20 Julai, 2017

Lawatan Ke Pulau Tioman, Pahang


Pada tahun 1983, sewaktu saya menyandang jawatan Menteri Besar Pahang, saya sempat bergambar bersama penduduk-penduduk Pulau Tioman. Hari ini, nostalgia itu kembali dalam ingatan saya sewaktu saya bersarapan bersama Menteri Besar Pahang YAB Datuk Seri Adnan Yaakob dan penduduk-penduduk Kampung Tekek, iaitu kampung terbesar di pulau ini.

Lawatan saya ke Pulau Tioman kali ini amat menyegarkan minda dan tubuh badan. Sekali-sekala keluar dari bandaraya memang dapat beri banyak manfaat kepada minda serta fizikal kita. Lebih-lebih lagi, Pulau Tioman memang terkenal sebagai pusat destinasi pelancongan dan istirahat bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Seingat saya, pada era 1970-an dulu, majalah Time pernah menobatkan Pulau Tioman sebagai salah sebuah daripada pulau-pulau tercantik di dunia.

Lawatan saya ke sini dimulakan dengan pertemuan dan minum pagi bersama penduduk-penduduk tempatan, diikuti taklimat pembangunan Pulau Tioman dan seterusnya perasmian laluan pejalan kaki sepanjang 310 meter yang menghubungkan Kampung Tekek dan Kampung Air Batang. Laluan pejalan kaki yang melibatkan kos RM1.6 juta ini akan memanfaatkan seramai 1,300 penduduk di kedua-dua buah kampung ini serta memudahkan pelancong-pelancong yang sebelum ini terpaksa melalui kawasan trek berbukit selain menaiki bot.Saya juga dapat tahu bahawa penduduk di sini terpaksa berulang alik hingga empat kali sehari untuk menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah dengan mendaki bukit yang tinggi. Dengan siapnya laluan pejalan kaki ini, saya harap ibu bapa tidak perlu risau lagi tentang keselamatan anak-anak, dan pelajar-pelajar sekolah juga sudah tentunya akan dapat berulang alik ke sekolah dengan lebih mudah.

Saya ucapkan terima kasih kepada pelaksana projek iaitu Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) yang mula membina laluan ini pada September 2015 dan siap sepenuhnya 6 Februari lalu. Projek ini adalah salah satu daripada projek-projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang sedang dan akan memacu pembangunan di rantau ini dalam tempoh 12 tahun akan datang.

Saya juga sempat melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tekek Makmur yang bakal mengubah gaya hidup sebahagian penduduk di sini. Selain daripada mendapat subsidi 92 peratus, pembeli-pembeli 116 unit PPR ini hanya perlu membayar RM35,000 sahaja untuk memiliki sebuah rumah yang selesa dengan tiga bilik dan dua bilik air yang harga asalnya adalah RM403,000.Kerajaan juga telah bersetuju untuk menawarkan konsep sewa dan beli pada kadar RM124 sebulan kepada 63 pembeli rumah ini selama setahun. Inilah antara keistimewaan projek PPR ini dan kita boleh anggap ia mencatat sejarah tersendiri kerana mendapat subsidi paling banyak daripada Kerajaan. Projek ini adalah antara agenda sosial utama Kerajaan yang mahu sediakan kualiti kehidupan rakyat luar bandar, khususnya golongan B40, yang lebih selesa.

Keriangan Syawal masih lagi dirasai di Pulau Tioman sewaktu saya bersama penduduk-penduduk beramah mesra pada Majlis Jamuan Rakyat sempena Hari Raya Aidilfitri di Dataran Tiong, Kampung Tekek. Pada majlis tersebut, saya telah mengumumkan tiga berita gembira yang bakal menambah keselesaan dan kesejahteraan kepada penduduk Pulau Tioman.Pertamanya, saya mengumumkan bahawa Kerajaan akan melaksanakan semula cadangan pembinaan sebuah landasan kapal terbang baharu di Kampung Genting bagi meletakkan pulau itu setanding pulau-pulau peranginan terkenal yang lain di dunia.

Cadangan yang pernah dibatalkan pada 2009 itu akan dilihat semula dengan lebih teliti dengan beberapa penambahbaikan baharu untuk mengelakkannya daripada menjejaskan alam sekitar, termasuklah hidupan laut. Insya-Allah, dengan pelaksanaan pembinaan ini, lanskap pembangunan di Pulau Tioman akan berubah dengan begitu radikal sekali, terutamanya dengan pertambahan bilangan pelancong yang melawat pulau ini.

Sememangnya, kehadiran pelancong-pelancong ke pulau ini akan beri suntikan besar kepada ekonomi Pulau Tioman, maka Kerajaan akan menyediakan satu pelan induk untuk pulau ini bagi memastikan pembangunan yang akan dijalankan lebih tersusun, sekali gus menjamin masa depan pulau ini.Kedua, saya juga mengumumkan pemberian peruntukan sejumlah RM10 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan membaik pulih jeti Kampung Tekek, Kampung Paya dan Kampung Lukut, Kampung Juara selain pembinaan sebuah jeti baharu di Kampung Salang. Dengan penyelenggaraan serta kerja baik pulih ini, Insya-Allah, penduduk pulau ini akan bertambah selesa menjalani kehidupan seharian, di samping menambah keselesaan pelancong-pelancong yang tiba ke pulau ini saban hari.

Ketiga, Kerajaan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM34 juta untuk projek membaik pulih dan menaik taraf bekalan air di Kampung Tekek dan Kampung Air Batang di sini.

Walaupun lawatan saya ke Pulau Tioman hanya separuh hari, saya ucapkan ribuan terima kasih atas sambutan serta layanan yang begitu baik daripada seluruh penduduk Pulau Tioman. Insya-Allah, jika ada kesempatan yang lain saya akan datang semula ke pulau yang begitu cantik ini.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles