22 Ogos, 2017

#BangkitBersama Untuk Malaysia


Berlangsungnya temasya Sukan Sea KL 2017 kali ini, saya berasa cukup terharu dan bangga melihat sokongan berterusan dan tidak berbelah bahagi yang diberikan oleh penyokong kepada para atlet negara yang membawa nama Malaysia.

Lebih menggembirakan, sokongan ini tidak terhad kepada sukan-sukan popular atau tumpuan seperti bola sepak, badminton dan sebagainya, tetapi juga untuk sukan-sukan baharu dipertandingkan seperti hoki ais, luncur dan banyak lagi.

Saya percaya, sorakan dan gegak-gempita para penyokong Malaysia yang menghangatkan suasana di gelanggang turut menyemarakkan lagi semangat dan daya juang para atlet kita.

Pada masa sama, saya juga ingin mengingatkan segelintir penyokong yang mungkin terlalu bersemangat dan terbawa-bawa sehingga mengambil pendekatan memperlekeh dan menggunakan kata-kata kesat mengutuk pihak lawan.

Ini tidak seharusnya berlaku kerana sukan adalah platform penyatuan antara kita, bukan sahaja dalam kalangan penduduk Malaysia tetapi juga di peringkat Asia Tenggara malah antarabangsa.

Hormatilah pihak lawan, kerana walaupun kita mendambakan kemenangan, lebih penting adalah semangat kesukanan yang perlu sentiasa kita tegakkan.

Insya-Allah, dengan sokongan berterusan penyokong dan prestasi hebat atlet-atlet kita, saya yakin kita mampu mencapai sasaran 111 emas di temasya kali ini.

Ayuh terus #BangkitBersama untuk Malaysia !

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles