13 Oktober, 2016

Ucapan Perdana Menteri mengenai perpaduan yang diancam oleh dua individu


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Perpaduan adalah amat penting bagi membentuk sebuah negara yang harmoni. Namun, tidak boleh dinafikan sejak akhir-akhir ini, perpaduan negara kita sering diancam oleh dua individu.

Kita dapat lihat ancaman pada perpaduan ini terjadi dalam dua fasa. Fasa pertama pada tahun 2008 di mana ketua pembangkang mula memainkan isu perkauman.

Beliau mula mencabar perlembagaan mengenai kepentingan semua kaum di Malaysia ini dan menggunakan ia sebagai satu isu politik untuk meraih undi.

Sebelum ini, tidak ada pun pertikaian pada perlembagaan dan semua lapisan masyarakat hidup dengan harmoni.

Kesannya, selepas pilihan raya umum ke-12, politik negara mula ditentukan oleh faktor kaum.

Fasa kedua mula pada tahun 2016 pula apabila seorang pemimpin lama mula memecahkan kaum Melayu dengan membentuk sebuah lagi parti politik Melayu mengakibatkan kuasa politik kaum Melayu berpecah kepada lima.

Perpaduan bangsa yang longgar ditambah dengan desakan pembangkang melalui perhimpunannya yang berselindung di sebalik imej “bipartisan” dan “multiracial” memberi hentaman demi hentaman kepada parti pemerintah.

Parti yang mentadbir Pulau Pinang, yang sudah didakwa mengamalkan rasuah, tidak diendahkannya.

Lagi menyedihkan lagi, pemimpin lama tersebut sanggup dipergunakan oleh perhimpunan untuk memecahbelahkan rakyat, menuduh kerajaan perkara yang sama beliau dituduh dahulu.

Kedua-dua pemimpin perpecahan fasa satu dan kedua kini dilihat sudah bersalaman. Kita sudah boleh anggap apa yang mereka akan lakukan kepada negara seterusnya untuk fasa ketiga.

Kerana itulah agenda 1Malaysia wajib diteruskan.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Audio, Featured Articles