31 Julai, 2017

Daftar sebagai Pengundi


Mengundi adalah satu tanggungjawab setiap rakyat Malaysia yang layak bagi menentukan masa depan mereka, keluarga dan masyarakat. Ia juga merupakan satu proses demokrasi di mana kuasa diberikan kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang akan mewakili mereka dan kerajaan yang mempunyai visi dan mampu memacu Malaysia ke arah mencapai status negara maju.

Namun begitu menurut laporan Suruhanjaya Pilihan Raya, setakat 31 Mac 2017, lebih 3.7 juta orang yang berumur 21 tahun dan ke atas masih belum mendaftar sebagai pemilih berbanding 18 juta jumlah keseluruhan rakyat yang layak mendaftar.

Statistik ini merupakan satu indikator bahawa kesedaran rakyat terhadap hak dan tanggungjawab mereka kepada negara masih rendah. Oleh itu, saya menyeru agar semua agensi-agensi yang terlibat untuk memperhebatkan usaha-usaha penerangan serta mendaftarkan mereka yang layak mengundi. Peratusan pengundi keluar mengundi juga harus ditingkatkan lagi berbanding PRU13 di mana hanya 84.84% atau 11.2 juta pengundi telah keluar mengundi.

Mungkin ada sebilangan yang menganggap proses untuk mendaftar ini adalah satu proses yang leceh dan menyusahkan. Pandangan itu sebenarnya amatlah salah kerana proses pendaftaran hanya mengambil masa kurang daripada 5 minit. Berbekalkan kad pengenalan, anda hanya perlu ke pejabat pos, atau pejabat SPR atau pejabat pilihan raya negeri yang berdekatan!

Maka, pesanan saya kepada lebih 3.7 juta rakyat yang masih belum mendaftar, segeralah berbuat demikian kerana sesungguhnya halatuju negara terletak di tangan anda. Janganlah bersikap ambil mudah dengan membiarkan orang lain membuat keputusan untuk anda, kerana keputusan tersebut sudah tentunya akan memberi impak yang besar kepada hidup anda dan keluarga. Ingatlah bahawa suara anda penting dalam menentukan masa depan anda, anak cucu dan negara.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles