11 April, 2016

Kisah Kejayaan Usahawan India


Petang tadi, saya meluangkan masa di Restoran Sri Mayuri, Shah Alam, bersama beberapa usahawan kaum India untuk mendengar kisah kejayaan mereka dengan bantuan kerajaan melalui tabung TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Turut bersama saya ialah Datuk Dr A.T. Kumararajah, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED). SEED merupakan sebuah unit yang memantau dan memberi latihan kepada usahawan-usahawan dalam kalangan komuniti India.

Saya amat tertarik dengan kisah keusahawanan mereka yang terdiri daripada pelbagai latar perniagaan.

Pemilik Restoran Sri Mayuri di tempat kami berjumpa, Puan Lakshmi dan suami, Encik Ravi Rajagopal dahulunya bermula dengan menjual roti dengan menggunakan motosikal. Perniagaan makanan dan minuman mereka dikembangkan kepada gerai makanan di Taman Sri Muda dan seterusnya restoran di Seksyen 33 Shah Alam.

Pasangan ini kemudiannya membuka Restoran Sri Mayuri dan dikembangkan kepada lima cawangan di seluruh Lembah Klang. Puan Lakshmi berkongsi bahawa impian beliau mungkin tidak akan menjadi realiti tanpa bantuan SEED dan TEKUN. Dalam tempoh tahun 2004 sehingga 2013, pasangan ini telah menerima sebanyak tiga pinjaman berjumlah lebih daripada RM 50,000 untuk mengubahsuai restoran dan menaiktaraf dapur.

Encik Erdaya Rajoo, pesara dari Edaran Otomobil Nasional Berhad bermula dengan kebun di Semenyih di mana beliau menjalankan perniagaan ternakan dan sayur-sayuran secara kecil-kecilan. Hidup beliau diuji apabila isteri beliau meninggal dunia dan beliau terpaksa membesarkan empat orang anak secara sendiri. Namun, berbekalkan semangat dan keazaman, beliau bangkit dan mula mendapatkan sokongan SEED selepas mendengar mengenainya dari radio dan sahabat-sahabat beliau.

Dengan pinjaman daripada TEKUN sebanyak RM 40,000, beliau membeli lembu ternakan dan mengembangkan tanaman sireh sebagai perniagaan utama. Beliau kini memiliki ladang seluas lima ekar di Pajam, Negeri Sembilan. Saya diberitahu, beliau juga memiliki dan membiayai sebuah rumah kebajikan untuk anak-anak yang kurang bernasib baik di Kajang iaitu Pertubuhan Kebajikan Astana. Encik Erdaya Rajoo yang berjiwa besar ini menjaga dan membesarkan 28 anak-anak dengan menggunakan hasil keuntungan daripada perniagaan beliau.

Saya turut tersentuh dengan kehadiran seorang usahawan kelainan upaya, Encik Prakash yang menjalankan perniagaan latihan dan motivasi. Walaupun membesar dalam serba kekurangan, ia tidak menghalang beliau untuk memiliki dua sarjana dan kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah dalam bidang Terminologi Perundangan.

Semangat dan minat dalam bidang motivasi diteruskan dengan memohon dana sebanyak RM 5,000 dengan bantuan SEED Start Up Nation. Paling menarik, beliau sudah berjaya mendapatkan kontrak latihan bersama Syarikat Zurich. Beliau berhasrat untuk terus menjadi ikon kepada orang kelainan upaya yang lain untuk terus berjaya.

Tetamu seterusnya, Puan Prema Rajoo pula adalah pengusaha perniagaan rempah. Beliau bertekad memulakan perniagaan kecil-kecilan bersama suami dengan modal persendirian dan meninggalkan kerjaya beliau sebagai guru tadika. Hidup beliau diuji apabila suami terlibat dalam kemalangan dan tidak dapat membantu beliau.

Melalui seorang sahabat, beliau mendapat pengetahuan mengenai bantuan SEED dan Amanah Ikhtiar Malaysia dan mendapat pinjaman sebanyak RM 36,900 dalam lima kumpulan pinjaman berbeza. Pinjaman ini membolehkan beliau melabur dalam mesin baru dan tenaga kerja untuk membantu beliau. Saya dimaklumkan jumlah pendapatan bulanan beliau kini kira-kira RM 6,000 sebulan.

Saya gembira mendapat tahu bahawa sehingga kini, kira-kira 24,000 usahawan India telah menerima bantuan pembangunan melalui SEED. Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan.

Saya juga kagum melihat bagaimana usahawan-usahawan ini bukan sahaja berjaya dalam bidang perniagaan mereka, malah ramai di antara anak-anak mereka kini menjawat jawatan profesional dan turut berjaya dalam bidang yang diceburi masing-masing.

Perubahan taraf hidup keluarga sebeginilah yang kita mahukan agar generasi ini akan menjadi bangsa yang berjaya dan kita dapat juga melihat kesinambungannya ke generasi yang seterusnya.

Saya berharap agar usahawan-usahawan ini akan terus menjadi inspirasi dan menggalakkan lebih ramai lagi dalam kalangan komuniti India untuk menceburi bidang perniagaan dengan idea dan perancangan yang kreatif dan inovatif juga. Insya-Allah, kerajaan akan terus membantu menerusi pelbagai insentif dan dana yang telah disediakan.

pengusahaindia2
pengusahaindia1
pengusahaindia4
pengusahaindia3