26 September, 2018

Hak kebebasan bersuara terhadap Kerajaan


Jika keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa kerajaan-kerajaan persekutuan dan negeri ada hak untuk memfailkan saman fitnah terhadap individu termasuk ahli politik, diputuskan ketika kerajaan BN masih mentadbir, sudah tentu berpuluh-puluh aktivis NGO dan pemimpin Pakatan berlumba-lumba mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan ini tidak adil, zalim, menindas, berbahaya, meragut demokrasi, mengancam kebebasan bersuara dan kebebasan media.

Malah, saya akan turut dipersalahkan oleh mereka, biarpun ia adalah keputusan mahkamah.

Namun sehingga kini, tiada seorang pun pemimpin Pakatan mengulas tentang keputusan mahkamah hari ini yang bakal memberi kesan yang amat besar.

Ini kerana kerajaan mempunyai dana dan tenaga guaman yang cukup besar bagi memfailkan saman fitnah kepada mana-mana individu yang tidak mempunyai sumber dana kewangan dan guaman sebesar kerajaan untuk mempertahankan diri mereka.

Di kebanyakan negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, undang-undang mereka tidak membenarkan kerajaan untuk memfailkan saman fitnah ke atas rakyat masing-masing.

Oleh itu, keputusan hari ini mungkin memberi ruang yang besar kepada kerajaan PH untuk mengancam hak bebas bersuara dan hak mengkritik kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri.