4 Julai, 2016

Kunjungan Oleh Ketua Menteri Sarawak


Satu mesyuarat telah diadakan di antara YAB Perdana Menteri dan YAB Ketua Menteri Sarawak di Pejabat Perdana Menteri hari ini bagi membincangkan pemerkasaan kuasa untuk Negeri Sarawak. Mesyuarat membincangkan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963, Perlembagaan Persekutuan serta Laporan Suruhanjaya Cobbold bagi memperkukuh tadbir urus Kerajaan Negeri Sarawak dalam mendukung semangat Malaysia sebagai sebuah persekutuan dan Sarawak sebagai salah sebuah negeri di dalam Malaysia.

adenanvisit

Memorandum tentang pendirian kerajaan negeri juga telah disampaikan kepada YAB Perdana Menteri dan pertemuan ini telah mengambil maklum tentang beberapa perkara tadbir urus yang memerlukan perbincangan teknikal yang lebih lanjut. Adalah dipersetujui Peguam Negara akan mewakili Kerajaan Persekutuan dan Peguam Besar Negeri Sarawak mewakili Kerajaan Negeri Sarawak membincangkan perkara-perkara tersebut dengan lebih lanjut dalam satu mesyuarat teknikal dalam masa yang terdekat.

Hasil pertemuan hari ini mencerminkan hubungan yang erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak yang akan dapat memacu urus tadbir yang efektif dan mengelola dasar-dasar yang memberi kesejahteraan kepada rakyat dengan berkesan.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles