31 Julai, 2016

Perjuangan Perwira Tanah Air


Selain perjuangan melawan penjajah oleh perajurit negara yang telah mendahului kita, ramai antara kita terbiasa dengan kisah sejarah pengorbanan anggota keselamatan dalam tragedi berdarah di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada tahun 1950 mahupun tragedi terdahulu di Balai Polis Kuala Krau, Pahang. Serangan komunis ketika itu bukan sahaja meragut nyawa anggota polis, malahan juga ahli keluarga mereka.

 

Banyak nyawa yang telah terkorban dalam usaha membawa keamanan dan mempertahankan tanah air tercinta. Oleh sebab itu, tanggal 31 Julai setiap tahun dipilih sebagai satu tarikh yang penting dalam lipatan sejarah Malaysia bagi meraikan Hari Pahlawan sempena hari diisytiharkan tamatnya darurat pada 1960. Sambutan kali pertama diadakan pada 4 Ogos 1968, di mana Hari Pahlawan diraikan untuk mengenang jasa dan sumbangan perajurit tanah air yang telah terkorban dalam perjuangan mempertahankan kedaulatan negara.

 

Biarpun begitu, kebebasan dan keamanan yang dikecapi hampir 60 tahun ini bukanlah satu alasan untuk kita leka dan merasa selesa dalam soal ketenteraman awam. Pada hari ini, kita hidup di dunia yang penuh kebarangkalian.

 

Saya masih ingat lagi ketika mendapat perkhabaran mengenai krisis pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013. Ramai anggota keselamatan kita yang terkorban dan cedera dalam usaha mereka untuk mempertahankan kedaulatan tanah air daripada pencerobohan pengganas. Seluruh negara berkongsi kesedihan bersama keluarga yang kehilangan mereka yang tersayang dalam tragedi ini. Mereka berjuang dan mempertahankan negara sehingga ke titisan darah yang terakhir.

 

Peristiwa Lahad Datu ini boleh kita ambil iktibar daripadanya, bahawa ancaman ada di mana-mana dan boleh berlaku pada bila-bila masa. Hari ini, khabar serangan demi serangan oleh pihak pengganas dan pelampau berlaku di seluruh dunia hampir setiap hari. Malaysia turut tidak terkecuali daripada ancaman ini.

 

Namun, semangat keperwiraan dan kecekapan yang dimiliki oleh anggota keselamatan membolehkan keamanan ini terus dikekalkan. Kesediaan anggota keselamatan kita dalam menangani ancaman terbukti dalam pengendalian peristiwa letupan di pusat hiburan Movida yang didalangi kumpulan pelampau yang mencemar nama baik Islam baru-baru ini.

 

Peristiwa-peristiwa ini merupakan sebahagian daripada sejarah yang akan dikenang merentas sempadan generasi. Tanpa keberanian dan semangat juang yang tinggi anggota Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia hari ini, mana mungkin kita masih boleh menghirup udara keamanan. Mereka adalah perwira yang sanggup berkorban dan menggadai nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara.

 

Pada hari bersejarah ini, saya ingin mengajak anda semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama mensyukuri nikmat yang kita perolehi melalui perjuangan mereka. Ketepikan perbezaan ideologi politik kerana keamanan bumi bertuah ini tidak harus kita gadaikan hanya kerana perbezaan antara kita.

 

Marilah bersama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah dan bertafakur buat perwira kita yang telah terkorban dalam perjuangan mereka demi kemakmuran tanah air ini.

 

Terima kasih perwiraku. Selamat Hari Pahlawan!

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles