21 April, 2016

Amanah Saham Memperkasa Agenda Bumiputera


amanahsaham3

Petang semalam, saya berada di Stadium Mini Tapah untuk merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia 2016 anjuran Permodalan Nasional Berhad.

Permodalan Nasional Berhad adalah sebuah institusi tempatan yang patut kita banggakan. PNB kini mengorak langkah di persada antarabangsa, dengan pemilikan hartanah bernilai tinggi bukan sahaja di Malaysia, bahkan juga di luar negara.

Tetapi kejayaan di peringkat antarabangsa ini tidak membuatkan PNB lupa kepada tujuan utama ia ditubuhkan, iaitu membantu memperkasakan ekonomi Bumiputera.

amanahsaham4

Melalui pelaburan unit amanah seperti Amanah Saham Bumiputera, Amanah Saham Malaysia, Amanah Saham Nasional dan sebagainya, masyarakat Bumiputera dapat sama-sama berkongsi dan menikmati hasil kekayaan negara.

Selain itu, kerajaan melalui PNB telah mengenakan syarat dan ketetapan bagi memberi perlindungan kepada pelabur, dan dengan ini membolehkan semua yang melabur menikmati keuntungan dari hasil kekayaan negara itu dengan risiko yang paling minimum.

amanahsaham2

Contohnya, sejak tahun 1981 hinggalah bulan lalu, PNB telah berupaya mengagihkan pendapatan melalui dividen dan bonus kepada pemegang unit saham bernilai RM145 bilion.

Alhamdulillah, kejayaan pelaburan unit amanah saham ini telah membantu masyarakat Bumiputera meningkatkan taraf hidup dan merapatkan jurang pendapatan antara kaum.

Insya-Allah, kerajaan akan sentiasa memastikan inisiatif memperkasa agenda ekonomi Bumiputera sebegini terus dilaksanakan pada masa akan datang.

Amanahsaham1