-undang yang menjamin keadilan dan kemaslahatan umum kepada semua pihak tanpa batasan bangsa atau gender.

Tuan-tuan dan Puan-Puan sekalian,

15. Sesungguhnya kerajaan sendiri komited dalam memberikan galakan terhadap apa jua bentuk transformasi yang ingin dijalankan. Sebagai contoh, bagi mentransformasikan institusi perundangan syariah, kerajaan telah bersetuju memperuntukkan kewangan sebanyak RM15 juta kepada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bagi membantu pihak-pihak yang teraniaya akibat daripada kegagalan pihak suami dalam melaksanakan perintah nafkah di Mahkamah Syariah. Ini adalah satu komitmen kerajaan yang tidak pernah digambarkan sebelum ini.

16. Selain itu, dalam menyempurnakan tuntutan transformasi ini juga, kerajaan telah bersetuju melanjutkan had umur ketua hakim dari 58 tahun kepada 66 tahun. Manakala bagi mempertingkatkan keadilan dalam sesuatu kes berkaitan kekeluargaan dan hak-hak wanita dan keperluan semasa, maka buat julung kalinya kerajaan dengan perkenan Yang Dipertuan Agong telah pun melantik dua orang wanita sebagai Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Dua keputusan yang di luar jangkaan kita.

17. Melihat kepada komitmen dan kesungguhan kerajaan itu maka, institusi perundangan syariah harus berupaya dan mampu merasai keperluan dan kemahuan masyarakat keseluruhannya. Justeru, Mahkamah Syariah tidak boleh dibangunkan secara terasing daripada pembangunan manusia. Bagi memastikan keadilan tercapai, undang-undang syariah hendaklah meneliti realiti sosial kehidupan masyarakat masa kini dan berusaha agar undang-undang tersebut dapat menangani cabaran dan memberi keadilan kepada masyarakat. Ini bagi mengelakkan pertikaian dan kontroversi yang akan tercetus apabila sesuatu keputusan dijatuhkan kepada mana-mana pesalah syariah dan bagi menjaga kestabilan politik, imej dan ekonomi Negara kita.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

18. Memang tidak dinafikan bahawa Malaysia telah berjaya mempraktikkan ajaran Islam secara tersusun dan tertib bersesuaian dengan kehendak zaman. Malah undang-undang awam juga dikaji dan diubahsuai supaya tidak bertentangan dengan agama Islam. Demikianlah berjayanya penerapan Islam sebagai cara hidup di Malaysia sehinggakan banyak negara Islam seperti Negara Arab Saudi telah melabelkan Malaysia sebagai negara Islam contoh dan progresif. Sering kali juga delegasi dan rombongan dari negara luar dihantar ke sini untuk mempelajari sistem kehakiman di negara kita.

19. Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua pegawai syariah yang berkhidmat selaku hakim, pendakwa syari’e, peguam, pegawai di Mahkamah dan agensi lain seperti di Jabatan Peguam Negara, Jabatan Bantuan Guaman dan lain-lain agensi mempertingkatkan profesionalisme dan menetapkan hala tuju untuk terus berdaya saing dalam menggalas tugas dan tanggungjawab yang murni ini.

20. Di samping itu, pegawai-pegawai syariah juga digalakkan untuk menyebarkan pengalaman praktikal di Mahkamah Syariah kepada umum bagi memastikan kesinambungan dan perkembangan perundangan Islam di Malaysia. Kebangkitan dan kesedaran untuk menjulang syariat Islam tidak akan berhasil dan bermakna tanpa usaha, strategi dan kerjasama yang erat daripada pendokong Mahkamah Syariah sendiri.

21. Meskipun bilangan pegawai syariah JKSM hanya berjumlah 418 orang, namun bilangan yang ramai bukanlah pemangkin kejayaan semata-mata seperti mana kejayaan Perang Badar yang bukanlah disebabkan faktor bilangan, tetapi disebabkan kelancaran pelan strategi, integriti, disiplin dan komitmen yang tinggi serta iman yang utuh.

22. Di kesempatan ini juga, saya ingin menyatakan bahawa kerajaan sedia membantu untuk memberi peluang dan galakan kepada Pegawai Syariah yang ingin melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat master dan Phd. Insentif ini perlu bagi meningkatkan kepakaran pegawai syariah dalam bidang masing-masing agar dapat mendepani polemik dan permasalahan isu syariah baru yang semakin kompleks. Insya-Allah, saya percaya kita akan melonjakkan imej institusi Mahkamah Syariah yang berwibawa dan berintegriti serta menjadi model kepada Negara-negara Islam khasnya dan contoh kepada dunia amnya.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

23. Saya yakin dengan usaha dan kerjasama tuan-tuan dan didukung sokongan padu masyarakat pelbagai kaum melalui keunikan Gagasan 1 Malaysia, negara ini akan menjadi model negara Islam yang progresif dan berpendapatan tinggi, serta mampu mencipta tamadun baru menjelang 2020.

24. Akhirul kalam, saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua hakim syarie dan pegawai syariah di seluruh Malaysia diatas komitmen dan tanggungjawab untuk bersama-sama bersatu hati dan bersatu tekad ke arah memperkukuhkan institusi perundangan syariah negara. Sekalung tahniah dan syabas kepada pihak JKSM dan kerajaan negeri Pahang di atas inisiatif bersama menganjurkan persidangan ini. Semoga persidangan ini akan mencapai misi dan objektifnya sebagaimana dirancang. Insya-Allah.

25. Bertekadkan iltizam itu, dengan lafaz yang mulia “Bismillahirrahmanirrahim”, sukacitanya saya merasmikan Persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia kali ke-12 pada tahun 2010 ini.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Speeches