26 April, 2016

Memanfaatkan Potensi Khazanah Luar Bandar


Ridzwan
Pelbagai inisiatif di bawah NKRA Pembangunan Luar Bandar disasarkan untuk meningkatkan prospek ekonomi komuniti luar bandar dan menunjukkan bahawa peluang memperoleh pendapatan tinggi tersedia untuk mereka jika mereka sanggup merebut peluang dan berusaha. Mohd. Ridzwan Ishak dari Lembah Bujang di Kedah merupakan contoh terbaik, kerana usaha keras dan ketabahannya telah membuahkan hasil yang lumayan.

Dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Sungai Batu Besi berhampiran Sungai Merbok, Ridzwan yang berusia 45 tahun ialah pemilik dan pengendali ladang ternakan tiram (hanya terdapat 10 di Semenanjung Malaysia). Meskipun terletak di kawasan pedalaman dan akses yang terhad, ladang ini dikunjungi antara 60-100 pelancong setahun. Beliau menternak sehingga 60,000 tiram, dan menuai 1,000 – 3,000 tiram setiap bulan.

Walau bagaimanapun, Ridzwan bukanlah asalnya seorang peminat akuakultur tetapi beliau merupakan bekas nelayan. Ladang tiramnya merupakan hasil proses pemindahan pengetahuan ihsan Profesor Madya Dr. Aileen Tan Shau Hwai dari Sekolah Sains Biologi, Universiti Sains Malaysia (USM). USM dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (MOHE), menyediakan dana penyelidikan untuk mengendalikan pemindahan pengetahuan serta pembukaan tempat penetasan tiram di Balik Pulau, Pulau Pinang. Satu daripada hanya dua tempat penetasan seumpamanya di Asia Tenggara telah menjadi sumber tiram Ridzwan.

Ladang tiram yang hanya menternak tiram makanan (bukan tiram mutiara seperti yang diternak oleh kebanyakan penternak di Sabah misalnya), turut menjadi hos kepada sukarelawan pemuliharaan (kebanyakannya pengunjung tetap) yang ingin melihat sistem akuakultur yang bersih. Menurut Ridzwan dalam temu bual dengan akhbar harian berbahasa Inggeris The Star, sukarelawan ini antara lain membantu beliau mengerak-gerakkan sangkar tiram, membersihkan sangkar dan mengasingkan tiram mengikut saiz.

Sesungguhnya, Ridzwan percaya bahawa ekopelancongan berpotensi memberikan ganjaran ekonomi kepada penduduk kampung sepertinya.

Sumber Asal: Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan 2015

Shares Share Kategori : Success Stories