7 September, 2017

Penambahbaikan di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih


Hari ini, saya berpeluang meninjau satu projek yang dekat di hati saya iaitu pembangunan di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) yang akan melibatkan naik taraf blok bangunan untuk kemudahan pembelajaran, pejabat pentadbiran dan asrama untuk 100 lelaki dan 100 perempuan. 

Saya telah umumkan projek ini pada 17 Jun 2016 lepas dan Insya-Allah, fasa pertama iaitu blok akademik dijangka siap pada November 2018 depan. Fasa kedua iaitu blok asrama pula dijangka siap pada tahun 2020.

Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan kemajuan projek ini dan pelan pembangunannya yang bakal memberi wajah baru kepada kawasan Chow Kit. Bukan sahaja warnanya menarik dan cantik, SBJK yang baru bakal mempunyai kemudahan-kemudahan yang lengkap untuk kegunaan pelajar-pelajar antaranya makmal komputer, bengkel Kemahiran hidup, bengkel jahitan dan makmal sains.

Untuk makluman semua, SBJK ini adalah satu-satunya sekolah di dunia yang dibiayai oleh kerajaan untuk memberikan akses pendidikan formal kepada anak-anak gelandangan, yatim piatu, miskin tegar dan mangsa kepada gejala sosial. Pelajar-pelajar SBJK bukan sahaja diajar pendidikan formal, mereka turut didedahkan dengan kemahiran-kemahiran yang penting seperti menjahit, memasak, dan kelas-kelas muzik. Pendidikan yang menyeluruh sebegini penting dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari sudut intelektual dan sahsiah mereka. Tahniah saya ucapkan kepada Kementerian Pendidikan!

Pencapaian SBJK juga setakat ini amat membanggakan, atas hasil usaha dan penat lelah tenaga pengajar yang diketuai oleh Pengetua En Zulkernai Fauzi. Mereka bukan sahaja memainkan peranan sebagai guru, tetapi turut menjadi tempat bergantung dan mengadu para pelajar. Tidak seperti di sekolah kebangsaan biasa, guru-guru di SBJK membuat pengorbanan yang luar biasa di mana mereka mencari anak-anak di sekitar Chow Kit dan Kuala Lumpur untuk dimasukkan ke sekolah.

Saya gembira apabila dimaklumkan bahawa ada antara bekas pelajar yang telah berjaya mendapat pekerjaan yang baik seperti menjadi guru tadika, tukang masak dan ada juga yang berjaya menyambung pelajaran di Akademi Saga dalam bidang automotif.

Lebih daripada itu, SBJK kini telah mendapat pengiktirafan dunia di mana sekolah ini telah menerima lawatan pelbagai agensi antarabangsa dan negara-negara luar seperti Ha Books Vietnam, Ratchathani Ubon Thailand University, Lembaga Akreditasi Negara (LAN) Indonesia, Korea Malaysia Teacher Programme Chungdatum Korea, UNESCO Bangkok, Papua New Guinea, Solomon Island, India dan Singapura. Syabas semua atas usaha dan titik peluh anda, sesungguhnya anda adalah wira-wira yang tidak didendang.

Kebajikan warga SBJK sentiasa saya utamakan. Pada 17 Jun tahun lepas, saya dan isteri telah menghadiri Program Ramadan anjuran Najib Razak Club (NRC11) bersama warga SBJK. Kami cukup tersentuh hati mengenangkan nasib anak-anak di sini, yang mana ada dalam kalangan mereka dahulunya tidak berpeluang untuk ke sekolah kerana tidak mempunyai dokumen penting seperti sijil lahir dan ada juga dalam kalangan ibu bapa mereka terjebak dalam masalah sosial. 

Tidak mungkin kami sanggup membiarkan mereka terdedah mahupun berkemungkinan kembali terjebak dalam masalah sosial sepertimana jiran-jiran, ahli keluarga mereka yang terdahulu.

Oleh itu, pembinaan asrama ini adalah satu langkah yang penting dalam memastikan anak-anak SBJK terus dibantu, memberikan mereka kediaman yang selesa dan persekitaran yang selamat dalam memastikan proses pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih efektif. 

Mereka tidak boleh dibiarkan hanyut dalam arus pembangunan negara. Secara hakikatnya, SBJK ini adalah salah satu inisiatif kerajaan dalam mendemokrasikan pendidikan berdasarkan prinsip keadilan sosial.

Ini juga sejajar dengan laporan Climbing the Ladder: Socio-Economic Mobility in Malaysia oleh Khazanah Research Institute yang mengatakan bahawa faktor mobiliti sosial paling berkesan adalah akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran. Melaluinya, individu daripada semua lapisan masyarakat dapat meningkatkan taraf kehidupan keluarga mereka, hanya dalam satu generasi. Dan akses kepada pendidikan harus bermula daripada usia muda, seperti kata pepatah, “Melentur buluh biarlah dari rebung.”

Saya juga gembira bahawa inisiatif membantu golongan terpinggir ini mendapat kerjasama dan perhatian ramai pihak termasuk NGO-NGO dan sektor swasta. Contohnya, TESCO (Malaysia) Sdn Bhd telah menjadikan SBJK sebagai sekolah angkat mereka bagi kempen ‘Bulan Bermakna’. Terima kasih saya ucapkan kepada semua NGO dan sektor swasta atas komitmen anda dalam memperjuangkan nasib warga SBJK. Tidak lupa juga kepada Pak Nil sebagai Ikon SBJK yang tidak putus-putus membantu anak-anak di sini. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru dan menggalakkan lebih banyak lagi penyertaan sektor swasta dalam inisiatif-inisiatif sebegini, terutamanya dalam membantu golongan yang memerlukan.

Akhir kata, saya harap asrama ini bakal menjadi ‘game changer’ kepada anak-anak di SBJK, boleh bantu mentransformasi hidup anak-anak di sini. Dengan adanya asrama ini, anak-anak SBJK tidak perlu lagi risau tentang keperluan asas seperti makanan, tempat berteduh dan keselamatan diri. Lebih penting lagi, mereka mampu bermimpi untuk mempunyai kehidupan yang baik dan seterusnya merealisasikan potensi sebenar mereka.

Kepada anak-anak di SBJK, selamat maju jaya dan berusahalah dengan gigih untuk menempa kejayaan dalam menimba ilmu. Percayalah bahawa hanya melalui pendidikan, anda boleh mendapatkan masa depan yang lebih baik. Insya-Allah.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles