19 September, 2017

PPR Sri Aman Jinjang & Pelancaran Perumahan Transit Belia Kuala Lumpur


Alhamdulillah, petang semalam saya berpeluang menyempurnakan bukan sahaja Majlis Penyerahan Kunci PPR Sri Aman di Jinjang, tetapi pada masa sama juga melancarkan Perumahan Transit Belia Kuala Lumpur.

Saya sering tekankan bahawa perumahan merupakan salah satu agenda pembangunan terpenting oleh Kerajaan Barisan Nasional sejak dahulu lagi, di mana menjadi hasrat Kerajaan agar setiap rakyat negara ini berpeluang memiliki rumah sendiri yang selesa dan berkualiti.

Projek PPR Sri Aman yang saya lancarkan semalam misalnya, melibatkan pembinaan sebanyak 1,600 unit rumah pangsa berbilang tingkat dengan kos projek bernilai RM216.89 juta.

Kerajaan membelanjakan sebanyak RM135,556 bagi membina seunit rumah ini, termasuk kos infrastruktur namun hanya menjualnya dengan kadar RM35,000 seunit. Ini bermakna, Kerajaan menyediakan subsidi cukup besar iaitu lebih RM100,000 bagi setiap unit PPR Sri Aman!

Malah, sebahagian unit-unit di PPR Sri Aman ini juga disediakan bagi Skim Sewa Untuk Milik atau Rent-to-Own (RTO) bagi golongan berpendapatan rendah yang atas sebab-sebab tertentu gagal mendapatkan pembiayaan perumahan melalui institusi kewangan.

Pada petang semalam juga, saya melancarkan satu lagi projek perumahan iaitu Perumahan Transit Belia. Dalam Pembentangan Bajet 2017 tahun lalu, saya telah mengumumkan mengenai pelaksanaan pembinaan 10,000 unit rumah transit khusus untuk membantu golongan muda M40 terutamanya di bandar-bandar utama di Malaysia.

Perumahan Transit Belia (RTB) adalah perumahan untuk disewa para belia yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM10,000 sebulan pada kadar sewaan yang lebih rendah daripada harga pasaran. Buat permulaan, sebanyak 2,010 unit RTB akan dibina di 2 lot tanah milik Kerajaan di Mukim Batu, Kuala Lumpur.

Antara keistimewaan Perumahan Transit Belia ini adalah: Kadar sewaan unit adalah 30% lebih rendah daripada harga pasaran iaitu pada kadar RM400 sebulan bagi Unit Studio berkeluasan 400 kaki persegi dan RM550 sebulan bagi Unit 2 Bilik berkeluasan 550 kaki persegi.

Konsep RTB ini bukan untuk tujuan penyediaan perumahan sementara sahaja malah juga sebagai satu mekanisme menabung atau forced saving bagi tujuan simpanan untuk bayaran perumahan pada masa hadapan.

Sebanyak RM250 daripada setiap bayaran sewa bulanan akan dikumpul dan dikembalikan semula kepada penyewa setelah tamat tempoh penyewaan selama 5 tahun.

Sebagai contoh, seseorang yang membayar sewa sebanyak RM400 sebulan sebenarnya hanya membayar RM150 manakala baki RM250 akan dikumpul oleh Kerajaan di dalam Tabung Amanah Perumahan Transit sehingga tamat tempoh penyewaan.

Setelah 5 tahun jumlah terkumpul simpanan ini akan mencapai RM15,000 dan ini akan dikembalikan semula kepada penyewa.

Setidak-tidaknya wang ini boleh digunakan sebagai sebahagian wang deposit untuk pembelian rumah yang kekal kelak.

Konsep yang sama ini akan digunapakai untuk dilaksanakan di atas tapak-tapak lain yang akan dikenalpasti oleh Kerajaan bagi mencapai sasaran 10,000 unit dalam masa 5 tahun ini.

Sejak tempoh Rancangan Malaysia Ke-8 hingga hari ini, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak hampir RM 6 bilion bagi melaksanakan PPR di seluruh negara yang melibatkan 120 projek siap yang telah memberi manfaat kepada 83,759 keluarga. Pelaksanaan PPR ini akan terus digiatkan lagi dengan lebih 25 ribu unit rumah PPR lagi akan dibina di seluruh negara, Insya-Allah.

Selain itu, kerajaan juga telah melaksanakan program-program perumahan yang lain seperti Program Perumahan 1Malaysia (PRIMA), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, Kerajaan turut memperkenalkan Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) dan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (Skim Mydeposit) yang memberikan subsidi dan insentif sehingga RM30,000 bagi pembelian rumah pertama.

Bagi mereka yang baru berkahwin, Kerajaan ada menyediakan Rumah Transit 1Malaysia (RT1M) khusus bagi mereka yang baru memulakan hidup berumah tangga di bandar. Manakala, mereka yang memiliki tanah boleh memohon Skim Pinjaman Perumahan (SPP) di bawah KPKT dan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di bawah SPNB.

Kesemua ini menggambarkan keprihatinan Kerajaan yang sentiasa berusaha bagi menyediakan kemudahan perumahan yang terbaik untuk setiap lapisan masyarakat.

Lebih daripada itu, ia juga membuktikan manifesto Rumah Mampu Milik oleh Kerajaan Barisan Nasional telah pun membuahkan hasilnya untuk rakyat.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles