31 Ogos, 2017

PERUTUSAN HARI RAYA AIDILADHA 1438H


PERUTUSAN YAB PERDANA MENTERI
SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA
PADA 1 SEPTEMBER 2017 / 10 ZULHIJJAH 1438H

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil hamd.

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmatNya yang tidak terhitung, pada 10 Zulhijjah 1438 Hijrah, seluruh umat Islam dapat menyambut Hari Raya Aidiladha. Pada hari ini juga, jutaan umat Islam berada di Tanah Haram menunaikan ibadah Haji. Bagi yang tidak berkesempatan untuk ke Tanah Suci, juga akan berhimpun, bertakbir, bertahmid dan menunaikan solat sunat Aidiladha.

2. Mengiktibari sirah di mana Nabi Ibrahim AS yang sanggup untuk menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail AS kerana taat kepada perintah Allah. Namun, berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini, maka, Allah telah menggantikannya dengan seekor binatang ketika Nabi Ibrahim sudah bersedia menyembelih anaknya itu.

3. Di sebalik sirah ini, jelaslah bahawa sesungguhnya pengorbanan yang ikhlas dan mendambakan keredhaan Allah SWT akan disusuli dengan bantuan dan pertolongan Allah SWT sebagaimana firmanNya di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 207 yang bermaksud :

“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah SWT, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya.”

4. Yakinlah bahawa Aidiladha yang kita rayakan ini jika benar-benar dihayati, sudah pasti akan dapat memupuk semangat perpaduan sesama kita sebagai rakyat Malaysia khasnya dan umat Islam amnya. Penghayatan ini membolehkan kita menjaga hubungan persaudaraan, bersatu hati dan sanggup berkorban, disamping menghindari sikap mementingkan diri sendiri.

5. Umat Islam yang mengabaikan prinsip-prinsip perpaduan, akan membuka ruang dan peluang kepada musuh-musuh Islam untuk menerobos, melemahkan serta menghancurkan Islam dan umatnya. Sesungguhnya, perpaduan dan keamanan yang dikurniakan ini adalah nikmat yang sangat berharga dan wajib dipertahankan. Bahkan, adalah wajib untuk kita berlaku adil sesama manusia walaupun dari golongan yang berbeza agama dan kepercayaan.

6. Sambutan Aidiladha kali ini amat istimewa kerana kehadiran bersama sambutan Hari Kemerdekaan kita yang ke 60 tahun dan kejayaan Malaysia menjuarai Sukan SEA pada tahun ini. Alhamdulillah, dengan izin Ilahi, tahun ini juga kita telah menghantar Jemaah Haji yang teramai dalam sejarah Negara. Kita merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang telah memudahkan pengurusan jemaah haji Malaysia kerana kita merupakan negara pertama di dunia dibenarkan untuk menjalankan program prapelepasan (preclearance) jemaah haji pada tahun ini dimana jemaah haji kita tidak perlu lagi menjalankan proses pemeriksaan passport dan kastam di Mekah dan Madinah. Nikmat ini juga atas asbab hubungan akrab kita dengan pemerintah Arab Saudi yang sentiasa kita semai dan pelihara selama ini.

7. Marilah kita bersama-sama meraikan hari kebesaran ini dengan penuh rasa kesyukuran dan keimanan, disamping mengukuhkan silaturrahim agar dapat melahirkan satu ummah yang bukan sahaja memperoleh kejayaan di dunia, malah dinaungi payung rahmat Allah SWT di akhirat nanti.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles, Official Addresses