2 April, 2013

Kenyataan Akhbar Mengenai Tuntutan Royalti Berjumlah RM12 Bilion oleh Kerajaan Negeri Kelantan


1.       Kerajaan Negeri Kelantan dalam beberapa kenyataan yang dibuat mengenai bayaran hasil petroliam menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan perlu membayar kepada Negeri Kelantan sejumlah RM12 bilion daripada hasil keluaran petroliam di luar perairan Kelantan.
2.       Tuntutan ini tidak disandarkan kepada asas-asas yang munasabah sama ada dari segi perundangan ataupun tatacara teknikal berkaitan dengan aktiviti-aktiviti pengeluaran gas dan minyak di kawasan yang terlibat. Mengikut undang-undang, adalah jelas bahawa Negeri Kelantan, sepertimana juga Negeri Terengganu dan semua negeri di Semenanjung Malaysia hanya mempunyai hak untuk menuntut bayaran hasil petroliam yang dikeluarkan dalam perairan negeri tersebut iaitu kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari ukuran garis air surut ataupun pesisiran pantai negeri.
3.       Ingin dimaklumkan bahawa kawasan-kawasan yang mengeluarkan hasil petroleum di luar perairan negeri Kelantan adalah Blok PM301, Blok PM2, Malaysia-Thailand Joint Development Area (MTJDA) dan Commercial Arrangement Area di antara Malaysia and Vietnam (PM3 CAA). Lokasi kawasan-kawasan ini secara kasar adalah seperti di lampiran. Blok PM301 dan Blok PM2 melebihi tiga batu nautika dari garis air surut atau persisiran pantai Negeri Kelantan tetapi berada dalam kawasan perairan Malaysia. MTJDA pula merupakan kawasan yang dituntut Thailand dan PM3 CAA merupakan kawasan yang dituntut.
4.       Kawasan yang dituntut oleh Thailand iaitu MTJDA adalah di bawah pihak berkuasa bersama Malaysia-Thailand Joint Authority (MTJA) yang bertanggungjawab mengawal selia aktiviti-aktiviti di dalam kawasan ini dan bukan hanya tanggungjawab Kerajaan Persekutuan sahaja. Ini adalah kerana isu sempadan laut di antara kerajaan Malaysia dan Thailand sehingga kini masih belum diselesaikan secara muktamad. Oleh itu, Malaysia dan Thailand telah memeterai Memorandum Persefahaman yang perlu dipatuhi kedua-dua negara selagi isu sempadan laut tidak dapat diselesaikan. Ini adalah untuk mengelakkan pertelingkahan di antara Malaysia dan Thailand. Kedua-dua negara telah bersetuju supaya bayaran 5 peratus daripada nilai pengeluaran petroliam dibuat kepada Malaysia dan Thailand juga menerima 5 peratus daripada nilai pengeluaran petroliam. Kawasan ini telah mengeluarkan hasil semenjak tahun 2005 dan sehingga tahun 2012, Kerajaan Persekutuan telah menerima bayaran berjumlah USD 600.27 juta ataupun RM2.1 bilion daripada kawasan tersebut.
5.       Berdasarkan perjanjian di antara Malaysia dan Vietnam bagi kawasan tuntuan Vietnam iaitu PM3 CAA, Kerajaan Persekutuan telah menerima bayaran 5 peratus iaitu sejumlah RM2.2 bilion daripada hasil yang dikeluarkan di kawasan tersebut semenjak tahun 2005.
6.       Bagi kawasan Blok PM 301 dan Blok PM2, Kerajaan Persekutuan telah menerima sejumlah RM285.1 juta semenjak tahun 2009.
7.       Seperti yang tersebut di atas, Blok PM301 dan Blok PM2 terletak di luar perairan Negeri Kelantan kerana melangkaui tiga batu nautika dari garis air surut atau persisiran pantai Negeri Kelantan.  Oleh itu, Kerajaan Kelantan tidak layak dari segi undang-undang untuk mendapat bayaran daripada hasil pengeluaran Blok PM301 dan Blok PM2.  Walau bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan tetap membuat bayaran kepada Negeri Kelantan dalam bentuk wang ehsan daripada hasil pengeluaran Blok PM301 dan Blok PM2. Sehingga Februari 2013, bayaran yang dikreditkan ke akaun amanah wang ehsan Negeri Kelantan adalah sebanyak RM142.6 juta. Bayaran ini telah digunakan untuk membiayai program wang ehsan seperti bantuan bagi pelajar IPTA, khairat kematian, membaiki rumah bagi golongan miskin, bantuan bencana, bantuan persekolahan, dan bantuan anak yatim melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan.
8.       Sebagaimana yang telah diumumkan pada 4 Ogos 2012, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji isu bayaran tunai daripada hasil petroliam kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Kerajaan Persekutuan telah melantik ahli-ahli yang non-partisan, pakar-pakar dalam bidang berkenaan dan wakil-wakil Kerajaan Negeri yang terlibat untuk menganggotai Jawatankuasa Khas ini. Jawatankuasa ini akan menentukan sama ada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia berhak dari segi undang-undang menerima bayaran tunai hasil petroliam di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan kaedah pembayarannya.
9.       Jumlah bayaran yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan daripada kesemua empat (4) kawasan iaitu MTJDA (Malaysia-Thailand), PM CAA (Malaysia-Vietnam), Blok PM301 dan Blok PM2 yang mengeluarkan hasil petroleum sehingga kini  adalah RM 4.58 bilion. Oleh yang demikian, jumlah tuntutan RM12 bilion yang dibuat Kerajaan Negeri Kelantan adalah tidak munasabah. Kerajaan Negeri Kelantan bukan sekadar menuntut apa yang tidak termaktub dalam undang-undang bahkan, tuntutan mereka itu berkali-kali ganda lebih daripada apa yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan. Memandangkan tuntutan ini tidak ada asasnya, maka tindakan pihak-pihak tertentu dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti untuk mengelirukan rakyat Kelantan adalah amat dikesali.
10.     Sebenarnya Kerajaan Persekutuan sentiasa berbelanja dalam jumlah yang lebih besar melebihi jumlah hasil yang dikutip daripada Negeri Kelantan. Umpamanya bagi tempoh tahun 2008 hingga tahun 2012, perbelanjaan Kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM26.37 bilion berbanding hasil yang dikutip daripada Negeri Kelantan bagi tempoh yang sama berjumlah RM2.07 bilion. Jika dinisbahkan, jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan berbanding dengan kutipan hasil di Negeri Kelantan adalah sangat  besar, iaitu nisbah 13:1. Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan adalah merangkumi perbelanjaan mengurus berjumlah RM20.03 bilion, perbelanjaan pembangunan berjumlah   RM4.84 bilion  dan pemberian kepada Kerajaan Negeri berjumlah RM1.5 bilion.  Manakala hasil dikutip dalam bentuk Cukai Langsung oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM1.41 bilion, Cukai Tak Langsung oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjumlah RM0.31 bilion dan hasil yang dipungut oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjumlah RM0.35 bilion.
11.     Jelas daripada semua yang tersebut di atas, Kerajaan Persekutuan telah berlaku adil kepada negeri dan rakyat Kelantan. Kerajaan Persekutuan telah memberi peruntukan dalam bentuk Wang Ehsan kepada Negeri Kelantan dan juga menubuhkan Jawatankuasa Khas yang non-partisan yang dianggotai juga wakil Kerajaan Negeri Kelantan. Ini membuktikan keterbukaan Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan perselisihan faham antara semua pihak secara munasabah dan konstruktif. Usaha Kerajaan Persekutuan ini adalah untuk menjamin bahawa hak-hak semua pihak ditentukan berlandaskan undang-undang yang terpakai pada masa kini.
Pejabat Perdana Menteri
02 April 2013
Shares Share Kategori : Press Statement