28 April, 2015

Prospek yang Lebih Cerah untuk Siswazah Baharu dengan GEMS


Capture

“Saya menyertai Skim Pengurusan Kebolehpasaran Siswazah (GEMS) kelolaan TalentCorp selepas beberapa bulan menganggur. Saya lulus dengan nilai CGPA 3.25 dari UITM, dalam pengajian Perniagaan dan Ekonomi pada bulan Mei, 2014. Kawan saya yang banyak mendengar tentang GEMS bercadang untuk menyertai skim ini dan menggesa saya untuk menyertainya juga.

Saya pun meninggalkan kampung saya di Setiu, Terengganu untuk menghadiri latihan pengurusan selama dua minggu dengan TalentCorp, bersama-sama dengan 24 graduan lain yang juga sedang mencari peluang pekerjaan. Pengalaman menjalani latihan ini membantu mendedahkan kami kepada bekerja dalam persekitaran korporat. Latihan ini juga membiasakan kami dengan proses perekrutan, di mana kami mempelajari tatatertib semasa menghadiri temu duga kerja.

Tambahan pula, latihan ini memberikan kami ilmu yang tidak ternilai dalam membantu meningkatkan keyakinan kami, terutamanya apabila berinteraksi dengan orang lain. Kami juga menghadiri kelas bahasa Inggeris, mempelajari mengenai penampilan diri yang bergaya dan bagaimana untuk menulis resume. Sepanjang tempoh latihan ini, kami diberikan elaun bulanan sebanyak RM500.

Selepas menyempurnakan latihan, TalentCorp menganjurkan sesi temu duga dengan beberapa syarikat hos dari industri Barangan Pengguna Laris (FMCG), pelancongan dan hospitaliti, yang membantu saya mendapatkan pekerjaan sebagai penolong pengurus di Pizza Hut, milik QSR Brands, salah satu peneraju pengendali makanan segera di Asia Tenggara. Kebanyakan rakan yang mengikuti kursus yang sama dengan saya juga berjaya mendapat pekerjaan melalui temu duga dengan syarikat hos TalentCorp.

Saya sedang menjalani tempoh percubaan selama enam bulan, dan memandangkan skim ini mensyaratkan kami bertugas dengan syarikat hos kami selama sekurang-kurangnya enam bulan, pekerjaan saya bukan sahaja terjamin, tetapi saya juga dapat membina kemahiran dan pengalaman saya. Majikan saya juga menyediakan tempat tinggal berhampiran dengan outlet di mana saya bekerja. Tugas saya menumpukan kepada bidang perkhidmatan pelanggan, dan saya bersyukur dapat bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab harian saya.

Saya yakin GEMS menyediakan platform yang penting untuk memupuk dan menyediakan pengalaman bagi graduan baru lulus yang berminat untuk memperbaiki kehidupan mereka. Berasal dari Setiu, di mana jumlah syarikat korporat adalah terhad, GEMS juga menyediakan saya dengan akses untuk mendekati lebih banyak syarikat dan meningkatkan peluang saya mendapat pekerjaan berpendapatan tinggi. Saya berasa terhutang budi kerana GEMS telah menyediakan hala tuju dalam membina karier saya, dan saya yakin bahawa pengalaman ini akan mengukuhkan peluang saya untuk mendaki tangga korporat.”

Sumber Asal : Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan 2014

Shares Share Kategori : Success Stories