15 April, 2016

Perutusan Sambutan Hari Songkran 2016 YAB Perdana Menteri


PERUTUSAN PERDANA MENTERI
YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK
SEMPENA SAMBUTAN HARI SONGKRAN 2016

Salam Perpaduan dan Salam 1Malaysia.

Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya ingin mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Songkran kepada seluruh rakyat Malaysia berketurunan Siam. Saya berharap kedatangan tahun baru ini akan memberikan sinar dan harapan baru kepada seluruh Masyarakat Bumiputera Siam di negara ini.

Sebagai sebuah negara berbilang kaum, Perlembagaan Malaysia menjamin hak dan kebebasan semua rakyat, termasuk kaum minoriti seperti Masyarakat Bumiputera Siam, untuk mengamalkan budaya serta merayakan hari kebesaran kaum masing-masing.

Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, saya memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus mempertahankan asas Perlembagaan yang ada serta memperjuangkan keadilan sosial kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, latar belakang dan warna kulit.

Keadilan sosial ini perlu kita hayati dalam usaha pembinaan negara bangsa yang bersatu-padu dan harmoni serta menggunakan pendekatan sederhana dalam menyampai, membangkitkan dan menangani apa juga isu bersama. Dengan itu, kita dapat memupuk sikap saling memahami antara satu sama lain, serta mengekalkan perpaduan di dalam masyarakat Malaysia yang majmuk ini.

Saya berharap seluruh Masyarakat Bumiputera Siam di negara ini bergembira dengan kedatangan Hari Songkran ini serta terus menikmati kejayaan, keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan.

Selamat menyambut Hari Songkran.

Ikhlas daripada saya,

DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK

Shares Share Kategori : Official Addresses