28 April, 2014

Perutusan Sambutan Hari Songkran 2014 YAB Perdana Menteri


Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Songkran kepada seluruh rakyat Malaysia berketurunan Siam. Saya berharap kedatangan tahun baru ini akan memberikan sinar dan harapan baru kepada masyarakat Siam di negara ini.

Saya difahamkan kedatangan tahun baru masyarakat Siam selalunya diraikan secara sederhana tetapi tetap memberi kesan dan sambutannya kekal meriah. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat Siam sangat mementingkan kesederhanaan dalam kehidupan mereka.

Konsep kesederhanaan inilah yang perlu kita hayati dalam usaha pembinaan negara bangsa yang bersatu-padu dan harmoni, iaitu menggunakan pendekatan sederhana dalam menangani apa juga isu.

Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, sesuatu tindakan, tutur kata mahupun tulisan yang berunsur ekstrim atau melampau, langsung tidak boleh diterima kerana ia boleh membawa kepada masalah ketidakstabilan sosial yang lebih parah. Sebaliknya, dengan pendekatan sederhana, kita boleh memahami antara satu sama lain, dan seterusnya mengekalkan kehidupan bersatu-padu.

Perlembagaan Malaysia menjamin hak dan kebebasan semua rakyat. Ini termasuklah kebebasan beragama, mengamalkan kepelbagaian budaya serta merayakan hari kebesaran agama dan kaum masing-masing.

Sebagai pemimpin kepada sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus mempertahankan asas Perlembagaan yang ada serta memperjuangkan keadilan sosial kepada semua rakyat.

Semoga kedatangan tahun baru kali ini membuka sinar dan harapan baru kepada seluruh masyarakat Siam di bumi bertuah ini, membuka laluan ke arah kejayaan, keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan.

Selamat menyambut Hari Songkran.

Shares Share Kategori : Official Addresses