26 April, 2016

Membangunkan Kemahiran Untuk Prospek Yang Lebih Cerah


sen students

Program Peralihan Pekerjaan, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Keperluan Pendidikan Khas (SEN), telah menikmati beberapa kejayaan dalam tempoh singkat pelaksanaannya. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Reko, iaitu salah sebuah sekolah yang mengambil bahagian dalam program tersebut, telah mengendalikan kelas SEN sejak tahun 1995, dan dari segi kebolehcapaian fizikal, sekolah ini telah memasang tanjakan (ramp) dan memastikan bilik darjah SEN terletak di tingkat bawah. Pelajar SEN di sini merangkumi mereka yang kekurangan upaya fizikal dan juga mental, dan sekolah tersebut menilai keperluan khusus pelajar sebelum menempatkan mereka pada peringkat yang bersesuaian.

Pengetua sekolah tersebut, Wan Roslan Wan Yaakob, percaya bahawa pelajar SEN harus mampu berdikari dan hidup berasingan daripada ibu bapa mereka. Untuk memberikan peluang kepada pelajar SEN berbuat demikian, SMK Jalan Reko bekerjasama dengan Kagumas Culinary Arts College, Tesco Kajang dan pelbagai restoran di Bangi untuk memberikan latihan kemahiran dan latihan semasa bekerja. Setelah pelajar mencapai usia 16 tahun atau lebih, sekolah tersebut turut membincangkan prospek pelajar dengan ibu bapa mereka, yang mungkin dapat menghubungkan sekolah dengan pemilik perniagaan yang lain.

Antara penerima manfaat program ini ialah Ahmad Hudzeir Mohamadiah. Ahmad, iaitu bekas pelajar SMK Jalan Reko, merupakan barista yang turut menyediakan makanan di Restoran Aneka Selera di Bandar Baru Bangi. Sekolah tersebut turut membuat pengaturan untuk Ahmad menjalani latihan di Kagumas Culinary Arts College dalam kemahiran kulinari dan hospitaliti.

Majikannya, iaitu pemilik restoran Zul Azwan, memuji Ahmad sebagai salah seorang pekerja terbaik di restorannya, walaupun beliau pemalu dan kurang mahir bersosial dan berkomunikasi. Beliau mengimbangi kelemahan tersebut melalui kemahirannya dalam penyajian makanan. Zul telah menggaji pekerja kurang upaya selama 11 tahun, dan Zul percaya bahawa dengan latihan awal sebelum menyertai tenaga kerja dan kesabaran yang tinggi semasa mengajari mereka selok-belok pekerjaan, mereka boleh menjadi pekerja yang berdedikasi, jujur dan kompeten.

Sumber Asal: Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan 2015

Shares Share Kategori : Success Stories