17 October, 2012

Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2012


    1. Alhamdulillah, bersyukur saya kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan berkat kurniaNya dapat kita bersama-sama berkumpul pada hari yang penuh bermakna ini sempena Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2012. Sambutan ini memberi saya peluang untuk berdampingan bersama tuan-tuan dan puan-puan warga emas yang diraikan.
    2. Berasaskan unjuran yang dibuat, Malaysia dijangka mencapai status negara tua pada tahun 2030 apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk merupakan warga emas. Kini golongan warga emas, iaitu mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas, adalah seramai 2.2 juta orang atau 7.7 peratus daripada 28.3 juta penduduk Malaysia. Jangka hayat ketika lahir bagi seorang perempuan telah meningkat dari 58 tahun pada tahun 1957 kepada 77 tahun pada tahun 2010. Begitu juga perkembangannya untuk lelaki, yang mana jangka hayat ketika lahir menokok dari 56 tahun pada tahun 1957 kepada 71.9 tahun pada tahun 2010.
    3. Tidak dapat dinafikan bahawa Kesejahteraan hidup dan pembangunan yang dinikmati oleh kita semua pada masa ini adalah hasil titik peluh generasi terdahulu yang kini menjadi warga emas di negara ini. Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua warga emas di atas pengorbanan dan usaha gigih mereka yang membolehkan kita mengecapi kemakmuran negara. Jasa warga emas akan sentiasa dikenang.
    4. Warga emas merupakan aset yang amat penting kepada negara memandangkan mereka memiliki ilmu, pengalaman dan kepakaran yang tidak mudah dicari ganti. Usia emas dan persaraan itu bukanlah noktah bagi mereka untuk menyumbang tenaga mahupun bagi kita memanfaatkan golongan warga emas. Justeru, tema Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2012 iaitu “Warga Emas Produktif: Melakar Masa Depan” adalah bertepatan pada masanya.

Hadirin yang dihormati

    1. Kerajaan akan terus mengutamakan aspek persediaan negara menghadapi cabaran penuaan masa kini dan akan datang bagi  memastikan warga emas terus hidup aktif dan bermaruah. Seperti kata pepatah, “orang tua lebih dulu makan garam”, golongan warga emas memiliki pengalaman, kemahiran, ilmu, buah fikiran dan yang paling penting sekali kebijaksanaan atau “wisdom”.
    2. Beberapa pendekatan dan langkah telah diambil dan di rangka oleh Kerajaan supaya warga emas terus dapat menyumbang kepada negara dan masyarakat. Ini termasuk,
      • meningkatkan umur persaraan dalam kalangan penjawat awam dari 58 kepada 60 tahun berkuat kuasa tahun ini, dengan keyakinan bahawa mereka akan terus mencurah bakti kepada pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.
      • menggubal Akta Umur Persaraan Minimum 2012 bagi menetapkan umur persaraan minimum bagi pekerja swasta.
      • penggubalan Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) yang dikuatkuasakan mulai 15 Oktober 2010 memastikan hak dan perlindungan pekerja separa masa daripada segi terma perburuhan lebih jelas dan menyeluruh. Langkah ini membolehkan warga emas yang masih ingin berada dalam pasaran pekerjaan untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
      • pelbagai bentuk bantuan, rebat atau insentif telah diberikan kepada warga emas untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan lebih bermakna sebagai sebahagian daripada anggota penting dalam keluarga, masyarakat dan negara.

Hadirin yang dihormati

    1. Sudah tentu kesihatan adalah perkara penting dan diutamakan oleh Warga Emas. Kerajaan prihatin terhadap aspek ini dan telah memperluas perkhidmatan kesihatan asas ke segala pelosok negara bagi membolehkan rakyat menikmati kualiti hidup yang semakin baik.
    2. Untuk menjamin harga kesihatan tidak menjadi beban kepada warga emas, Kerajaan telah mengatur beberapa rancangan, seperti:
      • Pengecualian caj pendaftaran pesakit luar (sebanyak RM1) di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk Klinik 1Malaysia serta klinik pergigian milik Kerajaan diberikan kepada warga emas mulai 1 Januari 2012.
      • Mulai 1 Mei 2012, warga emas juga dikecualikan caj pendaftaran rawatan pakar (sebanyak RM5) dan pengurangan caj pesakit kelas 3 sebanyak 50 peratus dengan caj maksimum sebanyak RM250 bagi setiap kemasukan.
    3. Bukan sahaja itu, dalam Bajet 2013 yang bersifat mesra warga emas kerajaan telah mengumum beberapa perkara untuk menafaat warga emas. In termasuk menyelaras semula pencen pesara kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun dengan menaikkan pencen minimum daripada RM720 kepada RM820 sebulan. Pelarasan pencen ini akan mengambil kira bayaran pencen bermula 1 Januari 2012. Langkah ini akan menafaat seramai 56,000 orang pesara kerajaan, termasuk penerima pencen terbitan, dengan peruntukan tambahan sebanyak RM60 juta setahun. Secara keseluruhannya, kerajaan membelanjakan sejumlah RM12.5 bilion pada tahun ini bagi membiayai pemberian ganjaran atau saraan kepada pesara kerajaan.

Hadirin yang dihormati

    1. Bersesuaian dengan peralihan kepada dasar pelaksanaan subsidi bersasar, kerajaan akan meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M 2.0 pada tahun 2013. Dalam hal ini, sebahagian besar daripada pesara kerajaan dan swasta serta warga emas yang berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah akan sekali lagi menikmati RM500 secara one-off daripada kerajaan.
    2. Satu lagi “hadiah” kerajaan dalam Bajet 2013 kepada golongan warga emas ialah pengurangan caj bayaran pemprosesan pasport sebanyak 50 peratus iaitu daripada RM300 kepada RM150 untuk tempoh sah laku 5 tahun. Selain itu, caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh 2 tahun pula dikurangkan kepada RM80. Kadar bayaran baru ini akan berkuat kuasa pada bulan Januari 2013.

Hadirin yang dihormati

    1. Berlandaskan kepada Gagasan 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, kerajaan telah melancarkan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA pada 24 Ogos 2011 sebagai usaha meningkatkan kualiti hidup golongan berpendapatan rendah serta memastikan tiada kelompok rakyat termasuk warga emas tercicir daripada menikmati faedah pembangunan dan kemakmuran negara.
    2. Justeru, bagi meneruskan agenda kebajikan rakyat, kerajaan memberi bantuan kebajikan kepada warga emas yang miskin dan tinggal bersendirian meneruskan kelangsungan hidup. Keikhlasan ini terbukti di mana KAR1SMA Warga Emas atau Bantuan Orang Tua merupakan skim bantuan kebajikan yang terbesar pada tahun 2011, melibatkan perbelanjaan sebanyak RM478 juta bagi membantu seramai 135,217 orang warga emas di seluruh negara. Ini merupakan 35.3 peratus daripada keseluruhan bantuan kebajikan (berjumlah RM1.353 bilion) berbanding dengan 28.4 peratus pada tahun 2010. Bagi tahun 2012, peruntukan kewangan sebanyak RM496 juta disediakan bagi memberi manfaat kepada 150,000 orang warga emas miskin.

Hadirin yang dihormati

ANNOUNCEMENT

    1. Satu prasarana yang memerlukan perhatian khusus ialah penubuhan pusat aktiviti bagi warga emas secara lebih meluas dalam komuniti setempat. Pusat ini menyediakan kemudahan kepada warga emas, termasuk yang tinggal bersendirian dan kesunyian, menjalani aktiviti sosial dan riadah bersama ahli masyarakat yang lain atau rakan sebaya. Adalah wajar supaya projek-projek perumahan yang baru menyediakan pusat aktiviti warga emas, sama seperti keperluan untuk menyediakan kemudahan taska dan tadika.
    2. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga bercadang untuk menggunakan Dewan-Dewan di bawah Kementerian sebagai pusat aktiviti warga emas selaras dengan permintaan yang semakin meningkat untuk pusat-pusat sedemikian. Pada masa ini terdapat 45 dewan di bawah Kementerian yang bolih digunakan sebagai pusat aktiviti warga emas.
    3. Golongan warga emas boleh melakar masa hadapan mereka supaya lebih produktif jika mereka menceburkan diri dalam koperasi. Sebagai makluman, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menawarkan geran dan pinjaman mudah sehingga RM80,000 kepada mereka yang ingin menubuhkan koperasi baru di negara ini.
    4. Secara khususnya, geran automatik RM30,000 akan ditawarkan berdasarkan projek koperasi yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Pada masa sama, koperasi itu juga diberi keistimewaan membuat pinjaman sebanyak RM50,000 lagi tanpa cagaran berbanding melalui bank perdagangan. Ini bermakna mana-mana koperasi yang baru ditubuhkan sudah mempunyai dana besar sebanyak RM80,000 untuk menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi bagi ahli mereka. Sehubungan itu, saya menyeru kepada golongan warga emas untuk merebut peluang keemasan ini.

Hadirin yang dihormati

  1. Bersempena Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2012, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Warga Emas kepada semua warga emas yang telah banyak berjasa kepada negara dan masyarakat serta melahir, membesar dan mendidik generasi cemerlang yang diwarisi kita pada hari ini. Bagi mengenang dan menghargai jasa yang telah dicurahkan, warga emas sewajarnya menikmati masa depan yang sejahtera di usia tua yang masih produktif, selaras dengan tema Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2012 iaitu “Warga Emas Produktif: Melakar Masa Depan”.
  2. Akhir kata, perjuangan murni kerajaan untuk menjamin kesejahteraan dan kebajikan golongan warga emas akan terus diberi penekanan agar golongan warga emas dapat menjalani kehidupan yang berdikari, berintegriti dan bermaruah sebagai sebahagian daripada anggota penting dalam keluarga, komuniti dan negara.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2012.

Sekian.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Speeches