26 April, 2016

Memudahkan Peningkatan Pendapatan Melalui 1Azam


67dbf6fc-6a23-4123-a01a-97bbd608e79539f30613-08eb-4dc8-bdf1-24ab13635da7

Inisiatif 1AZAM telah memberikan kesan terhadap kehidupan banyak keluarga berpendapatan rendah, khususnya mereka yang tinggal di kawasan yang kurang membangun. Misalnya, Chik Azmily bin Che Abdul Aziz yang berusia 31 tahun (pada tahun 2015) dan berasal dari Kampung Beoh Gunong di Kelantan, memperoleh pendapatan RM500 sebulan sebagai buruh harian yang diupah untuk menjaga kebun rumah orang lain, selain memetik buah kelapa sawit.

Melalui inisiatif 1AZAM Tani yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Malaysian Agricultural Research and Development Institute, MARDI), yang disertai oleh Che Azmily sejak tahun 2013, Che Azmily telah diberi peralatan dan bahan-bahan pertanian (benih, baja dan racun herba/racun serangga). Isteri beliau pula diberi mesin jahit untuk membantu beliau dalam kerja jahit menjahitnya. Ini membolehkan Che Azmily menanam tanaman kontan bermusim jangka pendek seperti timun, ubi, sayur daun dan tembikai, yang kemudian dijual kepada pemborong. Sementara itu, isteri Che Azmily telah diberi kontrak untuk menjahit kemeja batik oleh seorang pemilik kilang batik.

Che Azmily berjaya meningkatkan pendapatan bulanannya sehingga 1000 peratus (atau 10 kali) kepada RM5,000, sekali gus membebaskan keluarga beliau daripada cengkaman kemiskinan tegar. 1AZAM Tani membolehkan beliau membina sebuah rumah menggunakan bahan-bahan yang dibeli daripada hasil pertaniannya, selain memulakan penternakan lebah kelulut (lebah tanpa sengat) untuk mendapatkan madunya. Beliau berhasrat mengembangkan aktiviti pertaniannya dengan menyewa tanah terbiar atau tanah yang tidak digunakan. Di samping itu, beliau juga merancang untuk menjual hasil tanamannya sendiri di pasar-pasar tani berdekatan tanpa menggunakan khidmat pemborong.

1AZAM Tani turut membawa manfaat kepada Tiu Hock Tong dari Kampung Pasir Parit, juga di Kelantan, yang menyertai inisiatif ini pada tahun 2012. Tiu yang berusia 64 tahun juga diberi bantuan peralatan dan bahan-bahan pertanian, yang dimanfaatkan sepenuhnya di sebidang tanah berkeluasan 1 ekar. Selain itu, Tiu turut menternak lebah kelulut. Ini membolehkan Tiu menggandakan pendapatan bulanannya daripada RM500 kepada RM1000, meskipun tanamannya tidak dituai sepanjang tahun.

timInisiatif NKRA Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah, khususnya program 1AZAM, sangat dihargai di Sabah dan Sarawak dan program ini dikendalikan secara autonomi oleh kerajaan negeri sendiri. Perkadaran isi rumah berpendapatan rendah lebih tinggi dalam pelbagai kumpulan di sana dan mereka telah meraih lebih banyak manfaat daripada inisiatif ini.

Salah seorang penerima manfaat ini ialah Sidi anak Tuba dari Sungai Liuk, Mukah di Sarawak. Sebelum Sidi menyertai saluran 1AZAM Tani pada tahun 2010, jumlah pendapatan isi rumah Sidi ialah RM450. Di bawah kendalian Jabatan Pertanian Sarawak, Sidi mula menanam jagung dan sayuran lain di tanah miliknya seluas 3.6 hektar. Hasil tuaian kemudiannya dijual di pasar Mukah dan di sekeliling kampung. Pendapatan Sidi meningkat begitu besar sebanyak 20 kali sehingga RM9,000 sebulan, jauh melebihi purata pendapatan rakyat Malaysia, iaitu satu pencapaian yang boleh dibanggakan oleh Sidi dan keluarganya.

Jabatan turut membantu Tim anak Kawen yang tinggal di Kampung Rejoi di Siburan, Sarawak. Sebelum menyertai saluran 1AZAM Niaga pada tahun 2014, Tim menggunakan rumahnya sebagai kedai runcit ad hoc. Susulan penyertaannya, Tim telah berjaya mendapatkan lesen perniagaan yang sah dan memperluas ruang niaganya. Ini seterusnya membolehkan Tim menyusun semula produk jualannya dengan lebih kemas dan teratur. Sejak itu, pendapatan Tim telah meningkat daripada RM600 kepada RM2,800 sebulan. Malah, Tim dapat menyediakan kediaman yang lebih selesa untuk keluarganya dan dengan operasi kedai runcitnya, penduduk kampung dapat membeli bekalan harian mereka tanpa perlu pergi ke bandar.

Sumber Asal: Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan 2015

Shares Share Kategori : Success Stories