10 June, 2010

Ucapan YAB Perdana Menteri Semasa Membentangkan Usultentang Rancangan Malaysia Kesepuluh


MALAYSIA

RANCANGAN MALAYSIA KESEPULUH
2011-2015

Ucapan oleh Y.A.B. Perdana Menteri
di Dewan Rakyat

 

 

UCAPAN Y.A.B. PERDANA MENTERI
DATO’ SRI MOHD. NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
SEMASA MEMBENTANGKAN USULTENTANG
RANCANGAN MALAYSIA KESEPULUH
PADA 10 JUN 2010
JAM 11.30 PAGI

 

 

 

 

 

 

 

Tuan Yang di-Pertua,

Dengan sukacitanya saya berdiri di Dewan yang mulia ini untuk mengemukakan satu usul seperti berikut:

“Bahawa Dewan ini,

menyedari akan cabaran pertumbuhan ekonomi serta pencapaian sosioekonomi semasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan dalam menghadapi persekitaran global yang begitu mencabar;

merestui usaha Kerajaan untuk terus melaksanakan Misi Nasional dengan disokong oleh Model Baru Ekonomi sebagai rangka dasar pembangunan bagi mencapai matlamat Wawasan 2020;

meluluskan Rancangan Malaysia Kesepuluh yang akan dilaksanakan berasaskan hala tuju strategik, program dan peruntukan yang diperlukan untuk merealisasikan Wawasan 2020 dan membawa negara ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2020 seperti dibentangkan dalam Kertas Perintah CMD.3 Tahun 2010;

Bahawa dalam meluluskan Rancangan Malaysia Kesepuluh, Dewan yang mulia ini menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersatu padu dengan semangat “1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” dan mempunyai iltizam yang teguh bagi melaksanakan tanggungjawab yang murni untuk menjayakan pelan transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi dan maju, berdaya tahan dan berdaya saing, demi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.”

RANCANGAN KEMAKMURAN EKONOMI DANÂ

 

 

KEADILAN SOSIAL

 

PENDAHULUAN

Tuan Yang di-Pertua,

3. Alhamdulillah, dipanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala lantaran izin dan rahmatNya jua, maka pada hari penuh bermakna ini, 10 Jun 2010 bersamaan 27 Jamadil Akhir 1431, saya akan membentangkan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) bagi tempoh 2011 hingga 2015. Rancangan ini adalah amat kritikal bagi meneruskan kesinambungan prakarsa nasional ke arah merealisasikan Wawasan 2020 menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Tuan Yang di-Pertua,

4. Semenjak mencapai kemerdekaan lebih lima dekad lalu, Malaysia, sebagai sebuah negara majmuk telah meraih kejayaan demi kejayaan yang menakjubkan. Hakikatnya, ketika banyak pihak sibuk menulis belasungkawa tentang negara tercinta ini, kita telah berjaya mengesima ketidakyakinan serta kesinisan mereka.

5. Tidak keterlaluan untuk rakyat Malaysia mendabik dada dan membuktikan bahawa dengan kepimpinan serta persekitaran yang betul, pelbagai puncak berjaya ditawan, pelbagai pancang berjaya di capai dan pelbagai tembok telah berjaya didaki. Hasilnya, dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang bergantung kepada getah dan bijih timah, Malaysia hari ini telah muncul menjadi sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi dengan asas ekonomi yang mantap.

6. Kejayaan yang digarap ini bukan datang bergolek dalam angan-angan tanpa perancangan mahupun tanpa usaha, sebaliknya ia hasil gigih kepimpinan Kerajaan berwawasan dengan sokongan padu rakyat semenjak merdeka. Dalam hal ini, kita amat terhutang budi kepada kepimpinan negara dan generasi terdahulu kerana faktanya, kita hari ini, membuat lonjakan di atas tapak yang telah mereka bina dengan segala jerih payah dan pengorbanan begitu besar. Secara sedar ataupun tidak, Dua Rancangan Malaya, Sembilan Rancangan Malaysia, Tiga Rangka Rancangan Jangka Panjang serta satu Misi Nasional telah dan sedang dilalui sehingga kita tiba ke pusingan pada hari ini.

7. Pada titik ini, bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin merakamkan rasa penghargaan tulus dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada kelima-lima mantan Perdana Menteri sebermula daripada Tunku Abdul Rahman Putra sehinggalah Tun Abdul Razak Dato’ Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kesemuanya, adalah wirawan nasional, yang mana jasanya akan tertulis dan tersepuh dek tinta emas dalam lebaran tawarikh negara. Kepada yang telah kembali menemui Pencipta, kita menadah kedua tangan memohon doa agar roh mereka dirahmati dan mendapat balasan yang sewajarnya di sisi Rabbul Jalil.

8. Tidak dapat dinafikan, rehlah negara ini meniti dan menongkah himpunan peristiwa serta pelbagai saat suka duka. Sejarah yang dilewati itu wajar dianggap sebagai teladan berguna kepada kita namun, janganlah menjadikan alasan sejarah sebagai sempadan yang memenjarakan pemikiran. Untuk berjaya, rakyat Malaysia perlu berani berfikir, di luar dari kotak pena’kulan yang lazim. Sehubungan dengan itu, sekalipun kerajaan menjadikan detik-detik lalu sebagai panduan dan sempadan, kita tidak boleh sekali-kali terperangkap dengan sindrom penjara sejarah supaya tidak berlakunya paralisis dari segi tindakan yang dirancang dan apa ingin dilaksanakan.

9. Bagi tempoh RMKe-9, ekonomi Malaysia dianggar berkembang pada kadar 4.2 peratus setahun dan pendapatan negara kasar per kapita akan mencecah 26,420 ringgit atau, 8,260 dolar Amerika pada tahun 2010. Tambahan lagi, ianya dicapai dalam suasana kadar inflasi yang rendah manakala, kadar pengangguran dijangka pada paras 3.6 peratus pada tahun 2010. Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan pula, diunjur, mengecil kepada 5.3 peratus pada tahun ini, berbanding 7 peratus kepada KDNK pada tahun 2009.

10. Pelaksanaan program pembasmian kemiskinan untuk golongan sasar pula, telah berjaya mengurangkan kadarnya, kepada 3.8 peratus tahun 2009, berbanding 5.7 peratus tahun 2005. Peratusan miskin tegar pula telah menurun daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus dalam tempoh yang sama.

11. Bagi menangani cabaran kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 2008 dan 2009, Kerajaan telah memperkenalkan pula dua pakej rangsangan ekonomi bernilai 67 bilion ringgit. Dengan izin Allah SWT, ekonomi negara telah semakin pulih dan mencatatkan pertumbuhan amat membanggakan pada kadar 10.1 peratus bagi suku pertama tahun ini. Ini merupakan kadar pertumbuhan tertinggi sejak 10 tahun yang lalu. Mudah-mudahan, bagi tahun 2010 ekonomi Malaysia akan kembali cergas dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6 peratus.

Tuan Yang di-Pertua,

12. Di persada global, perjalanan kita ke arah Wawasan 2020 penuh dengan cabaran getir dan tidak menentu. Hari ini, pentas ekonomi dunia telah banyak berubah dan Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada struktur kos yang rendah untuk terus berdaya saing di peringkat antarabangsa. Arus globalisasi, liberalisasi dan negara-negara seperti China, India, Brazil, Russia, Timur Tengah dan juga negara-negara jiran telah mewujudkan persaingan sengit kepada usaha untuk menarik lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan.

13. Selain daripada faktor persekitaran ekonomi dunia, Malaysia juga menghadapi pelbagai cabaran domestik dalam usaha melonjakkan pertumbuhan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi, dan pada masa yang sama bertujuan melaksanakan dasar fiskal yang berhemah. Antara cabaran utama adalah untuk menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif dan membentuk gagasan modal insan berkualiti tinggi, bagi membolehkan anjakan ke tahap nilai ditambah dan produktiviti yang mantap.

Tuan Yang di-Pertua,

RANCANGAN MALAYSIA KESEPULUH  MELANGKAH KE HADAPAN

14. RMKe-10 telah dirangka dengan pelbagai pendekatan baru dalam perjalanan menuju ekonomi berpendapatan dan berproduktiviti tinggi sesuai dengan Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan. Dalam Rancangan ini, Pendapatan Negara Kasar per kapita telah disasar untuk meningkat kepada 38,850 ringgit, atau 12,140 dolar Amerika, pada tahun 2015. Ini, memerlukan KDNK sebenar berkembang pada kadar 6 peratus setahun. Pertumbuhan akan diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, di samping, menggiatkan semula sektor pertanian yang bernilai tambah tinggi, serta penyerapan kaedah ICT, bioteknologi serta pelantar teknologi yang berkaitan.

15. Cabaran besar Rancangan ini adalah untuk memangkin pelaburan swasta ke tahap yang lebih cergas, di mana ianya disasar berkembang 12.8 peratus atau 115 bilion ringgit setahun. Pada masa yang sama, Kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 5.3 peratus KDNK dalam tahun 2010 kepada kurang daripada 3 peratus pada tahun 2015. Selain itu, Kerajaan akan berusaha tanpa jemu memastikan bahawa taraf serta kualiti hidup rakyat bertambah baik, terutamanya bagi golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah.

Tuan Yang di-Pertua,

RM Ke-10 Premis Utama

16. Sesungguhnya tumpuan mentransformasi negara ke arah mencapai Wawasan 2020 memerlukan kepada penekanan yang khusus dan menyeluruh. Seluruh tenaga dan fikiran perlu digembleng ke arah mencapai objektif ini. Rancangan ini digagaskan daripada 10 idea besar yang kini diterjemahkan sebagai 10 premis utama seperti berikut:

Pertama: Memacu ekonomi domestik dengan kepekaan persekitaran luar negara.

Kedua: Memanfaatkan dan menuas faktor kepelbagaian etnik sebagai satu elemen kejayaan di arena antarabangsa.

Ketiga: Mentransformasi negara ke arah pendapatan tinggi menerusi pengkhususan.

Keempat: Menjayakan pertumbuhan dipacu oleh produktiviti dan inovasi.

Kelima: Memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan unggul.

Keenam: Memastikan peluang yang saksama dan melindungi golongan mudah terjejas.

Ketujuh: Pertumbuhan bertumpu dan pembangunan inklusif.

Kelapan: Menyokong perkongsian pintar yang efektif.

Kesembilan: Menghargai khazanah alam sekitar.

Kesepuluh: Kerajaan umpama syarikat yang berdaya saing.

Tuan Yang di Pertua

RMKe-10 – Lima Teras Strategik

17. Dalam menerajui hala tuju bagi mencapai aspirasi RMKe-10, lima teras strategik utama telah dikenalpasti ke arah mencapai objektif serta sasaran yang telah ditetapkan dalam Rancangan ini. Lima teras tersebut adalah seperti berikut:

Pertama: Menggubah falsafah dan pendekatan Kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia dengan metodologi NKRA;

Kedua: Mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi;

Ketiga: Menuju ke arah pembangunan sosioekonomi secara inklusif;

Keempat: Membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia; dan

Kelima: Mewujudkan persekitaran kondusif ke arah mempertingkatkan kualiti hidup;

Tuan Yang di-Pertua,

Teras Strategik Pertama : Menggubah falsafah dan pendekatan Kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia dengan metodologi NKRA

18. Proses transformasi negara menuntut kepada transformasi jentera Kerajaan bagi menyokong peralihan ekonomi. Untuk muncul sebagai negara berdaya saing di peringkat global, Kerajaan perlu berubah seumpama syarikat yang berdaya saing. Untuk meneruskan aspirasi kita bagi menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi, kita tidak boleh lagi mengambil langkah berdikit-dikit malahan Kerajaan telah mula mengambil langkah transformational, pada masa yang sama mempertahankan agenda keadilan sosial. Bagi maksud ini, Kerajaan akan berpegang kepada 4 tiang utama yakni formula empat campur empat.

19. Dua komponen ini boleh dibahagikan kepada 4 Tiang Utama, terdiri daripada Pertama: Falsafah induk 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan; Kedua: Program Transformasi Kerajaan atau GTP; Ketiga: Program Transformasi Ekonomi atau ETP yang bersandarkan Model Baru Ekonomi dan Keempat: Dua rancangan pembangunan lima tahun yakni Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh dan Rancangan Malaysia Ke-Sebelas. Empat tiang utama ini pula didokong oleh empat nilai asas pelengkap. Pertama: Membudayakan Kreativiti dan Inovasi. Kedua: Mementingkan kepantasan bertindak dan membuat keputusan. Ketiga: Nilai untuk wang atau “Value for money” dan Keempat: Nilai Integriti. Jadinya jika diibaratkan seumpama sebuah rumah, bumbungnya adalah falsafah induk 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, dindingnya adalah GTP dan ETP serta lantainya yang sedang kita bina adalah RMKe10 ini dan RMKe-11. Manakala ibaratnya lagi tangga menaiki rumah 1Malaysia ini adalah dasar-dasar keadilan sosial dan budaya pencapaian tinggi.

20. Selanjutnya, langkah transformasi Kerajaan yang sedang dibuat bermula dengan pelaksanaan enam bidang keutamaan nasional atau yang lebih dikenali sebagai NKRA. Dengan NKRA tersebut, Kerajaan bertekad untuk mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkat pencapaian pelajar, meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkat infrastruktur asas luar bandar dan menambah baik sistem pengangkutan awam bandar. Bagi memastikan kehendak dan keperluan rakyat diambil kira, pendekatan rundingan dengan pelbagai pihak termasuk sektor awam dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) telah diguna pakai.

21. Sehingga kini, Alhamdulillah, kebanyakan inisiatif di bawah NKRA telah membuahkan hasil. Sebagai contoh, bagi NKRA jenayah, kadarnya telah dikurangkan sebanyak 15 peratus pada suku tahun pertama berbanding sasaran sebanyak 5 peratus bagi tahun 2010. Dalam usaha untuk membanteras rasuah pula, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat telah diluluskan oleh Dewan Yang Mulia ini pada bulan April yang lalu. Manakala bagi NKRA pengangkutan awam bandar, usaha penyelarasan laluan bas awam di bandar-bandar utama telah berjaya menghasilkan peningkatan kadar pengguna bas awam bandar kepada 13 peratus. Bagi NKRA pendidikan pula, seramai 18,000 kanak-kanak telah menerima manfaat daripada 929 kelas prasekolah.

22. Inisiatif yang berterusan, telah dikenal pasti oleh PEMUDAH dalam usaha meningkatkan kecekapan dan menambahbaik prosedur Kerajaan. Ini, telah membuahkan hasil yang ketara dalam beberapa bidang. Misalannya, bermula 1 April 2010, tempoh masa yang diperlukan untuk memulakan perniagaan telah dikurangkan kepada 3 hari berbanding 11 hari. Kini, pendaftaran pindah milik tanah boleh diselesaikan dalam tempoh satu hari, berbanding 30 hari sebelum ini. Bermula 11 Mei 2010 pula, terdapat 26 lokasi di seluruh negara yang menawarkan kemudahan pemprosesan pasport antarabangsa Malaysia dalam tempoh hanya satu jam.

TS1.1 Peralihan tumpuan kepada infrastruktur bukan fizikal

23. Mara ke depan, Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan infrastruktur bukan fizikal, termasuk pembangunan modal insan seperti pembangunan kemahiran, serta keupayaan inovasi yang lebih mantap. Dalam pada itu, peruntukan RMKe-10 bagi infrastruktur bukan fizikal telah meningkat kepada 40 peratus, berbanding 21.8 peratus dalam RMKe-9. Tumpuan akan diberikan kepada program pembangunan kemahiran dan juga aktiviti R&D dan modal teroka, ke arah memupuk tahap inovasi negara yang lebih memberangsangkan.

24. Pendekatan ini juga adalah selaras dengan usaha menggalakkan sektor swasta untuk turut serta melabur dalam infrastruktur fizikal dan juga menyediakan perkhidmatan seperti latihan kemahiran. Menyokong hasrat ini, Kerajaan akan menyumbar pelaksanaan perolehan perkhidmatan daripada sektor swasta. Maksudnya, sektor swasta akan bersaing untuk menawarkan perkhidmatan latihan kemahiran pada kos yang kompetitif.

TS1.2 Menambah baik usaha pembangunan modal insan dalam sektor awam

25. Kita maklum bahawa, penyampaian perkhidmatan Kerajaan yang cekap dan berkesan berkait rapat dengan kecemerlangan sumber manusia. Bagi mengekalkan bakat berkualiti dalam perkhidmatan awam, rangka kerja pengurusan sumber manusia dan pembangunan kerjaya akan ditambah baik. Peluang kepada penjawat awam untuk menambah ilmu dan kepakaran masing-masing juga akan diperluaskan. Dalam hal ini, sebuah institusi perkhidmatan awam bertaraf dunia akan diwujudkan untuk meningkatkan kompetensi mereka.

Tuan Yang di-Pertua,

Teras Strategik Kedua : Mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi

TS2.1 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA)

26. Satu pendekatan utama dalam peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi adalah mengamalkan strategi berteraskan pengkhususan. Rancangan ini akan memberi tumpuan kepada 12 bidang ekonomi utama negara atau NKEA yang berpotensi untuk menjana pendapatan tinggi. Selain daripada 11 sektor ekonomi, Lingkungan besar atau “Greater” Kuala Lumpur juga telah dipilih kerana ia berpotensi menjadi bandar bertaraf dunia yang boleh menjadi penggerak utama pertumbuhan ekonomi negara. Butiran terperinci NKEA bakal dimuktamadkan dengan Program Transformasi Ekonomi yang akan diumumkan pada bulan Oktober nanti. Berikut adalah NKEA yang telah dikenalpasti:

(i) Minyak dan gas;
(ii) Minyak sawit dan produk berkaitan;
(iii) Perkhidmatan kewangan;
(iv) Pemborongan dan peruncitan;
(v) Pelancongan;
(vi) Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT);
(vii) Perkhidmatan Pendidikan;
(viii) Elektrik dan elektronik;
(ix) Perkhidmatan perniagaan;
(x) Penjagaan kesihatan swasta;
(xi) Pertanian; dan
(xii) Greater Kuala Lumpur.

Seuhubungan itu, satu unit khas, iaitu Unit Transformasi Ekonomi, akan ditubuhkan untuk merancang, menyelaras pelaksanaan dan pembangunan NKEA tersebut.

27. Selain daripada itu, penyerapan penggunaan kaedah yang berasaskan teknologi tinggi akan juga diberi tumpuan dalam perancangan dan penyelarasan NKEA. Pelantar teknologi seperti bioteknologi, nanoteknologi, dan kejuruteraan tinggi bakal melonjakkan impak pertumbuhan dari NKEA yang telah dikenal pasti.
28. Bagi sektor-sektor ekonomi yang tidak tersenarai di dalam NKEA pula, antaranya seperti teknologi hijau, automotif, aeroangkasa dan logistik, usaha memajukan sektor-sektor ini akan terus dipandu oleh kementerian, agensi dan majlis-majlis yang berkaitan.

TS2.2 Mewujudkan Ekonomi Diterajui Sektor Swasta

29. Sememangnya, sasaran pertumbuhan enam peratus setahun bagi tempoh Rancangan ini memerlukan lonjakan ketara dalam kerancakan aktiviti pelaburan dengan diterajui oleh pelaburan swasta yang lebih cergas. Bagi mencapai maksud ini, Malaysian Investment Development Authority (MIDA) telah dikorporat dan dijenama semula dan diupayakan dengan kuasa tambahan. Di samping itu, peraturan perniagaan yang lapuk akan dilupuskan. Perbadanan Produktivti Malaysia (MPC) pula akan disusun kembali untuk menerajui kajian peraturan perniagaan secara menyeluruh bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor-sektor utama ekonomi.

30. Adalah lazim, persaingan sihat pasaran diperlukan untuk menjadikan ekonomi lebih efisien dan dinamik. Sehubungan dengan ini, Undang-undang Persaingan sedang diberi penelitian untuk menyediakan rangka kawalan terhadap manipulasi pasaran dan kewujudan amalan kartel yang boleh menjejas kecekapan pasaran. Suruhanjaya Persaingan dan Tribunal Rayuan akan ditubuhkan untuk memastikan pelaksanaan undang-undang lebih teratur dan berkesan.

31. Di sudut lain, negara China, India dan Timur Tengah adalah merupakan antara negara yang pesat membangun. Malaysia yang mempunyai hubungan sejarah, perdagangan dan kedudukan geografi strategik perlu mempereratkan lagi hubungan dengan negara-negara ini termasuklah Asia Timur. Oleh itu, Malaysia akan memberi tumpuan yang lebih untuk membangunkan pasaran serantau melalui promosi dan perjanjian perdagangan. Di samping itu, kita akan terus mengukuhkan hubungan ekonomi sedia ada seperti di benua Eropah dan Amerika Syarikat.

32. Saya yakin dengan usaha yang dibuat ini, akan menjadikan Malaysia antara destinasi terbaik untuk menjalankan perniagaan, terutamanya di rantau Asia. Mengikut laporan Bank Dunia, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-23 teratas antara 183 negara di dunia dalam kecekapan urusan menjalankan perniagaan. Kerajaan percaya, Malaysia mampu berada di kedudukan antara negara ke-10 teratas menjelang 2015.

33. Hal tersebut tadi bukanlah perkara yang mustahil kerana dalam tempoh satu tahun sahaja, kita telah berjaya berada antara sepuluh negara paling kompetitif di dunia seperti dilaporkan oleh Institute for Management Development. Apa yang dibanggakan adalah, Malaysia merupakan satu-satunya negara OIC dan NAM yang tergolong dalam senarai ini. Namun begitu, Kerajaan tidak akan berpeluk tubuh dan akan terus berusaha untuk meletakkan Malaysia di lima tangga terbaik dunia pada masa mendatang. InsyaAllah.

TS2.3 Perkongsian Awam-Swasta

34. Seterusnya, perkongsian pintar dan berkesan antara sektor awam dan swasta akan diamalkan sebagai mekanisma penggerak agenda transformasi ekonomi. Fasa baru perkongsian awam-swasta (PPP) akan dilangsungkan dengan memastikan perkongsian risiko dan pulangan saksama yang berimpak besar.

Tuan Yang di-Pertua

35. Setakat ini, 52 projek berimpak tinggi telah dikenalpasti untuk dilaksanakan yang bernilai 63 bilion ringgit. Ini termasuk:

Pertama: Tujuh buah lebuhraya dengan anggaran kos sebanyak 19 bilion ringgit. Projek termasuk Lebuhraya Pantai Barat, Lebuhraya Guthrie – Damansara, Lebuhraya Sungai Juru dan Lebuhraya Paroi – Senawang- KLIA;

Kedua: Dua buah Projek Loji Jana Kuasa Elektrik Arang Batu dengan anggaran kos sebanyak 7 bilion ringgit; dan

Ketiga: Pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh, Selangor seluas lebih kurang 3,300 ekar dengan anggaran kos sebanyak 10 bilion ringgit.

36. Pihak swasta juga akan berpeluang menyertai pembangunan beberapa projek lain yang dipimpin syarikat berkaitan Kerajaan (GLC). Ini termasuk, projek-projek, seperti Projek Pembangunan Strategik Kuala Lumpur oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meliputi kawasan Lapangan Terbang Sungai Besi, dan KL International Financial District di Kuala Lumpur, pembinaan Loji Re-gasification Gas Asli Cecair (LNG) oleh PETRONAS di Melaka dengan anggaran kos 3 bilion ringgit serta pelaburan dua relau pelebur aluminium di SCORE Sarawak berjumlah 18 bilion ringgit.

37. Bagi memudahkan sektor swasta membiayai projek-projek ini, dana berjumlah 20 bilion ringgit akan disediakan melalui Dana Mudahcara atau “Facilitation Fund”. Dana ini, bertujuan membantu merapatkan jurang daya maju pelaburan swasta dalam melaksanakan projek bernilai tinggi dan mempunyai kesan limpahan ekonomi besar, dengan syarat projek tersebut mempunyai impak strategik tinggi dalam pembangunan ekonomi negara. Melalui dana ini, adalah dijangkakan Kerajaan dapat menarik pelaburan swasta berjumlah sekurang-kurangnya 200 bilion ringgit dalam tempoh Rancangan. Projek yang sedang dipertimbangkan untuk dibiayai di bawah Dana ini termasuklah Penambakan Tanah di Westport, Pelabuhan Kelang, Pembangunan Malaysia Truly Asia Centre di Kuala Lumpur dan Taman Teknologi Tinggi Senai di Iskandar Malaysia, Johor.

TS 2.4 Pertumbuhan Dipacu Inovasi

38. Seperti yang diketahui, pertumbuhan ekonomi negara sudah sekian lama didorong oleh pertambahan faktor pengeluaran, dengan sumbangan besar pelaburan, tenaga dan pekerja. Kini, kita perlu beralih kepada pertumbuhan berasaskan produktiviti yang dipacu inovasi. Untuk maksud itu, Kerajaan akan menubuhkan sebuah unit khas di bawah Jabatan Perdana Menteri yang akan memandu dan mengarah keberkesanan sistem inovasi negara serta program pembangunan inovasi sedia ada.

39. Satu langkah penting dalam Rancangan ini ialah menambahbaik kaedah pembiayaan bagi syarikat modal teroka awam. Pada masa ini, pembiayaan Kerajaan kepada syarikat modal teroka awam, seperti Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Malaysian Venture Capital (MAVCAP), disediakan melalui pinjaman jangka panjang. Dalam Rancangan ini, pembiayaan akan berbentuk ekuiti dan bukan pinjaman. Pembiayaan ekuiti ini akan disepadan dengan profil risiko pelaburan modal teroka. Ke arah ini, Dana Inovasi Mudharabah (MIF) dengan peruntukan sebanyak 500 juta ringgit akan diperkenal bagi menyediakan modal berisiko kepada syarikat modal teroka Kerajaan. Bagi merapatkan jurang pembiayaan antara pengkomersilan peringkat awal dan pembiayaan modal teroka bagi produk berteknologi tinggi pula, Kerajaan akan menubuhkan Dana Perkembangan Perniagaan dengan peruntukan permulaan sebanyak 150 juta ringgit. Matlamat Dana ini, bertujuan menyokong syarikat sehingga mereka dapat menjana nilai komersil yang secukupnya bagi menarik pembiayaan modal teroka dan sumber pembiayaan lain.

40. Kita sedar, ramai usahawan telah gagal dek kerana terkesan oleh risiko perniagaan di luar jangkaan. Adalah merupakan satu tragedi jika seorang usahawan yang berkaliber dan berwibawa tidak diberi peluang kedua untuk bangkit semula dan menjadi usahawan yang berjaya. Kita juga sedar, banyak individu, perniagaan dan inisiatif inovasi yang telah gagal kali pertama, tetapi mampu berjaya kembali kemudiannya. Justeru, undang-undang kebankrapan akan dipermudah untuk menyokong budaya mengambil risiko terhitung, menghapuskan stigma kegagalan dan membenarkan usahawan berkaliber lagi wibawa yang gagal untuk kembali aktif.

TS2.5 Membina Infrastruktur Bertaraf Dunia

41. RMKe-10 akan terus memberi tumpuan kepada penyediaan prasarana untuk menyokong pertumbuhan negara, di samping memastikan kesejahteraan segenap lapisan rakyat. Pelaksanaan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi akan meliputi bandar-bandar besar, kawasan pertumbuhan ekonomi utama dan kawasan industri. Usaha ini, akan dilengkapi dengan Jalur Lebar untuk orang awam yang akan memberi liputan ke kawasan pinggiran bandar dan luar bandar. Bagi penduduk di luar bandar, perkhidmatan rangkaian akses kepada jalur lebar akan disediakan melalui prasarana tanpa wayar dengan pakej mampu langgan yang pelbagai.

42. Pembangunan rangkaian pengangkutan multimodal yang lebih luas dan efisien juga diperlukan untuk menyokong pertumbuhan negara. Antara projek utama yang sedang dilaksanakan, termasuk Lebuhraya Pantai Timur dari Kuantan ke Kuala Terengganu dalam Fasa 2, yang akan disiapkan dalam tempoh Rancangan ini, dengan kos keseluruhan sebanyak 3.7 bilion ringgit. Lebuhraya tersebut juga, akan dihubungkan ke Pelabuhan Kuantan yang akan dinaik taraf. Ini akan menyumbang kepada pertumbuhan di Pantai Timur di samping meningkatkan jalan raya ke pedalaman, seperti jalan raya menghubungkan Kuala Lipis ke Cameron Highland dan dari Jerantut ke Sungai Lembing. Selain daripada itu, projek membina landasan elektrik berkembar dari Gemas ke Johor Bahru, dengan kos anggaran sebanyak 8 bilion ringgit, akan dilaksanakan sebagai pelengkap kepada sistem landasan elektrik berkembar dari Padang Besar di utara ke Johor Bahru di selatan. Projek lain pula melibatkan loji rawatan kumbahan (Sewerage Treatment Plant) yang menggunakan teknologi hijau di Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan kemudiannya akan diperluaskan ke seluruh negara.

TS2.6 Dasar Baru Tenaga

43. Dalam Rancangan ini, bekalan tenaga juga akan terus diperkukuh ke arah mewujudkan pasaran yang lebih kompetitif dan mengurangkan tanggungan subsidi tenaga secara berperingkat. Dasar Baru Tenaga telah mengenal pasti lima pendekatan yakni:

Pertama: merasionalkan harga tenaga mengambil kira faktor pasaran secara berperingkat selaras dengan kedudukan ekonomi semasa negara serta kemampuan rakyat;

Kedua: pembangunan bekalan tenaga secara lebih strategik dengan mempelbagaikan sumber tenaga, termasuk sumber tenaga boleh diperbaharui. Tenaga nuklear juga akan dipertimbangkan sebagai tenaga alternatif;

Ketiga: meningkatkan pelaksanaan inisiatif kecekapan tenaga di sektor industri, komersil, kediaman dan pengangkutan;

Keempat: menambahbaik tadbir urus bagi menyokong peralihan kepada prinsip pasaran serta mewujudkan mekanisma penyaluran bantuan sosial kepada golongan berpendapatan rendah; dan

Kelima: memastikan Dasar Baru Tenaga dilaksana berdasarkan pendekatan bersepadu dalam tempoh yang ditetapkan supaya matlamat jaminan bekalan tenaga akan dapat dicapai.

TS2.7 Pembangunan Kluster

44. Seterusnya, pembangunan ekonomi wilayah akan memberi tumpuan kepada sebilangan kluster perbandaran berdensiti yang berteraskan industri bernilai tinggi untuk menarik pelaburan dan tenaga kerja mahir. Langkah ini bertujuan menjadikan beberapa bandar raya di Malaysia sebagai destinasi tarikan baru kepada pelabur dalam industri berteknologi tinggi serta tenaga kerja berbakat dan berpengetahuan.

45. Pendekatan pembangunan berasaskan kluster dalam koridor akan memanfaatkan potensi dan sumber yang ada bagi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan koridor berkenaan. Pembangunan kluster akan ditumpukan kepada sektor-sektor terpilih dengan mengenalpasti aktiviti dan pelabur utama, termasuk GLC dan syarikat swasta, untuk menerajui kemajuannya dalam pembangunan koridor berkenaan. Kemudiannya, pembangunan kelompok-kelompok ini di seluruh bandar di Malaysia dijangka akan diintegrasikan supaya kawasan-kawasan pinggir bandar dan luar bandar yang mengelilingi bandar-bandar besar ini akan mendapat manfaat secara langsung.

TS2.8 Membangunkan SME Sebagai Jentera Pertumbuhan dan Inovasi

46. Aspek seterusnya, Enterpris Kecil dan Sederhana (SME) yang memainkan peranan penting dalam menerajui pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan akan terus menyokong pembangunan SME, termasuk syarikat-syarikat kecil yang masih di peringkat awal untuk bekembang sehingga ke tahap global. Di samping itu, kita juga perlu menggalakkan SME asing untuk bekerjasama dengan SME tempatan supaya sama-sama mendapat manfaat daripada peralihan teknologi dan membuka pasaran yang lebih luas, khususnya dalam sektor teknologi moden.

47. Untuk memastikan SME mendapat akses yang mudah kepada kemudahan pembiayaan, Kerajaan telah menyediakan Skim Jaminan Modal Kerja berjumlah 7 bilion ringgit dan Skim Jaminan Pengstrukturan Semula Industri berjumlah 3 bilion ringgit. Hal ini telah saya umumkan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Kedua. Keseluruhan 7 bilion ringgit di bawah Skim Jaminan Modal Kerja telah pun diluluskan. Memandangkan sambutan kepada Skim Jaminan Modal Kerja amat menggalakkan, Kerajaan akan menambah tiga billion ringgit lagi, menjadikan jumlah semuanya kepada 10 bilion ringgit.

48. Di sudut ini, kerajaan sedar bahawa terdapat SME tempatan yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa tetapi menghadapi masalah untuk bertapak di pasaran domestik. Terdapat juga SME yang telah memperolehi pengiktirafan tempatan atau anugerah antarabangsa dari segi kualiti dan inovasi. Sehubungan itu, SME tersebut akan diberi akses green lane atau keutamaan dalam proses bidaan perolehan Kerajaan mahupun syarikat berkaitan Kerajaan.

49. Di samping itu, Kerajaan juga memandang serius terhadap kesediaan kemudahan kredit supaya para usahawan dapat lebih giat lagi menceburi bidang SME. Sehubungan dengan ini, Kerajaan sedang mengkaji untuk mempertingkatkan lagi sumber kewangan SME dan Agro Bank supaya ia dapat memberikan perkhidmatan yang efektif kepada para usahawan SME kelaknya nanti. Selain itu, SME Corp pula akan diberi peruntukan yang secukupnya bagi memastikan SME yang berpotensi untuk berjaya dapat dibantu dengan sewajarnya.

Tuan Yang di-Pertua,

Teras Strategik Ketiga : Pembangunan Sosio-Ekonomi Secara Inklusif

50. Sesungguhnya, keterangkuman atau inclusiveness merupakan pra-syarat bagi memastikan setiap rakyat dapat menikmati kemakmuran hasil pembangunan negara. Pendekatan ini akan menjamin keadilan sosial kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan dan tidak akan ada sesiapa pun yang berasa terpinggir.

51. Kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia. Prinsip progresif dan pragmatisma akan memandu dasar-dasar negara demi kepentingan rakyat. Namun, kita akan tetap akur kepada peruntukan-peruntukan perlembagaan persekutuan yang akan sentiasa dijunjung dan dihormati.

TS3.1: Penyertaan Masyarakat Bumiputera dalam ekonomi negara

52. Agenda pembangunan Bumiputera pula akan terus diberi penekanan selaras dengan konsep pertumbuhan dengan pengagihan. Memandangkan persekitaran ekonomi global dan domestik yang lebih mencabar, tibalah masanya, untuk kita melaksanakan transformasi dalam agenda pembangunan Bumiputera bagi mewujudkan penyertaan syarikat Bumiputera yang berdaya saing dan berdaya maju. Pendekatan baru ini, akan berasaskan kepada empat prinsip utama, iaitu mesra pasaran, berdasarkan keperluan, merit dan ketelusan.

53. Ertinya, keutamaan akan diberikan kepada aspek meningkatkan keupayaan syarikat Bumiputera. Dalam hal ini, tumpuan akan diberikan kepada usaha meningkatkan nilai ditambah dan membina ke atas kejayaan yang telah dicapai sebelum ini. Syarikat Bumiputera berpotensi yang telah membuktikan kebolehan serta kewibawaan mereka akan disokong untuk maju ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan hasrat Kerajaan supaya syarikat-syarikat ini dapat merealisasikan kemampuan mereka secara optimum.

54. Jika diimbau, matlamat penstrukturan penyertaan syarikat Bumiputera pada awal tahun 1970-an telah memberi tumpuan kepada hakmilik ekuiti. Pengukuran penyertaan Bumiputera kini akan diperluaskan kepada aset kewangan dan bukan kewangan, seperti hartanah dan premis perniagaan, termasuk juga guna tenaga profesional. Kaedah yang lebih holistik dan komprehensif ini memberi penekanan bukan sahaja kepada aspek pemilikan kekayaan, tetapi juga aspek peningkatan pendapatan selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi. Pada masa yang sama, sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera dan ekonomi di peringkat makro masih kekal.

55. Sehubungan itu, untuk memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera, lima inisiatif strategik telah dikenalpasti untuk dilaksanakan seperti berikut:

Pertama: Meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera melalui penginstitusian. Dalam hal ini, program ekuiti swasta dalam syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan seperti PNB, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Tabung Haji akan diperbaharui dan diperkukuh bagi menggembleng pelbagai dana dalam usaha memperluas pemilikan dan kawalan ekuiti Bumiputera.

Dalam konteks ini, Kerajaan telah menubuhkan EKUINAS sebagai institusi pelaburan ekuiti swasta Bumiputera. Fungsi EKUINAS adalah mirip kepada Permodalan Nasional Berhad, dengan penekanan khusus untuk melabur ke dalam syarikat sederhana besar yang berpotensi tinggi, agar dapat disokong sehingga menjadi jaguh serta peneraju utama dalam sektor masing-masing.

EKUINAS membawa pendekatan baru yang lebih mesra pasaran dan berdasarkan merit. Sehubungan itu, Kerajaan akan menyokong usahawan Bumiputera berwibawa dan golongan profesional Bumiputera berkeupayaan untuk mengembangkan syarikat masing-masing ke tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di arena serantau dan peringkat antarabangsa.

Kedua: Mempertingkatkan pemilikan hartanah Bumiputera. Dalam konteks ini, Pelaburan Hartanah Berhad akan menubuhkan Tabung Pelaburan Amanah Hartanah bagi mengurangkan kekangan kepada Bumiputera untuk melabur dalam sektor hartanah komersial dan industri, serta mendapat faedah daripada peningkatan nilai hartanah tersebut. Selain itu, Kampung Baru merupakan aset Bumiputera yang berharga di tengah-tengah pusat Bandaraya Kuala Lumpur. Kampung Baru perlu dibangunkan semula supaya pemilik tanah dapat merealisasikan nilai sebenar hartanah mereka tanpa menjejaskan kedudukan orang Melayu sebagai pemegang asal tanah-tanah di kawasan ini.

Ketiga: Menambahbaik program pembangunan kemahiran dan keusahawanan serta pembiayaan melalui pelbagai agensi pembangunan Bumiputera. Dalam hal ini, pakej secara bersepadu akan dilaksanakan bagi meningkatkan daya saing dan daya maju Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB), termasuk latihan keusahawanan, bantuan teknikal, pembiayaan, khidmat rundingan serta promosi dan pemasaran. Bagi meningkatkan akses kepada kemudahan pembiayaan, sebanyak 1.5 bilion ringgit atau separuh daripada tambahan dana Skim Jaminan Modal Kerja sebanyak tiga billion ringgit, yang saya umumkan tadi, akan diperuntukkan kepada usahawan Bumiputera. Di samping itu, organisasi pembangunan keusahawanan seperti MARA dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan diperkukuhkan. Untuk itu, peruntukan sebanyak tiga bilion ringgit akan disediakan;

Keempat: Membangunkan guna tenaga profesional Bumiputera secara lebih tuntas.
Dari segi pembangunan guna tenaga, kita telah berjaya melahirkan banyak profesional Bumiputera, termasuk ahli korporat, akauntan, jurutera, doktor pakar dan peguam. Kini, tiada profesion di Malaysia yang tidak diceburi oleh Bumiputera. Malahan profesional Bumiputera telah menerajui profesion kejuruteraan, perubatan, guaman, juru ukur dan seni bina. Dalam tempoh tahun 2000 hingga 2008, guna tenaga profesional Bumiputera telah meningkat daripada 56 peratus kepada 63 peratus, sementara di bidang pentadbiran dan pengurusan pula, daripada 46 peratus kepada 51 peratus; dan

Kelima: Menubuhkan satu Majlis peringkat tertinggi untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda pembangunan Bumiputera.
Majlis ini akan diketuai oleh saya sendiri, dan dianggotai oleh beberapa menteri kabinet, pegawai kanan kerajaan serta pihak swasta. Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, akan menjadi urusetia kepada Majlis ini manakala Unit Pengurusan Projek, Kementerian Kewangan akan memantau program yang berkaitan untuk memastikan pelaksanaan yang efisien dan efektif.

TS3.2: Meneruskan Dasar Keadilan sosial

56. Kerajaan menyedari tanggungjawab dan komitmen dari kuasa politik yang diberikan oleh rakyat terhadap matlamat ini. Oleh itu, Kerajaan bertekad akan memperhebat dasar-dasar yang mengutamakan keadilan sosial. Saya percaya masalah yang dihadapi oleh rakyat, sama ada di kampung pedalaman, estet atau kampung baru Cina, boleh diatasi sekiranya perhatian yang khusus diberikan untuk menanganinya. Oleh kerana itulah, melalui tinjauan mesra, saya juga sentiasa mendapat maklum balas tentang kesulitan yang dihadapi oleh rakyat.

57. Rancangan Malaysia Ke-10 ini juga akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah di mana Bumiputera merupakan bilangan terbesar, iaitu 73 peratus daripada 2.4 juta isi rumah dalam kumpulan ini.

58. Sebagai langkah meningkatkan daya saing dan kecekapan pasaran serta memastikan penggunaan sumber yang lebih optimal, kawalan harga dan subsidi perlu dirasionalkan secara berperingkat untuk menghapuskan pengherotan pasaran atau market distortions dan penyelewengan. Walau bagaimanapun, keputusan berhubung pengurangan subsidi akan dilaksanakan setelah mengambil kira maklum balas dan merundingi rakyat. Di atas segalanya, saya memberi jaminan, dalam usaha mengurangkan subsidi, golongan berpendapatan rendah dan mereka yang paling memerlukan akan terus diberi bantuan untuk meringankan impak pengurangan subsidi ke atas kos sara hidup masing-masing.

59. Fokus khusus akan diberi kepada golongan terpinggir yang tinggal di kawasan pedalaman, terutamanya yang mendiami rumah-rumah panjang di Sabah dan Sarawak, serta Orang Asli dan pekerja di estet di Semenanjung Malaysia. Masih terdapat mereka yang hidup tanpa bekalan elektrik dan air, dan jauh daripada kemudahan kesihatan. Anak-anak bersekolah terpaksa berjalan jauh, merentasi jalan yang kadang kala berdebu atau lecak berlumpur dan terdapat juga antara mereka terpaksa merentas sungai untuk menimba ilmu di sekolah. Kerajaan akan membela mereka yang kurang bernasib baik ini untuk keluar daripada cengkaman kemiskinan. Saya ingin memastikan bahawa, kemakmuran pembangunan negara turut dinikmati oleh semua rakyat Malaysia. Sekadar memberi contoh, dari perkampungan Melayu di Grik, Perak; perkampungan Orang Asli di Pos Titom di Cameron Highlands; pekerja India di Ladang Mary, Kuala Selangor; masyarakat Kampung Baru Cina di Pasir Hitam, Perak; masyarakat Iban di Mujong Balleh, Sarawak; dan masyarakat Rungus di Kudat, Sabah.

60. Untuk ini, Kerajaan akan mempergiatkan pelaksanaan pelbagai program ekonomi dan penyediaan kemudahan asas. Kerajaan juga sedang mempertimbangkan kaedah untuk memberi hak milik tanah kepada masyarakat Orang Asli dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Ini akan membolehkan mereka mendapat manfaat daripada program pembangunan pertanian secara bersepadu menggunakan pendekatan agropolitan dan contract farming. Mereka juga akan diberi akses yang lebih baik kepada infrastruktur dan kemudahan awam seperti jalan, pendidikan dan latihan kemahiran.

61. Tumpuan juga akan diberi untuk memperbaiki kualiti hidup pekerja ladang dan displaced estate workers. Sambungan bekalan air ke 182 estet yang mempunyai keluasan 1,000 ekar atau kurang dan terletak tidak melebihi 5 kilometer daripada paip utama akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak 109 juta ringgit. Program latihan kemahiran pula akan disediakan, terutamanya kepada golongan muda pelbagai kaum yang tercicir daripada persekolahan, bagi membolehkan mereka mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik. Bagi mereka yang berminat menjalankan perniagaan kecil-kecilan, akses kepada kemudahan mikro kredit AIM dan TEKUN akan disediakan dalam usaha menangani kemiskinan bandar. Kemudahan pinjaman ini akan dipakej bersama dengan latihan keusahawanan bagi membina keupayaan mereka dalam bidang seperti pengurusan kewangan, penyediaan rancangan perniagaan, pemasaran dan promosi. Latihan ini akan dijalankan di Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Pusat GiatMara dan Institut Kemajuan Desa (INFRA).

62. Penduduk yang tinggal di kawasan kampung baru Cina akan juga diberi bantuan. Kini, terdapat 280,000 isi rumah yang tinggal di kawasan kampung baru Cina. Untuk membantu mereka membuat pembayaran premium tanah bagi perlanjutan tempoh pajakan, pinjaman mudah akan disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional. Untuk ini, sebagai permulaan dana pembiayaan sebanyak 100 juta ringgit akan disediakan. Selain daripada itu, untuk menangani isu-isu masyarakat yang lain, Jawatankuasa-jawatankuasa Kabinet mengenai Hal Ehwal Kaum India dan Bumiputera Sabah dan Sarawak akan diteruskan.

Tuan Yang di-Pertua,

Teras Strategik Keempat : Membangun Dan Mengekalkan Modal Insan Bertaraf Dunia

63. Persaingan untuk modal insan juga semakin meningkat, di mana banyak negara, terutamanya negara maju, mengamalkan dasar keterbukaan yang komprehensif dalam usaha menarik modal insan yang cemerlang termasuk di kalangan rakyat Malaysia. Tenaga kerja mahir dan berpengetahuan tinggi merupakan cutting edge kepada daya saing negara. Dalam hal ini, Kerajaan akan mengambil langkah holistik bagi memperkukuh sistem pendidikan dan latihan, bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak sehingga peringkat pengajian tinggi. Di samping menyediakan infrastruktur pengajaran dan pembelajaran yang terbaik, kerajaan juga akan pastikan kualiti guru dan tenaga pengajar mencapai tahap yang sewajarnya.

TS4.1 Peningkatan Kualiti Pelajar

64. Untuk menambahbaik lagi kualiti pelajar, nisbah guru siswazah di sekolah rendah akan ditingkatkan daripada 28 peratus kepada 60 peratus. Prestasi pelajar dalam mata pelajaran kritikal, terutamanya bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, akan juga dipertingkatkan dengan menambah bilangan guru berkualiti. Bagi mencapai matlamat ini, program pensiswazahan guru akan dipergiatkan. Bagi memperhebat kualiti guru prasekolah pula, syarat kelayakan pelantikan guru prasekolah akan ditingkatkan kepada Diploma dan Sarjana Muda. Kerajaan berhasrat menjadikan profesion keguruan sebagai kerjaya pilihan kepada calon yang cemerlang.

65. Bagi memenuhi keperluan guru bahasa Mandarin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina serta Sekolah Kebangsaan, lulusan Unified Examination Certificate (UEC) yang telah memiliki sijil SPM akan diberi pertimbangan untuk mengikuti pengajian di institut pendidikan guru bagi program bahasa Cina. Pertimbangan yang sama juga akan diberi kepada lepasan Sijil Menengah Agama atau Sijil Tinggi Agama kelolaan Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri yang telah memiliki SPM untuk menjadi guru kepada program pendidikan agama Islam dan J-Qaf.

66. Dalam aspek ini juga, Kerajaan telah menubuhkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) untuk membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan. Sejumlah 20 buah sekolah telah diberi status SBT berdasarkan pencapaian dan prestasi mereka. Bilangan SBT akan ditambah kepada 100 buah pada akhir tahun 2012. Sekolah-sekolah ini terdiri daripada sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah harian dan sekolah berasrama penuh.

67. Sekolah Amanah, atau Trust Schools, akan diperkenalkan untuk memudah cara perkongsian awam swasta dalam pengurusan sekolah-sekolah Kerajaan yang terpilih. Sekolah-sekolah tersebut akan diberi kuasa autonomi oleh Kerajaan dan dengan itu dipertanggungjawabkan bagi meningkatkan prestasi pelajar. Autonomi yang akan diberikan termasuk keanjalan untuk mengubah suai kurikulum pembelajaran, menggunakan peruntukan mengikut keperluan, memberi insentif kepada guru mengikut tahap prestasi serta memilih guru dan staf sokongan.

68. Kerajaan akan terus membantu sekolah bantuan modal bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pihak pengurusan sekolah. Bagi tujuan mengubah suai dan menaik taraf sekolah bantuan modal, peruntukan sebanyak 280 juta ringgit akan disalurkan bagi tempoh 2011 dan 2012. Dengan ini, setiap satu kategori sekolah bantuan modal, iaitu sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangssan Tamil, sekolah agama dan sekolah mubaligh (mission schools) akan memperolehi peruntukan tambahan sebanyak 70 juta ringgit setiap satu dalam tempoh 2011 dan 201

Shares Share Kategori : Speeches