21 April, 2016

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung


GPMS-1

Tengah hari tadi, saya menerima kunjungan hormat serta bermesyuarat bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Putrajaya dan wakil-wakil GPMS seluruh negara.

Banyak perkara yang telah dibincangkan dalam mesyuarat kali ini berkaitan pemerkasaan Melayu dan Bumiputera, terutamanya golongan muda dari segi pendidikan.

GPMS-3

Pelbagai cadangan dan pendapat yang bernas telah diutarakan, antaranya berkaitan Dual Language Programme, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dan Indeks Syariah Malaysia.

Berkenaan Dual Language Programme atau DLP, GPMS menyambut baik program ini kerana ia memberikan kelebihan kepada pelajar di sekolah kebangsaan, terutamanya pelajar Melayu, dari segi penguasaan Bahasa Inggeris yang diguna pakai secara meluas di persada antarabangsa.

Pada masa sama, saya menegaskan bahawa ini tidaklah akan meminggirkan penggunaan bahasa kebangsaan yang akan sentiasa kita pelihara dan junjung.

GPMS turut memberikan cadangan berkenaan PTPTN berkaitan pemberian biasiswa berdasarkan kelulusan selain memberi lebih tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah atau B40. Saya memandang isu ini dari segi makro, di mana bantuan tidaklah sekadar hanya untuk golongan B40 tetapi juga kumpulan berpendapatan 40 peratus sederhana atau M40 dan sebagainya.

Ini sebahagian daripada cadangan dan pendapat yang dikemukakan, dan kesemua cadangan ini amat saya hargai dan akan diteliti bersama Kementerian dan agensi yang bertanggungjawab.

GPMS-4

Saya mengalu-alukan usaha yang dilakukan oleh GPMS untuk memartabatkan agenda pendidikan Bumiputera melalui program-program seperti siri dialog, seminar motivasi serta macam-macam lagi.

Usaha ini juga secara tidak langsung memberi dorongan dan menanamkan semangat kecintaan buat bangsa dan negara dalam kalangan golongan muda Melayu dan Bumiputera.

Insya-Allah, kerajaan akan terus mendukung dan membantu perjuangan yang dibawa oleh GPMS untuk bangsa dan negara.

GPMS-2