1 Julai, 2016

Projek Penyambungan Jajaran LRT


Saya masih ingat lagi ketika saya mula mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada tahun 2009, salah satu daripada cabaran atau masalah yang memerlukan perhatian saya adalah sistem pengangkutan di Lembah Klang yang boleh dikatakan makin ‘nazak’.

Hampir setiap jalan raya dan lebuh raya utama di Lembah Klang mengalami isu kesesakan lalu lintas yang terpaksa diredah oleh penduduk bandar pada setiap hari bekerja. Ditambah pula dengan sistem pengangkutan awam yang tidak bersepadu, Kerajaan sedar bahawa infrastruktur sedia ada pada masa itu tidak berupaya lagi menampung keperluan sebuah bandar yang moden, masih berkembang dengan peningkatan populasi dan pembangunannya serta berkepadatan tinggi.

Kerajaan juga sedar bahawa satu perubahan dan langkah yang ketara perlu diambil segera demi meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat. Mengambil kira kesemua ini, penambahbaikan sistem pengangkutan awam bandar telah dijadikan keutamaan dalam Program Transformasi Kerajaan dan dalam pelaksanaannya, kita mengambil langkah untuk mewujudkan sistem pengangkutan yang berintegrasi dan terancang.

Alhamdulillah, semalam kita mengukir sejarah baru dalam perkembangan sistem pengangkutan awam negara hasil usaha perancangan bersama oleh agensi-agensi Kerajaan dan konsultasi dengan rakyat.

lrt1

Stesen Bersepadu Putra Heights yang menghubungkan laluan Kelana Jaya dan Ampang serta 15 stesen di bawah Projek Sambungan Laluan (LPE) telah beroperasi secara rasminya pada jam 6 pagi semalam. Ini merupakan tambahan kepada 8 stesen baru dalam laluan ini yang telah pun mula beroperasi dalam dua peringkat pada Oktober tahun lepas dan bulan Mac yang lalu.

lrt2

Dengan pembukaan stesen-stesen baru ini, merentasi kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi dan terkenal dengan kesesakan lalu lintas seperti Subang Jaya, Glenmarie, Kinrara dan Puchong, saya yakin ia akan dapat memberi manfaat kepada 2 juta penduduk di kawasan Lembah Klang khususnya di daerah Petaling. Penduduk-penduduk di kawasan ini akhirnya mempunyai akses pengangkutan awam tambahan ke pusat bandar selain daripada perkhidmatan sedia ada.

lrt3

Laluan ini bukan sahaja dilengkapi dengan gerabak tren baru malahan stesen Putra Heights ini bakal menjadi pusat integrasi perkhidmatan awam darat yang lain seperti bas, KTM Komuter, Monorail dan MRT. Saya sempat meninjau dan melihat sendiri operasi di stesen ini pada petang semalam.

lrt5

Kerajaan menjangkakan akan ada 300,000 pengguna baru setiap hari dengan perkhidmatan pengangkutan awam dan sistem terbaru ini. Saya yakin kita akan dapat memberi kualiti hidup yang lebih baik sekaligus meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk juga.

lrt4

Kerajaan sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan yang lancar dan bersepadu kepada rakyat.

Insya-Allah, menjelang tahun hadapan, kita akan dapat menikmati satu lagi hasil daripada transformasi pengangkutan awam apabila projek MRT laluan 1 dilancarkan.

Semoga kita akan dapat mencapai matlamat akhir untuk meningkatkan modal perkongsian pengangkutan awam dari 21% kini kepada 40% menjelang tahun 2030 dalam pengangkutan awam bandar.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles