18 April, 2016

Lawatan Kedua Ke SK Sungai Ladong


Kali pertama saya melawat SK Sungai Ladong ialah pada 31 Januari yang lepas setelah menerima laporan bahawa keadaan infrastrukturnya telah uzur sekian lama.

Ini merupakan salah satu daripada ‘solution walkabout’, di mana saya dapat melihat sendiri permasalahan rakyat secara terus, dan sekaligus memberikan jalan penyelesaian segera melibatkan mana-mana pihak dan agensi berkaitan.

Hasil daripada lawatan itu, saya telah mengarahkan penambahbaikan dibuat dengan segera setelah melihat bahawa bangunan sekolah tersebut tidak lagi selamat akibat hakisan tanah. Kemudahan dan peralatan asas juga mengalami kerosakan dan tidak berfungsi dengan baik.

Semalam, saya kembali melawat SK Sungai Ladong di Simunjan, Sarawak untuk melihat kemajuan projek penambahbaikan ini.

sk-ladong-2-1

Alhamdulillah, walaupun berdepan dengan pelbagai kerumitan, dari segi logistik, cuaca mahupun struktur tanah, sebuah bangunan sekolah yang baru telah siap dibina dalam masa hanya 7 minggu, dan ia kini sedia untuk digunakan.

Bangunan baru ini dibina di atas tiang pertahanan yang lebih tinggi untuk mengelak daripada dilanda air pasang, dilengkapi dengan 6 buah kelas tambahan dengan perabot serba baru, 2 kuarters guru, sebuah makmal sains moden dan sebuah astaka bagi kegunaan aktiviti kurikulum tambahan.

sk-ladong-2-2

Syabas kepada semua pihak yang terlibat dalam projek ini.

Dalam lawatan saya pada petang semalam juga, saya telah mengumumkan pelaksanaan sebuah program perintis, iaitu Program Pembekalan Komputer Riba untuk pelajar tingkatan lima di Sekolah-Sekolah Menengah Kebangsaan sekitar Sarawak. Ini merupakan suatu langkah untuk membantu persediaan mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

sk-ladong-2-3

Program perintis ini akan terlebih dahulu memantau peningkatan di dalam pencapaian akademik dan kemahiran ICT pelajar bagi ditentukan keberhasilannya.

Kerajaan komited untuk terus meningkatkan kompetensi pelajar secara menyeluruh dengan menyediakan prasarana pendidikan yang berkualiti demi memenuhi keperluan negara masa kini.

sk-ladong-2-4