18 April, 2016

Kelestarian Pembangunan Ekonomi Malaysia pada 2017


Pagi ini, saya berada di Dewan Negara untuk memberi jawapan lisan kepada persoalan yang dikemukakan oleh Datuk Hajah Mariany binti Mohammad Yit.

Soalan beliau meminta saya menyatakan unjuran pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2016 dan prospek Pemulihan Ekonomi Global yang menentukan kelestarian Pembangunan Ekonomi Malaysia pada 2017.

Berikut adalah jawapan saya di Dewan Negara.

ekonomimalaysia2017

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada tahun 2016, ekonomi Malaysia dianggarkan akan berkembang pada kadar 4.0-4.5% dengan mengambil kira faktor lanskap ekonomi dan kewangan yang lebih mencabar.

Pada tahun ini, permintaan dalam negeri diunjurkan berkembang pada 4.3% (2015: 5.1%) dan akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta. Sementara itu, sektor luaran dijangka akan terus menyumbang kepada pertumbuhan melalui kepelbagaian eksport sejajar dengan peningkatan permintaan luar negeri yang sederhana. Eksport dijangka akan meningkat sebanyak 3.2% pada tahun ini berbanding 0.7% pada tahun lepas. Manakala import dijangka terus berkembang pada kadar 3.4% (2015: 1.3%). Secara keseluruhan, imbangan perdagangan dijangka akan masih mencatat lebihan positif pada tahun 2016.

Selain daripada itu, Ringgit juga mula mengukuh pada tahun ini dan telah mencapai tahap tertinggi pada 14 April 2016 iaitu 3.8650 berbanding dolar Amerika, atau peningkatan sebanyak 11 peratus sejak akhir tahun 2015, sekaligus menjadikannya sebagai matawang yang menunjukkan prestasi terbaik di rantau ini.

Unjuran perkembangan ekonomi Malaysia tahun 2016 ini telah mengambil kira faktor pemulihan ekonomi global yang dijangka masih perlahan. Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang terbuka juga terkesan daripada ketidaktentuan ekonomi global. Kelembapan ekonomi dunia terutama China, penyederhanaan harga komoditi dunia berikutan lebihan penawaran dan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan akan menjadi faktor yang menyumbang kepada kelembapan ekonomi Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua,

Pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2017 diunjurkan berkembang lebih baik selaras dengan pemulihan ekonomi global. Berdasarkan laporan World Economic Outlook (WEO) oleh Tabung Kewangan Antarabangsa pada bulan April 2016, ekonomi dunia dianggarkan berkembang pada kadar yang lebih tinggi sedikit pada 3.5% (2016: 3.2%). Perdagangan dunia pula dianggarkan akan lebih rancak pada tahun hadapan dengan peningkatan sebanyak 3.8% (2016: 3.1%). Oleh yang demikian, Malaysia dijangka akan menerima manfaat daripada perkembangan ekonomi dunia berkenaan.

Harga komoditi terutama minyak mentah juga diunjurkan meningkat dengan purata harga minyak mentah Brent, WTI dan Dubai Fateh dijangka melebihi USD40 setong pada penghujung 2017 (2016: USD34.75 setong). Secara tidak langsung, pemulihan ini dijangka akan memberi kesan positif kepada pergerakan matawang ringgit memandangkan pergerakan ringgit adalah mengikut trend harga minyak mentah dunia. Demikian juga, hasil Kerajaan daripada sumber minyak dijangka bertambah dan seterusnya akan memperkukuhkan kedudukan fiskal Kerajaan.

Daripada segi pelaburan pula, sentimen pelabur pada tahun 2017 dijangka lebih positif berdasarkan prospek ekonomi negara yang akan berkembang selari dengan pertumbuhan ekonomi dunia. Pelaburan awam juga dijangka bertambah baik berikutan langkah Kerajaan untuk menggalakkan syarikat berkaitan Kerajaan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan menzahirkan keuntungan daripada pelaburan mereka di luar negara untuk dilaburkan di dalam negeri dalam projek yang mempunyai nilai pengganda yang tinggi.

Oleh yang demikian, berdasarkan landskap ekonomi dan kewangan antarabangsa yang dijangka lebih memberangsangkan pada tahun 2017, pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjur menjadi lebih kukuh. Keupayaan Malaysia untuk menghadapi kejutan luar juga akan terus diperkukuh dengan tersedianya penampan yang mencukupi, rangka kerja dasar yang teguh, kebolehsuaian ekonomi dan ruang dasar yang mencukupi.

Sekian. Terima kasih.