12 Januari, 2017

Tan Sri Adenan Satem (27 Januari 1944 – 11 Januari 2017)


Dalam perjalanan pulang dari Kuching tadi, saya terimbas kembali kenangan saya bersama sahabat yang amat rapat dengan saya sepanjang saya berkecimpung dalam dunia politik ini.

Laungan “ooh ha” beliau, yang bermaksud saya sayang Sarawak, masih terngiang-ngiang di telinga.

Yang Amat Berhormat Datu Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem atau lebih dikenali sebagai Tok Nan merupakan seorang pemimpin yang amat saya hormati. Tegas dalam melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai Ketua Menteri, beliau sentiasa mengetengahkan isu-isu Sarawak yang perlu dibincang dan diselesaikan bersama. Saya berbangga bahawa hubungan antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sarawak mencapai tahap tinggi di bawah kepimpinan Tok Nan.

Tok Nan bagi saya merupakan seorang tokoh 1Malaysia, seorang pemimpin yang menjiwai semangat 1Malaysia. Beliau seorang pemimpin yang mampu menyatukan rakyat yang berbilang kaum di bawah satu bumbung dan tidak pernah mengenepikan kepentingan mana-mana kaum. Saya yakin mana-mana komuniti di Sarawak baik Dayak, Cina, Melayu atau Kelabit memandang tinggi, hormat dan sayang Apai Besar Sarawak mereka.

Beliau juga berupaya untuk berucap sedikit sebanyak dalam Bahasa Cina. Saya masih ingat lagi saya hadir dalam salah satu majlis pada tahun 2015, ketika itu kebanyakan hadirin terdiri daripada komuniti Cina dan Tok Nan dengan bersahaja mampu mencuit hati tetamu yang dijemput, selain mengumumkan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak dari segi pendidikan dan kos sara hidup.

Dengan pemergian Tok Nan, saya sebagai Presiden Barisan Nasional tentunya telah kehilangan seorang rakan seperjuangan. Seorang pemimpin berjiwa rakyat yang tidak kenal erti penat lelah dalam memperjuangkan nasib rakyat Sarawak. Pengalaman berkempen ketika Pilihanraya Negeri Sarawak 2016 masih segar dalam ingatan saya di mana Tok Nan telah mengetuai jentera pilihanraya dan meraih kemenangan yang amat besar.

He was the political tsunami, a blue wave or what some would say, the Adenan factor.

Semangat juang beliau juga tidak berhenti apabila berhadapan dengan cabaran. Saya ingat ketika itu, banyak perbincangan antara saya dan beliau berkenaan cara-cara untuk menaikkan semangat jentera parti setelah nahas kemalangan helikopter yang telah mengorbankan rakan-rakan kami, serta strategi-strategi pilihanraya yang boleh dilaksanakan dalam memastikan kemenangan besar untuk Barisan Nasional.

His passing is a great loss to the party and he has left a big space to be filled.

Sebagai Perdana Menteri, saya telah kehilangan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan tegas dalam melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai Ketua Menteri. Beliau telah meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan diri sendiri. Banyak transformasi yang telah dilaksanakan oleh Tok Nan sepanjang beliau menjadi Ketua Menteri yang membuatkan rakyat lebih sayang dan yakin ke atas kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional.

Sebagai Najib Razak, saya telah kehilangan seorang rakan akrab yang amat rapat dengan saya dan isteri. Saya telah melihat perjalanan kerjaya beliau waktu senang dan susah dan saya tetap kenang beliau sebagai sahabat yang setia, sahabat yang amat dekat di hati saya.

Sebagai Apai Besar Sarawak, jasa Tok Nan sangat besar dan akan sampai bila-bila termaktub dalam buku-buku sejarah dan dikenang oleh semua, terutama rakyat Sarawak. Sesungguhnya kita semua telah hilang pemimpin yang berwibawa yang memilih untuk berkhidmat untuk parti dan rakyat hingga nafas terakhir beliau.

Legasi dan visi Tok Nan dalam memastikan Sarawak terus makmur, membangun dan maju seiring dengan pembangunan negara akan terus diusahakan.

Saya doakan agar Allah SWT terus meletakkan Allahyarham Tok Nan di bawah perlindungan-Nya. Al-Fatihah.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles