15 April, 2016

Setia Dalam Persahabatan, Ikhlas Dalam Perjuangan


Alhamdulillah, petang semalam saya berkesempatan bersama sahabat-sahabat dan teman-teman seperjuangan sezaman Pemuda UMNO dahulu dalam satu majlis di Putrajaya.

Saya tersentuh hati melihat kehadiran mereka yang datang dari serata Malaysia untuk meluangkan masa bersama saya.

Ada yang kini masih aktif dalam dunia politik dan kerjaya, ada pula yang telah lama bersara. Ada yang dah bertahun-tahun saya tak jumpa, ada juga yang telah meninggalkan kita dan diwakili petang semalam oleh balu dan waris mereka.

ikhlas1

Walaupun kebanyakan daripada mereka kini berada dalam dekad ke-60 hidup di dunia ini, tetapi semangat mereka mempertahankan, menegakkan dan meneruskan perjuangan parti UMNO yang kita cintai ini tidak pernah sedikit pun luntur.

Inilah sahabat-sahabat yang saya boleh bergantung harap untuk mempertahankan saya bukan sahaja sebagai Presiden UMNO tetapi juga sebagai seorang sahabat yang telah dikenali berpuluh tahun lamanya.

Semua yang hadir dalam dewan semalam adalah sebahagian daripada sejarah UMNO, kerana tanpa sokongan Pemuda ketika UMNO dilanda konflik Team A dan Team B suatu ketika dulu, tidak mungkin parti kita akan pulih dan bangkit menjadi parti yang hebat sepertimana ia hari ini.

ikhlas2

Nilai yang ada antara saya dan sahabat-sahabat saya ini bukan nilai material, tetapi nilai persahabatan yang ikhlas, tidak boleh dijual beli. Kami setia bersama dalam apa jua keadaan.

Saya percaya tidak ada dalam kalangan sahabat-sahabat saya ini yang akan lari atau khianat terhadap sumpah setia kita sebagai ahli parti UMNO yang kita kasihi.

Macam mana pun, walau apa pun yang berlaku, kita nak jaga parti UMNO keramat kita ini dan tanah air kita untuk generasi akan datang, untuk anak-anak dan cucu-cucu kita.

Insya-Allah, sama-sama kita kekalkan tali silaturrahim yang telah terjalin sekian lama, terus setia dalam persahabatan, ikhlas dalam perjuangan dan sumpah setia kita untuk UMNO, untuk bangsa dan untuk negara.

ikhlas3