14 Oktober, 2016

Yang di-Pertuan Agong XV


Bagi pihak Kerajaan dan Rakyat Malaysia, patik ingin menyembah tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V Al-Sultan Negeri Kelantan Darul Naim atas pemilihan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XV oleh Majlis Raja-Raja untuk tempoh lima tahun bermula 13 Disember 2016.

Patik juga ingin menyembah tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Paduka Seri Sultan Perak atas pemilihan Baginda selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja Raja bagi tempoh yang sama.

Kedua-dua pemilihan ini selaras dengan Sistem Raja Berperlembagaan Persekutuan dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan negara berasaskan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

Proses yang berlangsung membuktikan keutuhan merentasi masa sistem pemerintahan negara yang dibina hasil semangat musyawarah serta kebijakan Bapa-Bapa Pengasas Negara diterajui Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Patik dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri serta anggota pentadbiran lain percaya negara akan terus bertambah makmur dan maju di bawah pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V.

Daulat Tuanku!

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles