28 April, 2015

Teraju Memupuk Syarikat Berprestasi Tinggi


Capture

“Sebagai sebuah syarikat hartanah, Dana Mudahcara yang dikendalikan oleh TERAJU telah membolehkan kami bukan menjual rumah semata-mata, tetapi menjualnya pada harga yang lebih rendah yang mampu dibeli oleh golongan pendapatan rendah. Kos pembiayaan lebih rendah yang ditawarkan melalui dana ini telah membolehkan kami menjual rumah yang mampu dimiliki kepada lebih ramai Bumiputera Sarawak sebagai rumah pertama mereka.

Petra Jaya Properties menjadi syarikat TeraS sejak tiga tahun dahulu. Setakat ini dengan sokongan TERAJU, kami telah menjual 130 buah rumah daripada projek-projek yang sebahagiannya dibiayai oleh Dana Mudahcara dengan lebih 200 buah lagi sedang dibina. Sebagai syarikat TeraS, kami layak memohon pembiayaan dengan syarat deposit sekuriti yang lebih rendah dengan TERAJU bertindak sebagai penjamin kepada kemudahan ini. Ini membantu kami mengurangkan risiko, mencapai faktor kejayaan yang lebih besar dan membina keyakinan kami untuk melaksanakan projek-projek.

Saya berpendapat bahawa memohon menyertai program TeraS juga menggalakkan syarikat untuk memperbaiki prestasi mereka, kerana syarikat perlu menunjukkan rekod keuntungan sekurang-kurangnya tiga tahun dan mempunyai minimum penarafan 3-Bintang di bawah program SCORE yang dikelolakan oleh SME Corp. Syarikat juga mesti mengikuti beberapa kursus, yang membantu kami mengenal pasti dan menangani sebarang kelemahan. Proses permohonan yang ketat memastikan hanya syarikat yang mempunyai rekod prestasi diganjarkan dengan bantuan.

Saya percaya TERAJU telah memainkan peranan yang penting dalam mengenal pasti dan memudahcarakan syarikat yang mempunyai potensi, membimbing syarikat Bumiputera mencapai platform pertumbuhan yang lebih tinggi. Fokus TERAJU kepada IKS juga memastikan syarikat-syarikat yang memacu aktiviti komersial di Malaysia seperti syarikat kami akan terus menyumbang kepada ekonomi yang lebih luas.”

Sumber : Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan 2014

Shares Share Kategori : Success Stories