2 September, 2016

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Pengalaman dalam Politik dan Kerajaan


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Saya sudah berada di dalam dunia politik dan kerajaan selama lebih 40 tahun. Pengalaman selama beberapa dekad ini telah mengajar saya sedikit sebanyak ilmu tentang hal ehwal pentadbiran.

Terdapat juga pelbagai situasi-situasi getir, masalah atau kejadian yang berlaku di luar kawalan saya. Ramai orang berpandangan bahawa seorang Perdana Menteri itu berkuasa dan berpengetahuan atas segala perkara di dalam negara ini.

Hakikatnya, tidak. Kita perlu sedar bahawa banyak perkara-perkara berlaku memang di luar kawalan seorang Perdana Menteri, malah saya hanyalah seorang hamba Allah yang mempunyai kelemahan dan juga ilmu yang masih perlu saya pelajari.

Namun, banyak tohmahan yang dilemparkan oleh mereka yang sebenarnya mempunyai agenda peribadi menggunakan isu-isu untuk mengaburi mata rakyat bagi meraih sokongan tetapi inilah asam garam politik.

Walau bagaimanapun, saya tetap istiqamah, ikhlas meneruskan perjuangan untuk memajukan agama dan negara. Saya tidak ada niat lain daripada matlamat tersebut dalam perjuangan saya.

Setakat ini, saya bersyukur kerana saya dan ahli-ahli Jemaah Menteri masih mampu menjalankan tanggungjawab kami, bangunan masih naik, prestasi sukan meningkat, pelbagai bantuan rakyat di bawah program 1Malaysia diberikan, ekonomi masih mampan walaupun diasak faktor luaran. Rakyat masih boleh melakukan pekerjaan, aktiviti riadah dan beristirehat bersama keluarga pada setiap hari.

Pengalaman 40 tahun saya inilah yang membolehkan saya masih teguh berdiri bagi berkhidmat untuk negara dan menempuhi segala cabaran yang mendatang.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.