Ucapan Perdana Menteri Mengenai Badan Bukan Kerajaan atau NGO

By Friday May 19th, 2017 Featured Articles, Speeches

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Bilangan penduduk rakyat Malaysia kini sudah melebihi 32 juta. Adalah mustahil bagi kerajaan dan agensi berkaitan kerajaan untuk menjaga kebajikan setiap penduduk.

Disebab itulah wujudnya badan bukan kerajaan iaitu NGO, pertubuhan sukarelawan yang tidak mengambil apa-apa keuntungan dalam menjaga kebajikan golongan yang kurang bernasib baik seperti gelandangan, warga emas, anak yatim dan lain-lain.

Kerajaan amat menghargai usaha pertubuhan-pertubuhan sebegini kerana mereka membantu orang lain tanpa mengharapkan balasan.

Kerajaan Persekutuan bersedia menghulurkan sebarang bantuan sama ada dari segi kewangan, ataupun dalam bentuk infrastruktur.

Pertubuhan sukarelawan yang berdaftar boleh memohon bantuan kewangan dalam bentuk geran melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat. Terdapat pelbagai jenis geran disediakan seperti geran pentadbiran, rangsum, pembaikan dan elaun khas murid OKU.

Kerajaan juga ada menyediakan bantuan khas pembendaharaan iaitu bantuan kewangan diagihkan kepada NGO bagi tujuan pelaksanaan program pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Badan sukarelawan yang berdaftar juga boleh memohon untuk pengecualian cukai.

Akhir kata, kerajaan menggalakkan lebih banyak NGO ditubuhkan supaya tiada golongan kurang bernasib baik terlepas daripada perhatian kerajaan.

Kerajaan juga berharap agar dapat bekerjasama secara langsung dengan NGO supaya lebih banyak program kebajikan dapat dilaksanakan.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh