22 November, 2017

Majlis Perundingan Tahunan ke-12 Malaysia – Indonesia


Majlis Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-12 telah diadakan di Kuching, Sarawak hari ini. Ini kali pertama Presiden Joko Widodo melawat Bumi Kenyalang selepas menyandang jawatan Presiden Republik Indonesia pada tahun 2014, dan saya pasti beliau juga telah menikmati keunikan dan hospitaliti Sarawak.

Perjumpaan tahunan antara dua jiran serumpun ini adalah penting bagi mengekalkan hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia. Lebih istimewa lagi, majlis perundingan tahun ini turut menyambut ulangtahun hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia ke-60.

Antara isu yang telah dibincangkan pada rundingan kali ini adalah isu kelapa sawit. Ini merupakan satu isu yang dekat di hati rakyat dan Kerajaan kedua-dua negara. Malaysia dan Indonesia berpendapat bahawa kempen anti-minyak sawit khususnya di Kesatuan Eropah adalah tidak adil. Malaysia mempunyai 600,000 pekebun kecil manakala Indonesia pula mempunyai 17.5 juta pekebun kecil yang bergantung kepada industri kelapa sawit. Justeru, Kerajaan Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk terus berganding tenaga bagi menangani kempen anti-minyak sawit dan menaikkan imej global industri sawit dengan strategik dan efektif. Isu ini telah pun dibawa kepada Presiden European Council, Donald Tusk, untuk dibincangkan. Kerjasama dalam isu ini adalah penting bagi memastikan pekebun-pekebun kecil di Malaysia dan juga Indonesia akan terbela.

Sukacita juga ingin saya maklumkan bahawa nelayan-nelayan yang berada dalam tahanan di Malaysia dan Indonesia akan dibebaskan secepat mungkin supaya mereka boleh kembali untuk mencari rezeki. Keputusan bersama ini telah dibuat selepas mengambil kira bahawa para nelayan ini rata-ratanya adalah golongan berpendapatan rendah dan tidak wajar untuk kita menutup mata pencarian mereka.

Selain itu, kerjasama pertahanan antara dua negara kita kekal erat dan baik. Selain daripada isu keselamatan sempadan, tumpuan dalam bidang pertahanan juga diberi fokus khususnya untuk menangani ancaman terorisme daripada Daesh dan IS. Kerajaan Malaysia dan Indonesia akan terus bekerjasama erat untuk memperkukuhkan lagi keselamatan dan kesiapsiagaan antara dua negara kita.

Secara keseluruhannya, Alhamdulillah, majlis perundingan tahun ini berjalan lancar. Saya dan Presiden Joko Widodo bersependapat dalam banyak perkara dan Insya-Allah, kata sepakat kami akan direalisasikan dalam masa terdekat. Saya yakin hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia akan kekal kukuh dan terus berkembang menerusi kerjasama dan persefahaman erat antara dua negara serumpun yang bukan sahaja rapat dari aspek geografi tetapi juga sejarah dan budaya.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles