13 Ogos, 2012

Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah


1. Saya ingin memaklumkan bahawa DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah pun berkenan dengan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi menyiasat kehadiran pendatang asing di Sabah.

2. Suruhanjaya Siasatan ini akan dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Datuk Amar Steve Shim Lip Kiong, mantan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak dan dianggotai oleh empat (4) orang Pesuruhjaya yang lain iaitu YBhg. Prof. Datuk Seri Panglima Dr Kamaruzaman Hj. Ampon, mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Herma J. Luping, mantan Peguam Besar Negeri Sabah, YBhg. Datuk Henry Chin Poy-Wu, Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan mantan Ketua Polis Kuala Lumpur dan YBhg. Datuk Kee Mustafa, mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.

3. Selain itu, YBhg. Dato’ Saripuddin Kasim, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, juga dilantik sebagai Setiausaha Suruhanjaya ini.

4. Kerajaan telah menetapkan terma rujukan Suruhanjaya Siasatan ini seperti yang berikut:

(a) untuk menyiasat jumlah pendatang asing di Sabah yang diberikan kad pengenalan biru atau kewarganegaraan;

(b) untuk menyiasat sama ada pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah adalah menurut peruntukan undang-undang;

(c) untuk menyiasat sama ada pendatang asing di Sabah yang memegang kad pengenalan biru, resit pengenalan sementara (biru) atau kewarganegaraan secara tidak mengikut undang-undang telah didaftarkan      dalam daftar pemilih;

(d) untuk menyiasat sama ada pihak berkuasa yang berkenaan telah mengambil apa-apa tindakan atau membuat apa-apa penambahbaikan kepada prosedur amalan standard, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan bagi mengelakkan apa-apa ketidakteraturan dari segi undang-undang;

(e) untuk menyiasat dengan lebih lanjut mengenai prosedur amalan standard, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan berhubung dengan pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah dengan mengambil kira standard dan norma antarabangsa yang terpakai bagi Malaysia, dan untuk mengesyorkan apa-apa pindaan atau perubahan untuk memantapkan dan menambah baik prosedur amalan standard, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan itu;

(f) untuk menyiasat sebab-sebab peningkatan populasi di Sabah mengikut kategori yang berikut:

(i)    warga Sabah yang menetap di Sabah, termasuklah mereka yang diberikan kad pengenalan biru dan kewarganegaraan melalui Sijil Kelahiran (Pendaftaran Lewat);

(ii)   pekerja asing (termasuk ahli keluarga);

(iii)  pendatang asing tanpa izin (termasuk ahli keluarga); dan

(iv)   pelarian,

dan meneliti kesannya terhadap bilangan yang mendaftar dalam daftar pemilih;

(g) untuk menyiasat implikasi sosial ke atas masyarakat di Sabah yang berbangkit daripada pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah; dan

(h) untuk menyiasat bilangan pendatang asing di Sabah yang telah diberikan kad pengenalan biru atau kewarganegaraan dengan mengambil kira status mereka sebagai orang tidak bernegara.

5. Suruhanjaya ini hendaklah menyelesaikan siasatannya dalam tempoh enam (6) bulan dari tarikh tauliah pelantikan dikeluarkan dan laporannya akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

6. Penubuhan Suruhanjaya Siasatan ini membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan untuk menyiasat isu-isu yang dibangkitkan berhubung pendatang asing di Sabah.

7. Kerajaan berharap agar warga negeri Sabah akan mendapat manfaat daripada penubuhan Suruhanjaya Siasatan ini dan bersama-sama menyokong Kerajaan dalam mencari strategi dan pendekatan terbaik bagi menangani masalah yang berkaitan.

Shares Share Kategori : Press Statement