24 Jun, 2009

Majlis Perasmian Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009


TEKS UCAPTAMA
YAB. DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN KONVENSYEN BAITULMAL KEBANGSAAN 2009
PADA 24 JUN 2009 (RABU), JAM 3.00 PETANG
DI DEWAN SERBAGUNA, MASJID WILAYAH PERSEKUTUAN,
KUALA LUMPUR

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato’ Jamil Khir bin Haji Baharom,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri,

Yang Berhormat Senator Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim,
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,

Yang Berhormat Dato’ Dr. Abdullah Md. Zin,
Penasihat Agama kepada Y.A.B. Perdana Menteri,

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Hj. Sohaimi Hj. Mohd Salleh,
Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji,

Yang Berbahagia Dato’ Hj. Che Mat Che Ali,
Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan,

Ketua-ketua Jabatan,

Para media,

Para peserta konvensyen,

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

1. Pertama sekali, saya mengatur rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana di atas taufik dan inayah-Nya jua dapatlah kita bersama-sama pada petang yang berbahagia ini dengan para ilmuwan, cendekiawan dari pelbagai lapangan iaitu; akademik, undang-undang, ekonomi dan pentadbiran. Saya berasa sukacita kerana kesemuanya berkumpul selama dua hari ini bagi menggembleng idea serta buah fikiran dalam usaha menyemarakkan semula potensi sebenar institusi Baitulmal di Malaysia.

2. Sehubungan itu juga, saya rakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak penganjur iaitu Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atas prakarsa Konvensyen ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

3. Mutakhir ini, kita menyaksikan senario ekonomi global yang begitu meruncing dan dianggap krisis iktisad terburuk sejak depresi besar yang pernah melanda seluruh dunia. Jika diperhatikan, jatuhnya sistem ekonomi konvensional bermula dengan apa yang berlaku di Amerika Syarikat sehingga menjalar ke seantero dunia, natijahnya telah turut membejati pertumbuhan ekonomi serantau.

4. Jelas sekali, ketaksuban terhadap sistem serta nilai kapitalisme dan sosialisme sebagai dua paksi utama sosio-ekonomi selama ini telah mula menzahirkan pelbagai kelemahan dan kepincangan. Di sini terbukti, falsafah dan sistem ekonomi yang bersandarkan kepada kerakusan manusiawi amat bersifat sementara dan tentunya tidak menjurus ke arah tercapainya keadilan sosial.

5. Justeru, sempena rampungnya konvensyen sebegini, persoalan yang perlu dijawab, apakah usaha yang sepatutnya cerdik pandai Islam lakukan untuk menangani dan mencipta penyelesaian kepada kemelut yang sedang kita hadapi. Pada hemah saya, sudah tibalah masanya dalam dunia yang serba mencabar ini umat Islam menjadi lebih berani, bermujahadah untuk keluar dari kepompong pemikiran konvensional dan tidak bersifat dogmatik. Saya menyeru agar kita semua mula mempertimbangkan segala opsyen berlandaskan syariat Islam demi membantu memperkukuhkan kembali ekonomi negara khususnya dan ekonomi dunia amnya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

6. Untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang kita perlu tahu dari mana kita datang dan ke mana arah tuju kita seterusnya. Lantas, menoleh sejarah dan sirah kenabian, Al-Quran telah memberi panduan serta contoh yang wadih kepada kita bagaimana untuk berhadapan dengan krisis ekonomi dan kewangan. Misalannya, tindakan bijak Nabi Yusuf a.s. selaku pentadbir harta di Mesir suatu ketika dahulu semasa berhadapan dengan tujuh tahun musim kemarau telah membuktikan bahawa pengurusan aset jika diatur dan ditadbir secara bijaksana berupaya menyelamatkan ekonomi negara yang berada di ambang kemelesetan.

7. Iktibarnya di sini, kita perlu berpaling daripada pergantungan total kepada pihak lain sebaliknya berusaha untuk memulih dan memperkasakan kembali ekonomi negara antaranya melalui dana sedia ada yakni aset umat Islam yang tersimpan di Baitulmal. Saya yakin dalam dewan ini semua maklum bahawa institusi Baitulmal adalah sebuah institusi kewangan awam terpenting dalam sejarah tamadun Islam dan telah wujud sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi. Baitulmal ketika itu, berfungsi sebagai satu tempat khusus untuk menyimpan khazanah umat Islam dan berperanan seperti Perbendaharaan Negara dalam konteks amalan masa kini.

8. Tampaknya sejak dahulu, telah terbukti Baitulmal menjadi institusi penting dalam menyusun dan meningkatkan prestasi ekonomi sesebuah negara. Melalui pembacaan, saya juga dapati pada zaman Rasulullah s.a.w., sadaqah atau sumbangan sukarela turut menjadi sumber utama kepada perbendaharaan negara. Selain daripada itu, bayaran zakat, khums yakni satu perlima dari rampasan perang dan jizyah atau cukai kepala juga menjadi sumber kedua negara pada ketika itu.

9. Manakala, pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Ibn al-Khattab pula umat Islam telah membuka beberapa wilayah baru seperti `Iraq, Iran, Syria dan Mesir. Pengurusan wilayah-wilayah baru tersebut, pentadbiran angkatan tentera dan perancangan kebajikan awam kesemuanya menuntut kepada kebijaksanaan dalam mentadbir sumber kewangan yang ada melalui perbendaharaan negara yang berpusat di Madinah secara rasmi.

10. Dalam konteks ini, menyingkap tawarikh, institusi Baitulmal yang telah dirasmikan penubuhannya oleh Khalifah Umar b. Al-Khattab pada tahun 16 Hijriah telah mencapai zaman kegemilangan semasa pemerintahan Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz. Beliau telah menyusun semula pentadbiran Baitulmal kepada beberapa jabatan berasingan dan dikatakan dengan pentadbiran Baitulmal yang sistematik pada masa itu, hasil kutipan cukai telah meningkat dua kali ganda. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, begitulah kisah-kisah kejayaan tamadun Islam yang lampau.

11. Lalu, di persimpangan ini, seperti yang sering saya nyatakan, kita tidak boleh sering bernostalgia dengan kehebatan pencapaian tamadun Islam yang dahulu sambil duduk bersimpuh tidak meneroka kehebatan-kehebatan baru. Makanya, apabila membicarakan institusi Baitulmal, ingin saya merujuk tuan-tuan dan puan-puan sekalian kepada perbezaan erti institusi Baitulmal yang menepati semangat, roh dan amalan umat Islam terdahulu dengan konsep Baitulmal serta amalannya di Malaysia masa kini.

12. Dalam perspektif semasa, jika diamati, Kerajaan Malaysia melalui Perbendaharaan, Bank Negara Malaysia dan agensi-agensi ekonomi negara yang lain telah juga memainkan peranan menepati semangat Baitulmal yang ditubuhkan oleh Kerajaan Islam yang silam. Dasar-dasar ekonomi negara dengan itu mampu mempengaruhi perjalanan ekonomi dan berperanan meningkat kebajikan ekonomi rakyat pada keseluruhannya.
13. Kini, peranan ‘Baitulmal’ kontemporarinya dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri. Ia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bidang kuasa agama di bawah senarai negeri.

14. Selain itu, secara tuntasnya, pengurusan ekonomi melalui dasar fiskal dan kewangan yang di selenggara di Malaysia menepati keperluan ekonomi moden semasa. Di samping itu nilai-nilai Islam turut serta dijadikan panduan dalam menggubal dasar ekonomi tersebut.

15. Di sudut ini, pada pendapat saya, institusi ekonomi tidak memerlukan kepada nama ‘Islam’ untuk ia layak digulung sebagai institusi ekonomi Islam. Yang lebih penting peranannya tepat dengan kehendak agama demi untuk meningkat kualiti hidup ekonomi masyarakat. Ini adalah kerana selain dari institusi yang di senarai sebagai menepati Islam, institusi-institusi seperti Perbendaraan Negara, Bank Negara Malaysia dan banyak lagi firma pembuatan dan perkhidmatan sama ada awam dan swasta hakikatnya pun sedang berperanan tanpa bercanggah dengan roh Islam.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

16. Berasaskan pendekatan yang diamalkan di Malaysia seperti yang telah saya gariskan tadi beberapa usaha mengemaskinikan peranan “Baitulmal” yang dikendali oleh Majlis Agama Islam Negeri boleh dilaksanakan bagi memperkasakan institusi yang mulia ini. Sehubungan itu, saya ingin melontar beberapa syor supaya diteliti dan dikaji semasa konvensyen ini untuk mencapai resolusi-resolusi sewajarnya demi kepentingan bersama.

17. Pertamanya : Mengkaji keperluan mewujudkan entiti Baitulmal di peringkat kebangsaan. Untuk makluman, begitu ramai pihak yang telah menyuarakan pandangan mereka kepada saya bahawa sebuah entiti Baitulmal di peringkat kebangsaan perlu diwujudkan. Seperti yang dimaklumi, sememangnya kita telah mempunyai Perbendaharaan Negara di peringkat persekutuan, jadi barangkali ada asasnya pula kepada keperluan sebuah entiti Baitulmal di peringkat kebangsaan bagi tujuan penyelarasan harta-harta milik umat Islam.

18. Kendatipun begitu, dalam sebarang hal, kita jangan tergesa-gesa. Saya mahukan kajian yang teliti dan dihalusi dulu isu-isu perlembagaan serta undang-undang yang berkait kerana hal ini termasuk di bawah urusan negeri. Contohnya, peranan Baitulmal Persekutuan yang di cadang itu janganlah pula menjadi pesaing Baitulmal negeri. Dalam kata lain bentuk peranannya perlu jelas, kreatif dan inovatif demi kebajikan umat Islam.

19. Keduanya : Memperbadankan Baitulmal. Dalam aspek ini saya dapatimasalah kekurangan pakar yang berkemahiran serta mempunyai kelulusan profesional merupakan hambatan utama kepada proses pembangunan Baitulmal. Jadi, dengan memperbadankan Baitulmal dan melantik kalangan profesional menerajui Baitulmal, ia akan memberi satu suntikan baru kepada institusi ini untuk menjalankan fungsinya dengan lebih berkesan. Melalui perbadanan, Baitulmal akan mempunyai locus standi yang tersendiri di sisi undang-undang untuk menjalankan operasi dengan lebih cekap.

20. Ketiganya : Meneroka Sumber-Sumber Baru Sebagai Dana Baitulmal. Saya difahamkan bahawa Dana Baitulmal yang sedia ada di seluruh Malaysia sangat terhad dan tidak mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi umat Islam, secara besar-besaran.Justeru itu saya ingin mengesyorkan semoga cendekiawan Islam menyumbang tenaga dan ilmu mereka dalam melakukan penyelidikan dalam penerokaan sumber-sumber Baitulmal yang baru dan kontemporari supaya dana Baitulmal dapat diperkasakan lagi. Ini biarlah seiring dengan Model Ekonomi Baru yang menuntut kepada kreativiti, innovasi dan nilai tinggi.

21. Keempatnya : Peranan yang Lebih Aktif dan Proaktif perlulah dimainkan oleh Pihak Baitulmal dalam Aktiviti Pembangunan Masyarakat. Baitulmal sebagai sebuah institusi kewangan bukan perbankan hendaklah bergiat lebih aktif dan proaktif dalam aktiviti pembangunan masyarakat dan pembasmian kemiskinan hingga ke akar umbi. Hal ini pernah dilakukan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz pada zaman pemerintahannya. Ini secara tidak langsung akan mengelak masalah masyarakat yang kini makin terjebak dalam gejala peminjam wang tidak berlesen seperti ah long yang sungguh mencelarukan.

22. Kelimanya : Menjenamakan semula produk-produk Baitulmal sedia ada. Produk-produk ini perlu menjalani proses penjenamaan semula atau “rebranding” agar ianya dapat disesuaikan dengan persekitaran dan iklim globalisasi yang semakin maju dan sentiasa bergerak pantas dari satu tahap ke satu tahap yang lain. Sekali lagi kita wajar menerima sebarang opsyen dan tidak menutup pintu ke arah pembaharuan sekiranya ianya menguntungkan rakyat dan negara serta tidak bertentangan dengan syarak.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

23. Semasa saya menggagaskan konsep 1Malaysia, saya teringat kata-kata Ibnu Taymiyah, bahawa pencapaian kebajikan sosial dalam sesebuah negara akan merapatkan pertalian di antara pemerintah dengan rakyat dan tugas utama kerajaan pula adalah untuk menjamin kebajikan sosial kepada semua lapisan masyarakat. Kerana itulah, saya percaya sesebuah kerajaan yang baik, akan mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian. Lantaran itu, bagi menjayakan semua syor yang dikemukakan termasuk resolusi Konvensyen ini, adalah diharapkan agar semua Kementerian dan Agensi yang berkaitan di peringkat persekutuan dan juga negeri dapat mengambil langkah pro-aktif bagi merealisasikannya.

24. Saya berharap agar resolusi yang dihasilkan tidak hanya bersifat retorik semata-mata. Pokok pangkalnya, pengendalian dan tadbir urus di Baitulmal sendiri harus dicorak dan diluweskan semula agar ia dinamik dan tidak jumud sehingga membantutkan pula institusi ini untuk bergerak pro-aktif. Sebaliknya segala usaha mestilah berdaya maju dari segi pelaksanaan dan pemantauannya demi maslahah umat Islam.

25. Akhir kalam, saya doakan semoga penganjuran Konvensyen ini akan mencapai kesemua objektif yang digariskan untuk mengangkat institusi Baitulmal di negara kita ke tahap yang tertinggi. Dengan doa dan harapan itu saya sekali lagi mengucapkan tahniah atas penganjuran Konvensyen yang penuh bermanfaat ini. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009. Semoga Allah S.W.T. merahmati dan seterusnya memberikan kekuatan kepada kita semua, Insya-Allah.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian terima kasih.

Shares Share Kategori : Speeches