8 September, 2017

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Keteguhan Ekonomi Negara


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

dan Salam 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Terdapat beberapa faktor yang menentukan ekonomi sesebuah negara. Antaranya adalah Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK dan juga keyakinan pelabur asing ke atas keteguhan ekonomi.

Menurut laporan daripada syarikat gergasi perkhidmatan profesional antarabangsa, PwC, Malaysia akan tersenarai sebagai kuasa ekonomi ke-24 terbesar di dunia pada tahun 2050. Hasil kajian ini berdasarkan peningkatan KDNK dan keyakinan pelabur asing ke atas ekonomi negara.

Sekiranya pencapaian ini menjadi kenyataan, impian kita untuk menjadi negara maju bukan angan-angan atau bualan kosong sahaja. KDNK Malaysia pada suku pertama melangkaui jangkaan pakar ekonomi iaitu 5.6% dan sekali lagi meningkat pada suku kedua pada paras 5.8%. Paras KDNK ini lebih tinggi daripada tahun lepas pada suku yang pertama iaitu 4%.

Pencapaian semua ini secara langsung menguntungkan rakyat kerana hasil ekonomi kita yang semakin kukuh ini membolehkan Kerajaan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik untuk rakyat seperti membina lebih banyak hospital dan klinik, memberi bantuan kebajikan kepada golongan yang kurang bernasib baik dan sebagainya.

Akhir kata, peningkatan ekonomi sebuah negara tidak berlaku dalam sehari atau dalam tempoh yang singkat. Ia mengambil masa yang panjang dan perancangan yang teliti. Namun, ia boleh dimusnahkan dalam sekelip mata.

Oleh itu, janganlah kita melibatkan diri dengan unsur atau pihak yang cuba meruntuhkan apa yang kita telah bina selama ini kerana inilah tanah air.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Audio, Featured Articles