26 Januari, 2017

Pekebun Kecil dan Harga Komoditi


Dalam rancak kita mengejar pembangunan dan teknologi yang semakin hari semakin canggih, dengan visi dan misi baharu yang telah saya umumkan melalui Transformasi Nasional 2050 baru-baru ini, kita tidak pernah lupa kepada industri tani serta komoditi dan para pekebun kecil yang banyak menyumbang ke arah kelestarian ekonomi Malaysia.

Kerajaan maklum bahawa tahun lalu adalah tahun yang mencabar untuk para pekebun kecil akibat daripada ketidaktentuan pasaran dunia dan harga komoditi yang tidak stabil.

Saya juga sedar bahawa ada dalam kalangan pembangkang tampil memberikan idea dan cadangan seperti memperkenalkan harga lantai bagi getah atau pendapatan tetap bulanan. Cadangan seperti ini adalah satu langkah populis penyelesaian jangka pendek yang cuma akan mendatangkan mudarat pada jangka masa panjang.

Kita dapat lihat kesan daripadanya seperti situasi yang menimpa industri beras di Thailand, di mana langkah mereka memperkenalkan harga lantai kepada beras membawa kepada kesan negatif. Isu ini telahpun dibincang secara mendalam dan terperinci oleh pelbagai pakar ekonomi.

Kerajaan yang ada hari ini bukanlah Kerajaan yang hanya mementingkan undi semata-mata. Segala keputusan dan tindakan yang kita ambil ditunjangkan kepada memastikan ekonomi negara dan rakyat, misalnya industri komoditi dan kebajikan pekebun kecil, terus kekal stabil dan berdaya saing.

Oleh sebab itulah, kita bukan sahaja mengambil langkah jangka pendek seperti pemberian insentif tetapi juga pendekatan jangka panjang melalui usaha meneroka pasaran antarabangsa bagi menambah lagi nilai dan harga komoditi keluaran Malaysia.

Misalnya tahun lalu dalam pertemuan saya dengan Presiden Xi Jinping ketika lawatan kerja ke China, saya telah mengutarakan keinginan Malaysia untuk China kembali menjadi pengimport terbesar komoditi minyak sawit daripada Malaysia, selain turut menyentuh mengenai komoditi-komoditi lain seperti getah dan sebagainya.

xi jinping image 1

Alhamdulillah pertemuan tersebut telah membuka laluan untuk kita berjaya meningkatkan permintaan daripada negara China dan kembali menjadi pengeksport besar komoditi seperti getah dan minyak sawit ke sana.

Harga getah kini mencecah RM9.45 sekilogram baru-baru ini, dan dijangka kekal berada pada purata RM8 bagi suku pertama tahun ini.

Keadaan ini jauh berbeza dengan suasana suram harga getah yang menjunam ke harga RM4 sekilogram awal tahun lalu manakala harga purata sekilogram cuma RM5.64.

Getah-Chart_R1

Selain itu, harga pasaran komoditi minyak sawit juga turut meningkat, daripada RM2,251 setan metrik pada bulan Januari lalu kepada RM3,251 setan metrik bulan Januari tahun ini.

Sawit-Chart_R1

Walau bagaimanapun, harga komoditi ini turut dipengaruhi pelbagai faktor luaran seperti jumlah hasil daripada negara-negara pengeluar, cuaca, permintaan luar negara dan pelbagai lagi.

Kerajaan akan sentiasa berusaha memastikan kebajikan dan pendapatan pekebun kecil kekal terpelihara. Oleh itu, dalam Bajet 2017, saya telah mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi meningkatkan kualiti produk dan tanaman sawit selain menaik taraf jalan ladang, dan juga RM286 juta untuk meningkatkan pengeluaran eksport perladangan sawit, koko, lada dan getah.

Kita juga menyediakan geran bernilai RM280 juta bagi menggalakkan pelaburan dalam industri hiliran dan menghasilkan barangan bernilai tambah tinggi, yang sudah tentu akan meningkatkan permintaan terhadap minyak sawit mentah.

Bukan itu sahaja, sebagai langkah tambahan memastikan pendapatan pekebun kecil terus stabil dan tidak terlalu terjejas dengan pasang surut harga pasaran komoditi dunia, Kerajaan melalui RISDA juga telah memperuntukkan RM27 juta bagi melaksanakan program meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

Program-program ini akan memberi manfaat kepada 500 ribu pekebun kecil seluruh negara melalui aktiviti ekonomi tambahan dan keusahawanan seperti perusahaan madu kelulut, cendawan tiram, penanaman nenas dan pisang serta bermacam-macam lagi.

Saya ingin Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melalui Menteri-menterinya Dato’ Mah Siew Keong, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan juga Dato’ Sri Mustapa Mohamed, tingkatkan lagi kerjasama serta usaha bersama bagi menjamin pertumbuhan industri komoditi negara.

Insya-Allah, saya percaya melalui kerjasama tersebut akan mampu memastikan kestabilan harga, mengukuhkan lagi sumbangan industri komoditi kepada eksport negara, dan yang paling penting sekali memastikan kebajikan semua pekebun kecil serata Malaysia sentiasa terpelihara, Insya-Allah.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles