22 Julai, 2016

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Pembendungan Pengaruh ISIS Melalui Ajaran Islam Sebenar


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1Malaysia

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Kebelakangan ini kita lihat di serata dunia termasuk di negara kita sendiri, berlakunya serangan-serangan pengganas ISIS. Baru-baru ini kita dapati, seorang warganegara Kanada telah dibunuh dengan kejam oleh mereka.

Yang paling menyayat hati adalah pelampau-pelampau yang menggelar diri mereka sebagai pejuang Islam ini telah menyerang Masjid Nabawi di Kota Suci Madinah di mana Rasulullah SAW disemadikan. Apakah mereka ini mengikuti ajaran Islam?

Anggota keselamatan sememangnya sentiasa bertindak bagi mengekang kemaraan ISIS. Namun, tindakan-tindakan ini sahaja tidak mencukupi bagi menjatuhkan mereka. Kita harus menyelesaikan masalah ini dari peringkat akar umbi.

Punca utama masalah ini adalah ramai yang sudah terpengaruh dengan ideologi songsang ISIS yang jauh tersasar daripada apa yang diajarkan Rasulullah SAW. Islam adalah sebuah agama yang mementingkan keamanan, jadi mengapa mereka ini membunuh?

Ini disebabkan didikan agama yang tidak berpaksikan kepada sumber utama iaitu Al-Quran dan Sunnah sebaliknya berasaskan tafsiran mengikut perasaan mereka.

Oleh itu, kita perlu mengkaji semula didikan agama di sesetengah institusi atau bagi mana-mana individu, jika terdapat kelemahan yang mengakibatkan ada di antara mereka ini terjerumus ke lembah ekstremisme. Adakah didikan tersebut benar-benar berpandukan Al-Quran dan Sunnah?

Kita perlu memastikan didikan agama kita benar-benar berkesan supaya bukan sahaja untuk membendung pengaruh songsang IS, kita juga dapat melahirkan ummah yang lebih maju dan berdaya saing.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.