9 September, 2010

Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1431H/2010M YAB Perdana Menteri


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia,

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah hil Hamd

1.     Alhamdulillah, setelah sebulan kita melaksanakan jihad besar menentang hawa nafsu maka tibalah masanya untuk menyambut detik kemenangan, Hari Raya Aidilfitri yang mulia. Sesungguhnya umat Islam Malaysia mempunyai banyak sebab untuk bersyukur. Tentunya sebab paling utama adalah kemampuan kita  menyambut hari lebaran ini dalam keadaan aman damai serta dilimpahi kemakmuran. Kita bebas dari peperangan, konflik, penindasan mahupun bencana alam sepertimana yang dialami atau melanda sesetengah saudara seakidah diseluruh pelusuk dunia.

2.     Maka, sebagai umat yang bersyukur, kita perlu berterima kasih kepada kepemimpinan negara terdahulu yang telah meletakkan asas kukuh kepada kejayaan Malaysia pada hari ini. Terima kasih kita juga ditujukan kepada anggota pasukan keselamatan yang telah mempertaruhkan jiwa dan raga mereka demi mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan negara sejak dahulu hingga sekarang. Tidak dilupakan, kepada para penjawat awam, guru, para pekerja, petani, peladang, usahawan dan nelayan. Segala usaha dan pengorbanan semua menjadi asas serta landasan kepada apa yang kita nikmati bersama.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

3.      Hakikatnya, Malaysia adalah sebuah negara demokratik, majmuk, berbilang agama dan berbagai kaum dengan penganut Islam sebagai penduduk majoritinya. Semenjak lebih lima dekad lalu, sekalipun negara telah mengalami pasang surut perhubungan kaum, namun setiap cabaran telah berjaya kita hadapi dengan cemerlang termasuklah tragedi hitam 13 Mei 1969. Persoalannya, apakah formula yang telah membolehkan kita menghadapi segala cabaran nasional ini dengan baiknya?

4.      Jawapannya adalah kerana kita umat Islam di Malaysia semenjak ajaran agama yang suci tiba di rantau ini, telah mengamalkan  pendekatan wasatiyyah atau pertengahan dalam kehidupan beragama  bersesuaian dengan mafhum firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 143;

“Dan demikian pula kami telah menjadikan kamu (umat Islam) ‘umat pertengahan’ agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu”.

5.      Pendekatan wasatiyyah inilah juga yang telah menyebabkan Malaysia muncul sebagai antara negara Islam termaju di dunia.  Ia juga telah meletakkan umat dan negara digarisan yang betul menuju negara Islam berstatus maju dengan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

6.      Selain itu, kita hendaklah mengelakkan diri daripada terjerumus dengan gejala ekstremisme mahupun kejumudan. Sesungguhnya jika kita membuka ruang atau memberi kesempatan  kepada  gejala-gejala tersebut untuk mekar subur, bererti kita menanam bibit-bibit kehancuran yang akan meruntuh segala yang terbina selama ini.

7.      Pendek kata, sebagai penduduk majoriti, umat Islam mempunyai tanggungjawab moral memikul amanah kepemimpinan negara. Ini adalah tuntutan yang kita tidak dapat  lari daripadanya. Ia menuntut ketegasan,  kebesaran jiwa dan sikap berlapang dada. Malah, semenjak merdeka kita telah berjaya menunaikan amanah ini dengan sebaik mungkin dan setiap generasi perlu meneruskan tuntutan moral tersebut secara yang lebih baik.

8.      Sayang sekali, akibat mengikut nafsu dan amarah, Islam hari ini menjadi agama yang disalahertikan. Tanggapan dan telahan yang tidak benar menjadi kelaziman seperti, Islam adalah agama pengganas, terkebelakang serta tidak progresif. Sesungguhnya ajaran Islam sebenar amat berbeza dari imej dan tanggapan sedemikian. Islam sebenarnya adalah agama yang amat progresif dan toleran. Ia bersifat universal atau sarwajagat. Bahkan cara hidup Islam adalah amat sesuai dengan fitrah manusia dan ia sesuai untuk semua zaman serta situasi.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

9.      Semenjak merdeka kepemimpinan negara menyedari bahawa perpaduan kebangsaan serta kestabilan adalah pra-syarat utama kepada kelangsungan dan kebahagiaan nasional.  Perpaduan nasional tidak akan bersifat mapan dan tuntas kecuali ia diteraskan kepada perpaduan umat Islam yang mantap. Apabila umat Islam tidak mampu mencapai ijmak di dalam perkara-perkara asas beragama dan berpolemik pula secara yang tidak berkesudahan serta bersifat memusnah, tidak mungkin cita-cita kestabilan nasional tercapai. Dari itu, marilah kita menunaikan tanggungjawab kita untuk menyumbang kepada pengukuhan perpaduan nasional.

10.    Teruskanlah tradisi rumah terbuka yang selama ini menjadi amalan. Runtuhkanlah tembok prasangka dan rongkaikan prejudis dengan membuka seluas-luasnya pintu rumah kita serta pintu hati kita untuk rakan-rakan kita dari pelbagai kaum dan agama di hari yang mulia. Jelas sekali, ini adalah tradisi Malaysia yang bitara atau amat unik dan tidak berlaku di mana-mana negara di dunia dimana rakan-rakan dari pelbagai kaum serta agama boleh mengunjungi kita tanpa sebarang halangan mahupun kebimbangan.

11.    Sehubungan itu, pada kesempatan ini, saya ingin menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf bagi pihak diri saya, isteri dan keluarga di atas apa-apa yang terkhilaf. Saya berdoa kepada Alllah SWT supaya semua umat Islam dapat menyambut perayaan ini dengan penuh kegembiraaan dan kesyukuran di samping mereka yang tersayang.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah hil Hamd

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan terima kasih.

Shares Share Kategori : Official Addresses