27 Julai, 2016

Haji – Kita pakat sama-sama


Kurang dua bulan lagi umat Islam di seluruh dunia akan berpeluang menjadi tetamu Allah SWT bagi menunaikan haji. Saya gembira kerana dapat hadir bersama dalam Majlis Jamuan Aidilfitri di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya semalam.

 

Ada yang mungkin terlepas pandang peranan mereka yang membantu menjayakan urusan haji seseorang.

 

Pertama sekali, jutaan terima kasih kepada kesemua kakitangan Tabung Haji dan semua yang berkaitan dalam usaha mereka memastikan urusan jemaah berjalan lancar. Tabung Haji merupakan institusi pengurusan haji yang terbaik di dunia dan anda seharusnya berbangga atas setiap usaha dan kerja keras yang telah diberikan.

 

Terima kasih juga kepada syarikat syarikat korporat yang menaja bakal jemaah haji Malaysia bagi tahun 2016. Penajaan mereka serba sedikit melengkapkan dan memudahkan urusan jemaah kelak.

WhatsApp-Image-20160727

 

Dalam pada itu juga, Kerajaan meneruskan dasar peruntukan dana bagi setiap jemaah muasassah.  Setiap jemaah haji Malaysia yang berjaya menunaikan haji secara automatik diperuntukkan RM 8,000 seorang. Tanpa peruntukan ini, jumlah sebenar kos jemaah haji adalah RM8,000 lebih tinggi daripada apa yang dibayar kini.

 

Sekali lagi, syabas kepada semua yang terlibat atas keprihatinan dan usaha untuk memberi keselesaan sekali gus memastikan kelancaran urusan bakal jemaah haji. Ini satu perkara yang begitu murni dan semangat seperti inilah yang kita harus banggakan. Kita pakat sama-sama memudahkan dan melancarkan perjalanan mereka yang terpilih sebagai tetamu Allah SWT. Semoga usaha mereka mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT.

 

Di samping itu, Kerajaan sentiasa mengalu-alukan usaha dan komitmen daripada syarikat swasta, badan korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

 

Sehubungan itu, saya turut berbesar hati melancarkan Yayasan Tabung Haji (TH) yang bertujuan membantu meningkatkan aspek pendidikan dan memberi bantuan ketika bencana alam atau musibah kepada mereka yang memerlukan.

WhatsApp-Image-20160727

 

Diharapkan dengan penubuhan Yayasan TH, lebih banyak golongan yang memerlukan akan memperoleh manfaat. Saya turut doakan agar urusan haji semua jemaah Malaysia pada tahun ini akan dipermudahkan. Semoga mereka semua dapat pergi dan pulang dengan selamat. Insya-Allah.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles