7 September, 2017

Sembang Santai #Bajet2018


Petang ini saya singgah di Sunway Putra Mall, atau dulu lebih dikenali sebagai Yaohan, bertemu rakan-rakan online untuk sesi sembang santai berkaitan topik #Bajet2018.

Hadir sama di Restoran Sepiring adalah influencers daripada pelbagai bidang, seperti saudara Arzumy, CTO syarikat Fave by Groupon; Dr Khairul Hafidz, pengasas @MedTweetMY; Faizul Ridzuan seorang pakar hartanah; Rashdan Nasaruddin, pengusaha syarikat pakaian; Arif Azmal, sekretariat Majlis Perwakilan Pelajar UKM; Josh Teng, pengasas NEXT Academy; Sabrina Cheng pengasas bersama Local Usher; dan Fraziali Ismail, Pengarah Bahagian Ekonomi Bank Negara Malaysia.

Saya kongsikan sedikit perkara yang kami bincangkan dan juga cadangan yang telah mereka utarakan, misalnya daripada Faizul Ridzuan yang melahirkan penghargaan terhadap usaha kerajaan menyediakan banyak projek perumahan seperti PR1MA, PPA1M, PPR dan sebagainya.

Bagaimanapun beliau turut menekankan bahawa sudah tiba masanya untuk rakyat diberi pengetahuan dan ilmu mengenai pembelian rumah sekunder atau ‘subsale’ yang masih boleh diperolehi pada paras harga pasaran, contohnya ramai yang tidak tahu bahawa rumah teres 3 bilik dengan kolam renang di Damansara masih boleh dibeli pada harga RM450 ribu kini!

Selain itu, Dr Khairul Hafidz yang bertugas di Kementerian Kesihatan Putrajaya mengemukakan inputnya agar diwujudkan taska atau pusat asuhan kanak-kanak khusus untuk kakitangan kesihatan dan pegawai perubatan yang terpaksa bekerja secara shift. Ia bagi membolehkan mereka mempunyai tempat yang selamat untuk meninggalkan anak-anak mereka dan sempat menjenguk keadaan si kecil ketika sesi rehat.

Pengasas NEXT Academy, sebuah pusat latihan pembangunan untuk golongan belia iaitu Josh Teng memberi cadangan supaya tempoh latihan industri untuk pelajar universiti tempatan dilanjutkan daripada hanya 3 bulan ketika ini, supaya graduan dan mahasiswa diberi peluang lebih banyak bagi menimba pengalaman dan kemahiran sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan yang sebenar. Di samping itu, pelajar juga dapat menjana pendapatan untuk keperluan pembelajaran mereka.

Saya juga menerima pandangan berkenaan industri pelancongan daripada Sabrina Cheng yang mencadangkan perhatian lebih diberi kepada vendor-vendor kecil pelancongan supaya mereka mampu bersaing dengan pemain industri yang lebih besar, manakala Rashdan memberi idea untuk kita menggalakkan usahawan muda menceburi bidang perniagaan mobil dari rumah ke rumah yang lebih fleksibel, murah dan mudah buat mereka yang baru ingin menapak dalam dunia perniagaan.

Sambil makan asam laksa dan keropok lekor, saya dengar cadangan-cadangan dan berasa gembira melihat mereka begitu bersemangat membincangkan masa depan negara, lebih khusus lagi untuk #Bajet2018 yang akan saya bentangkan penghujung Oktober nanti.

Terima kasih kepada semua yang hadir dan meluangkan masa bersembang santai dengan saya. Insya-Allah idea-idea yang saya terima hari ini akan diteliti dan diperincikan sebelum dipertimbangkan untuk #Bajet2018 dan juga seterusnya. Anda juga boleh turut serta kemukakan idea kepada saya ke arah pembentukan #Bajet2018 di https://bajet2018.najibrazak.com

Inilah yang saya sentiasa tekankan dalam kepimpinan saya, yakni pendekatan dari bawah ke atas, atau bottom-up approach apabila menggubal atau merancang sesuatu dasar. Suara dan aspirasi majoriti rakyat akan sentiasa menjadi panduan kepada Kerajaan dalam usaha membawa Malaysia ke arah status negara maju dan berjaya.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles