27 Julai, 2016

Memburu Emas Pertama di Rio


Kurang seminggu dari sekarang, 32 orang atlet negara akan mengibarkan Jalur Gemilang di bumi Rio, Brazil. Mereka akan memulakan persaingan di dalam temasya sukan berprestij dunia iaitu Sukan Olimpik Rio 2016. Uniknya, Ogos bukan sahaja bulan untuk Rio malah ia bulan yang amat istimewa buat kita semua rakyat Malaysia kerana kita akan menyambut kemerdekaan tanah air yang ke-60.

Saya berpeluang meluangkan masa dan berkongsi kata-kata semangat dengan sebahagian daripada kontinjen Malaysia sebelum mereka berlepas ke Rio. Atlet-atlet kita kelihatan begitu bersemangat dan bersedia untuk bertanding. Selain daripada latihan intensif yang diberikan, mereka juga telah mendapat pendedahan di pertandingan-pertandingan bertaraf dunia.

IMG_9088

Platform sukan Olimpik ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan atlet-atlet berprestij dari seluruh dunia. Namun saya yakin, kesemua atlet kita telah bersedia untuk mengharumkan nama negara serta memburu emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik.

Kepada atlet Malaysia, menang atau kalah adalah adat pertandingan. Apa yang penting adalah anda semua memberi aksi yang terbaik. Bertandinglah seolah-olah ini merupakan pentas terakhir anda. Fokus dan bersedia dari segi fizikal mahupun mental, dan ingatlah seluruh negara dan rakyat Malaysia akan berada di belakang anda dengan sokongan tidak berbelah bahagi.

Malaysia mungkin negara yang kecil di peta dunia berbanding dengan 200 negara lain, namun dengan semangat dan kecekalan yang tinggi tidak mustahil untuk kita melakar sejarah memiliki emas pertama Olimpik kerana kita memiliki barisan atlet bertaraf dunia.

IMG_9087

Saya juga ambil maklum akan kegusaran mengenai potensi penularan virus Zika atau denggi di Rio. Majlis Olimpik Malaysia dan Majlis Sukan Negara akan mengambil langkah-langkah pencegahan yang perlu bagi memastikan kesihatan semua atlet kita terjaga sepanjang mereka berada di sana.

Berikanlah yang terbaik untuk diri anda dan juga tanah air. Impian emas ini bukan sahaja impian anda semua malahan harapan dan keinginan seluruh rakyat Malaysia. Semoga Jalur Gemilang berkibar megah dan lagu Negaraku akan berkumandang di seantero bumi Rio.

Selamat berjuang!

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles