25 Mac, 2015

Majlis Himpunan Sang Sapurba Segayong Malaysia


Silat adalah warisan, adat dan seni yang indah serta tidak asing dalam masyarakat kita. Ianya memaparkan budi, budaya dan peradaban Melayu yang cukup unik dan tinggi. Persilatan di negara ini telah lama bertapak dan diwarisi tahun bertahun dari generasi ke generasi dan menjadi wadah kepada perjuangan bangsa Melayu.

Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, saya berpeluang menghadiri Majlis Himpunan Sang Sapurba Segayong Malaysia bersama warga Gayong seluruh Negara semalam. Saya bangga melihat adat dan istiadat Melayu yang utuh dan tidak ditelan zaman serta kehebatan dan kesegakan warga Gayong yang ada dalam dewan ini.

Saya pernah mengumumkan bahawa Kerajaan akan memberi sokongan secukupnya untuk menubuhkan sebuah Yayasan untuk Gayong, dan insya-Allah saya menjamin bantuan tersebut akan diteruskan agar warisan Melayu ini terpelihara di masa hadapan. Semoga semangat kependekaran yang dipupuk melalui ilmu persilatan akan dapat terus disuburkan dan membawa kepada kebersatuan dalam kalangan bangsa Melayu dan juga rakyat Malaysia keseluruhannya.

facebook 1

facebook 2